Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangFrasa keterangan ialah frasa yang memberikan maklumat tambahan secara opsyenal kepada frasa nama, frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
1a. Dia polis pada zaman mudanya.
1b. Dia gembira pada hari ini.
1c. Dia akan bercuti di luar negara.
1d. Dia akan ke Ipoh petang ini.
Dalam kelompok ayat 1, terdapat frasa keterangan pada zaman mudanya yang menghuraikan kata nama polis (lihat ayat 1a), frasa keterangan pada hari ini yang menghuraikan kata adjektif gembira (lihat ayat 1b),frasa keterangan di luar negara yang menghuraikan frasa kerja akan bercuti (lihat ayat 1c) dan frasa keterangan petang ini yang menghuraikan frasa sendi nama akan ke Ipoh (lihat ayat 1d).
Walaupun kebanyakan frasa keterangan terdiri daripada frasa sendi nama, ada juga frasa keterangan yang terdiri daripada frasa keterangan, frasa adjektif dan frasa nama. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
2a. Dia masih sering ponteng.
2b. Dia pergi ke kampung.
2c. Dia berlari amat pantas.
2d. Dia kesiangan pagi ini.
Dalam kelompok ayat 2, terdapat frasa keterangan jati masih sering yang menghuraikan kata kerja ponteng, frasa sendi nama ke kampung yang menjadi frasa keterangan konteks kepada kata kerja pergi (lihat ayat 2a), frasa adjektif amat pantas yang menjadi frasa keterangan konteks kepada kata kerja berlari dan frasa nama pagi ini yang menjadi frasa keterangan konteks bagi kata kerja kesiangan.
Frasa keterangan terbahagi kepada beberapa jenis, bergantung pada fungsinya. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
3a. Dia duduk di bawah pokok.
3b. Dia sakit pada pahanya.
3c. Dia ke Singapura dari Melaka.
Dalam kelompok ayat 3, terdapat keterangan tempat atau arah di bawah pokok yang menghuraikan kata kerja duduk (lihat ayat 3a), pada pahanya yang menghuraikan kata adjektif sakit (lihat ayat 3b) dan dari Melaka yang menghuraikan frasa sendi nama ke Singapura (lihat ayat 3c).
4a. Kursus itu diadakan pada waktu cuti.
4b. Dia marah sebentar tadi.
4c. Dia ke kampung pada hujung minggu ini.
Dalam kelompok ayat 4, terdapat keterangan waktu pada waktu cuti yang menghuraikan kata kerja diadakan (lihat ayat 4a), sebentar tadi yang menghuraikan kata adjektif marah (lihat ayat 4b) dan pada hujung minggu ini yang menghuraikan frasa sendi nama ke kampung (lihat ayat 4c).
5a. Dia berusaha demi keluarganya.
5b. Dia rajin untuk masa depannya.
5c. Dia ke laut untuk keluarganya.
Dalam kelompok ayat 5, terdapat keterangan tujuan atau harapan demi keluarganya yang menghuraikan kata kerja berusaha (lihat ayat 5a), untuk masa depannya yang menghuraikan kata adjektif rajin (lihat ayat 5b) dan untuk keluarganya yang menghuraikan frasa sendi nama ke laut (lihat ayat 5c).
6a. Dia menulis dengan pen.
6b. Dia cantik dengan solekan mahal.
6c. Dia ke Melaka dengan bas.
Dalam kelompok ayat 6, terdapat keterangan alat atau bahan dengan pen yang menghuraikan kata kerja menulis (lihat ayat 6a), dengan solekan mahal yang menghuraikan kata adjektif cantik (lihat ayat 6b) dan dengan bas yang menghuraikan frasa sendi nama ke Melaka (lihat ayat 6c).
7a. Dia membaca buku dengan adiknya.
7b. Dia ceria dengan kawannya.
7c. Dia ke pasar dengan ibunya.
Dalam kelompok ayat 7, terdapat keterangan penyertaan dengan adiknya yang menghuraikan frasa kerja membaca buku (lihat ayat 7a), dengan kawannya yang menghuraikan kata adjektif ceria (lihat ayat 7b) dan dengan ibunya yang menghuraikan frasa sendi nama ke pasar (lihat ayat 7c).
8a. Mereka berbincang tentang tugasan.
8b. Dia sibuk dengan kerja pejabatnya.
8c. Dia ke sana atas urusan rasmi.
Dalam kelompok ayat 8, terdapat keterangan hal tentang tugasan yang menghuraikan kata kerja berbincang (lihat ayat 8a), dengan kerja pejabatnya yang menghuraikan kata adjektif sibuk (lihat ayat 8b) dan atas urusan rasmi yang menghuraikan frasa sendi nama ke sana.
9a. Dia berlagak seperti orang kaya.
9b. Dia cantik seperti bidadari.
Dalam kelompok ayat 9, terdapat keterangan bandingan seperti orang kaya yang menghuraikan kata kerja berlagak (lihat ayat 9a) dan seperti bidadari yang menghuraikan kata adjektif cantik (lihat ayat 9b).
10a. Dia bekerja dengan rajinnya.
10b. Dia sihat dengan sendirinya.
10c. Dia ke sekolah dengan segeranya.
Dalam kelompok ayat 10, terdapat keterangan cara dengan rajinnya yang menghuraikan kata kerja bekerja (lihat ayat 10a) dengan sendirinya yang menghuraikan kata adjektif sihat (lihat ayat 10b) dan dengan segeranya yang menghuraikan frasa sendi nama ke sekolah (lihat ayat 10c).
11a. Dia sayang akan adiknya.
Dalam ayat 11, terdapat keterangan sasaran akan adiknya yang menghuraikan kata adjektif sayang (lihat ayat 11a).
Selain frasa keterangan, terdapat unsur keterangan yang terdiri daripada kata keterangan (adverba) dan klausa keterangan. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
12a. Dia datang lambat.
12b. Dia hadir kerana dijemput.
Dalam ayat 12a, kata keterangan atau kata adverba lambat menghuraikan kata kerja datang. Dalam ayat 12b pula, klausa keterangan kerana (dia) dijemput menghuraikan kata kerja hadir.