Diterbitkan pada 20 April 2025, 21:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sebagai ahli akademik yang sering membaca dan menyemak tugasan, usulan dan tesis yang dihasilkan oleh pelajar universiti, penulis kerap menemukan kesilapan penggunaan kata tanya “di mana” dan “bila” yang sering digunakan secara salah dalam pertengahan ayat penyata.

Umpamanya, seorang daripada pelajar tahun akhir penulis yang kini sedang menyiapkan Projek Sarjana Muda (PSM) beliau menghasilkan ayat yang berikut:

“Pendekatan ini juga terbukti berkesan dalam meningkatkan kemampuan murid untuk mengingati dan mengaplikasikan konsep matematik dalam jangka masa yang panjang, di mana para murid lebih mudah mengingati konsep geometri dan memahami konsep tersebut dalam situasi budaya yang konkrit.”

“Di mana” ialah kata tanya yang sepatutnya tidak boleh berada pada pertengahan ayat penyata. Namun, “di mana” boleh berfungsi sebagai kata hubung relatif untuk menghubungkan sub-ayat dengan frasa nama.

Penggunaannya dibenarkan dalam ayat penyata jika memenuhi dua kriteria, iaitu pertama, untuk menjelaskan lokasi atau situasi dan kedua untuk menghubungkan maklumat tambahan tentang frasa nama sebelumnya. Contoh penggunaan ayat yang tepat ialah “Pekan itu, di mana saya dibesarkan, kini pesat membangun.”

Klausa “di mana saya dibesarkan” menerangkan “pekan itu”. Walaupun diterima dalam pertuturan harian, penggunaan “di mana” pada pertengahan ayat dianggap tidak sesuai dalam bahasa Melayu. Hal ini demikian kerana struktur “di mana” dianggap terjemahan langsung where/which, dalam bahasa Inggeris yang tidak selari dengan gaya bahasa Melayu.

Bahasa Melayu mempunyai struktur “yang” atau pembentukan ayat pasif yang lebih diutamakan. Contoh perbandingan, “Rumah pusaka itu, di mana kami pernah dibesarkan, kini dalam proses untuk dijual.” boleh diubah kepada versi yang lebih formal, iaitu “Rumah pusaka tempat kami dibesarkan dahulu kini dalam proses untuk dijual.”

Dalam penulisan kreatif, dialog novel atau komunikasi santai, penggunaan “di mana” lebih fleksibel. Misalnya, “Beliau bekerja di syarikat penerbitan buku, di mana gajinya lebih tinggi.”

Sekiranya klausa relatif panjang atau kompleks, “di mana” membantu memudahkan kefahaman. Umpamanya, “Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur di mana pelbagai karya ilmiah dijual dan dipamerkan berjaya menarik perhatian rakyat Malaysia.”

“Di mana” juga boleh digunakan untuk menekankan maklumat tertentu seperti “Universiti Teknologi Malaysia, di mana ramai jurutera terkemuka negara menuntut merupakan salah sebuah institusi pendidikan tinggi tertua di Malaysia.” Walau bagaimanapun, kesilapan lazim yang dilakukan oleh pelajar ialah apabila mereka menggunakan “di mana” untuk menggantikan kata hubung “bahawa” atau “yang”.

Contoh kesilapan, “Beliau memaklumkan saya di mana beliau telah selamat mendarat di Kuala Lumpur.” yang boleh diperbetul menjadi “Beliau memaklumkan kepada saya bahawa beliau telah selamat mendarat di Kuala Lumpur.”

Penggunaan “di mana” pada pertengahan ayat penyata yang sepatutnya digantikan dengan “yang mana” juga sering salah digunakan. “Di mana” tidak boleh menggantikan “yang mana”  apabila konteks ayat melibatkan pemilihan atau penentuan sesuatu secara khusus daripada pilihan yang ada. Contohnya, “Terdapat tiga mod pembelajaran di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, di mana anda boleh pilih mengikut kesesuaian anda”.

Dalam frasa tersebut, “di mana” digunakan untuk menyatakan pemilihan antara pilihan tertentu, sedangkan penggunaan “yang mana” adalah lebih tepat. Sehubungan itu, ayat yang tepat ialah “Terdapat tiga mod pembelajaran di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, yang mana anda boleh pilih mengikut kesesuaian anda”. Penggunaan “yang mana” juga lebih sesuai daripada “di mana” apabila ayat memerlukan penjelasan tentang sifat atau ciri khusus sesuatu frasa nama. Misalnya, “Alyssa membeli telefon baharu, di mana telefon tersebut it mempunyai kamera yang canggih.” Dalam konteks ayat tersebut, “di mana” digunakan untuk menerangkan ciri telefon, dan bukan lokasi.

“Di mana” juga tidak boleh digunakan dalam pertengahan ayat yang merujuk konsep abstrak. “Di mana” hanya sesuai untuk konteks fizikal atau situasi, bukan konsep abstrak seperti sebab, syarat, atau perbandingan. Contohnya, “Saya tidak bersetuju dengan keputusannya, di mana hal tersebut juga dibuat tanpa perbincangan.” Ayat yang tepat ialah, “Saya tidak bersetuju dengan keputusannya yang mana ia dibuat tanpa perbincangan.”

Selain itu, perkataan “bila” merupakan kata tanya selain daripada “di mana” yang sering disalahgunakan dalam penulisan akademik. Hal ini biasanya digunakan untuk bertanyakan tentang waktu.

Namun, dalam bahasa Melayu, “bila” juga boleh digunakan pada pertengahan ayat penyata untuk menunjukkan ketidakpastian atau syarat. Penggunaan ini sering ditemui dalam bahasa lisan atau ayat tidak formal. Misalnya, untuk menunjukkan ketidakpastian,

“Dia selalu datang pada bila-bila masa sahaja, tidak mengikut jadual yang ditetapkan.” atau “Kami pasti akan datang lagi bila ada rezeki. “Bila” juga digunakan sebagai pengganti “Apabila” atau “ketika” dalam ayat yang tidak formal. Contohnya, “Saya akan makan dalam kuantiti yang banyak bila saya lapar sangat, atau “Dia suka marah bila telefonnya dipegang orang.” Walaupun “bila” boleh digunakan dalam ayat penyata, dalam bahasa formal, “apabila” atau “ketika” lebih sesuai. Misalnya, ayat “Dia tersenyum bila nampak kawan baiknya.” boleh diubah kepada “Dia senyum apabila melihat kawan baiknya.” Penggunaan “bila” dalam pertengahan ayat penyata lebih kerap ditemui dalam percakapan harian. Walaupun diterima dalam komunikasi tidak formal, dalam penulisan rasmi terutamanya yang bersifat akademik, adalah lebih baik menggunakan “apabila” atau “ketika” untuk menggantikan “bila”. Pemilihan kata yang tepat dapat memastikan ayat yang dibina sesuai dengan konteks penggunaannya.

Tuntasnya, penggunaan kata tanya “di mana” dan “bila” pada pertengahan ayat penyata dalam penulisan akademik adalah kurang sesuai kerana kedua-dua kata ini tergolong dalam bahasa lisan atau tidak formal. Dalam konteks akademik, frasa yang lebih tepat seperti “yang mana” untuk merujuk tempat abstrak atau “apabila” untuk masa perlu digunakan bagi mengekalkan ketepatan dan kesantunan bahasa.

Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdullah ialah pensyarah di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi