Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangProses peluasan ayat membolehkan subjek atau predikat ayat tunggal diluaskan dengan unsur tambahan atau ayat tunggal diluaskan dengan pembentukan ayat majmuk.
Ayat tunggal dalam bahasa Melayu mempunyai empat pola, iaitu Frasa Nama + Frasa Nama, Frasa Nama + Frasa Kerja, Frasa Nama + Frasa Adjektif atau Frasa Nama + Frasa Sendi nama. Dalam hal ini, frasa nama sebagai subjek dan predikat dapat diluaskan dengan penerang, manakala frasa kerja, frasa adjektif dan frasa sendi nama dapat diluaskan dengan pelbagai unsur.
Peluasan frasa nama pada subjek atau predikat ayat tunggal dapat dilakukan dengan menambah penerang padanya. Sila lihat contoh yang berikut:
1a. Baju itu mahal.
1b. Baju baharu itu mahal.
1c. Baju import itu mahal.
1d. Dua helai baju itu mahal.
1e. Baju di kedai butik itu mahal.
1f. Baju kedua pilihannya mahal.
1g. Baju baharu buatan Perancis itu mahal.
1h. Baju kain sutera buatan China itu mahal.
1i. Dua helai baju, bahan import itu, mahal.
2a. Bajunya baju itu.
2b. Bajunya baju baharu itu.
2c. Bajunya baju import itu.
Dalam kelompok ayat 1, dapat kita lihat bahawa frasa nama baju itu pada ayat 1a diluaskan dengan pelbagai kata atau frasa penerang. Dalam ayat 1b, kata adjektif penerang baharu ditambah; dalam ayat 1c, kata kerja penerang import ditambah, dalam ayat 1d, kata bilangan dua dan penjodoh bilangan helai sebagai penentu hadapan di tambah; dalam ayat 1e, frasa sendi nama penerang di kedai butik itu ditambah; dalam ayat 1f, kata bilangan ordinal kedua dan kata nama pilihannya ditambah; dalam ayat 1g, kata adjektif baharu dan frasa nama buatan Perancis ditambah; dalam 1h, kata nama sutera dan frasa nama buatan China ditambah, dan dalam ayat 1i, frasa nama bahan import yang merujuk frasa nama dua helai baju ditambah. Dalam kelompok ayat 2, dapat kita lihat frasa nama yang menjadi predikat ayat juga dapat diluaskan dengan unsur penerang.
Peluasan frasa kerja pada predikat ayat ayat tunggal dapat dilakukan dengan pelbagai unsur. Sila lihat contoh ayat yang berikut:
3a. Dia belajar.
3b. Dia sedang belajar.
3c. Dia ingin belajar.
3d. Dia tekun belajar.
3e. Dia belajar sampai jauh malam.
3f. Dia belajar dengan kawannya.
4a. Dia membaca buku itu.
4b. Dia sedang membaca buku itu.
4b. Dia tekun membaca buku itu.
5a. Buku itu dibacanya.
5b. Buku itu sedang dibacanya.
5c. Buku itu tekun dibacanya.
Dalam kelompok ayat 3, dapat kita lihat bahawa frasa kerja tak transitif belajar pada ayat 3a diluaskan dengan pelabagi unsur. Dalam ayat 3b, kata bantu aspek sedang ditambah; dalam ayat 3c, kata bantu ragam ingin ditambah, dalam ayat 3d, kata adverba tekun ditambah; dalam ayat 3e, frasa sendi nama sampai jauh malam ditambah sebagai frasa keterangan dan dalam ayat 3f, frasa sendi nama dengan kawannya ditambah sebagai frasa keterangan. Dalam kelompok ayat 4 dan 5, dapat kita lihat bahawa kata kerja transitif dan kata kerja pasif pun dapat mengalami proses peluasan yang serupa.
6a. Dia cantik.
6b. Dia sangat cantik.
6c. Dia masih cantik.
6d. Dia cantik menawan.
6e. Dia cantik pada zaman mudanya.
Dalam kelompok ayat 6, frasa adjektif cantik pada ayat 6a diluaskan dengan pelabagi unsur. Dalam ayat 6b, kata penguat sangat ditambah; dalam ayat 6c, kata bantu aspek masih ditambah, dalam ayat 6d, kata adverba menawan ditambah dan dalam ayat 6e, frasa sendi nama pada zaman mudanya ditambah sebagai frasa keterangan.
7a. Dia di Taiping.
7b. Dia masih di Taiping.
7c. Dia ingin ke Taiping.
7d. Dia segera ke Taiping.
7e. Dia ke Taiping pada minggu lepas.
Dalam kelompok ayat 7, frasa sendi nama di Taiping dalam 7a diluaskan dengan kata bantu aspek masih dalam ayat 7b. Dalam ayat 7c, frasa sendi nama ditambah kata bantu ragam ingin; dalam ayat 7d, kata adverba segera ditambah dan dalam ayat 7e, frasa sendi nama pada minggu lepas ditambah sebagai frasa keterangan.
Selain peluasan subjek dan predikat dalam ayat tunggal, peluasan ayat juga melibatkan peluasan sebagai ayat majmuk. Dalam hal ini, ayat tunggal diluaskan dengan klausa bebas atau klausa tak bebas untuk menghasilkan ayat majmuk gabungan, ayat majmuk pancangan relatif, ayat majmuk pancangan komplemen dan ayat majmuk keterangan.
8a. Dia menyanyi.
8b. Dia menyanyi manakala adiknya menari.
9a. Pahlawan itu melawan musuhnya.
9b. Pahlawan yang berani itu melawan musuhnya.
9c. Pahlawan itu melawan musuh yang menyerangnya.
10a. Dia yakin.
10b. Dia yakin bahawa dia akan berjaya.
11a. Dia tidak hadir
11b. Dia tidak hadir kerana sakit.
11c. Dia tidak hadir walaupun tidak sakit.
Dalam kelompok ayat 8, ayat 8a diluaskan untuk menjadi ayat majmuk gabungan apabila klausa bebas adiknya menari dirangkaikan dengannya melalui kata hubung manakala (lihat ayat 8b). Dalam kelompok ayat 9, ayat 9a diluaskan untuk menjadi ayat majmuk pancangan relatif apabila klausa relatif tak bebas yang berani atau yang menyerangnya ditambah (lihat ayat 9b dan 9c). Dalam kelompok ayat 10, ayat 10a diluaskan untuk menjadi ayat majmuk pancangan komplemen apabila klausa komplemen tak bebas bahawa dia akan berjaya ditambah (lihat ayat 10b). Dalam kelompok ayat 11, ayat 11a diluaskan untuk menjadi ayat majmuk pancangan keterangan apabila klausa keterangan tak bebas kerana sakit atau walaupun tidak sakit ditambah (lihat ayat 11b da 11c).