Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKata mati tergolong sebagai kata kerja tak transitif, kata adjektif dan kata nama sekali gus. Kata ini juga mendukung pelbagai makna. Sila lihat contoh ayat berikut:
1a. Lelaki tua itu mati.
1b. Persatuan itu mati kerana ahlinya semakin berkurangan.
1c. Lesen memandunya sudah mati.
1d. Selera makannya mati kerana dia jatuh sakit.
1e. Langkahnya mati di muka pintu rumahnya.
1f. Tiba-tiba bunyi muzik mati.
1g. Mesin yang rosak itu mati.
1h. Api dapurnya mati.
1i. Dia mengambil bola yang sudah mati.
1j. Sesetengah bahasa sudah mati.
1k. Gunung berapi itu sudah mati.
Dalam kelompok ayat 1, kata kerja tak transitif mati bererti “tidak bernyawa lagi” (lihat ayat 1a), “tidak beroperasi lagi” (lihat ayat 1b), “tidak sah lagi” (lihat ayat 1c), “hilang” (lihat ayat 1d), “terhenti” (lihat ayat 1e), “tidak kedengaran lagi” (lihat ayat 1f), “tidak berfungsi lagi” (lihat ayat 1g), “padam” (lihat ayat 1h), “keluar dari kawasan permainan” (lihat ayat 1i), “tidak digunakan lagi” (lihat ayat 1j) dan “tidak aktif lagi” (lihat ayat 1k).
2a. Perabot ialah benda yang mati.
2b. Banyak penduduk meninggalkan pekan mati itu.
2c. Simpulan mati itu sukar diuraikan lagi.
2d. Keretanya terhenti di hujung jalan mati itu.
2e. Pukulan matinya menumbangkan lawannya.
2f. Telaga mati itu terbiar.
2g. Hati matinya tidak dapat dipujuk lagi.
3a. Hidup dan mati ketentuan Tuhan.
Dalam kelompok ayat 2, kata adjektif mati bererti “tidak pernah hidup” (lihat ayat 2a), “sepi dan terbiar” (lihat ayat 2b), “ketat” (lihat ayat 2c), “tidak bersambung” (lihat ayat 2d), “tidak dapat dibalas” (lihat ayat 2e), “kering dan tidak digunakan lagi” (lihat ayat 2f) dan “keras dan tertutup” (lihat ayat 2g). Dalam ayat 3a pula, kata nama mati bererti “waktu nyawa terpisah daripada badan”.
Cara atau keadaan mati dikaitkan dengan pelbagai simpulan bahasa. Sila lihat contoh berikut:
4a. Dia mati andar.
4b. Ayam itu mati andar.
5a. Dia mati beragan.
5b. Pokok itu mati beragan.
5c. Tradisi itu mati beragan.
6a. Wanita itu mati beranak.
6b. Askar itu mati berdarah.
6c. Jejaka itu mati bujang.
6d. Dia mati celik.
6e. Pengemis itu sudah mati kaku/keras/kejat/kejang.
6f. Kanak-kanak itu mati lemas.
6g. Dia mati mengejut disebabkan serangan jantung.
6h. Lelaki itu mati percuma.
6i. Dia mati syahid.
6j. Dia mati salai apabila rumahnya terbakar.
6k. Dia mati sesat.
6l. Dia mati lepur di kawasan paya itu.
6m. Dia mati bersebab.
6n. Dia mati biasa.
6o. Dia mati otak.
Dalam kelompok ayat 4, mati andar bererti “mati tanpa diketahui sebab atau pembunuhnya” (lihat ayat 4a) dan “mati tanpa disembelih, mati kaku” (lihat ayat 4b). Dalam kelompok ayat 5, mati beragan bererti “mati kerana terlalu rindu, sedih dan sebagainya, mati berangai” atau “mati mengejut” (lihat ayat 5a), “mati dalam keadaan tegak berdiri” (lihat ayat 5b) dan “mati terbiar” (lihat ayat 5c). Dalam kelompok ayat 6 pula, mati beranak bererti “mati ketika melahirkan anak” (lihat ayat 6a), mati berdarah bererti “mati kerana ditikam atau dicederakan sehingga darah banyak keluar” (lihat ayat 6b), mati bujang bererti “mati ketika masih bujang atau belum berkahwin” (lihat ayat 6c), mati celik bererti “mati dalam keadaan mata terbuka luas” atau “mati sebelum hajat tercapai” (lihat ayat 6d), mati kaku/keras/kejat/kejang bererti “mati beberapa lama dan anggota badan sudah menjadi keras” (lihat ayat 6e), mati lemas bererti “mati kerana tenggelam di dalam air atau diselubungi asap” (lihat ayat 6f), mati mengejut bererti “mati secara tiba-tiba” (lihat ayat 6g), mati percuma bererti “mati sia-sia” (lihat ayat 6h), mati syahid bererti “mati ketika berjuang untuk membela kesucian Islam” (lihat ayat 6i), mati salai bererti “mati lemas disebabkan asap, panas dan sebagainya” (lihat ayat 6j), mati sesat bererti “mati dalam keadaan tidak diredai oleh Allah” (lihat ayat 6k), mati lepur bererti “mati kerana terbenam di dalam lumpur” (lihat ayat 6l), mati bersebab bererti “mati atas sebab tertentu atau atas sebab yang tidak sepatutnya mengakibatkan kematian” (lihat ayat 6m), mati biasa bererti “mati disebabkan keadaan biasa” (lihat ayat 6n) dan mati otak bererti “mati kerana otak tidak berfungsi lagi”.
Ada kalanya kata mati berkaitan dengan keadaan seolah-olah mati, seperti yang berikut:
7a. Dia mati kembali hidup.
7b. Dia mati berangan sahaja.
Dalam ayat 7a, mati kembali hidup bererti “terselamat walaupun menghadapi bahaya, bencana, sakit dan sebagainya yang teruk”. Dalam ayat 7b, mati berangan bererti “kelihatan seperti sudah mati tetapi sebenarnya tidak”.
Kata mati dapat juga membentuk simpulan bahasa lain, seperti yang berikut:
8a. Ikan rebus itu baru mati air.
8b. Dia mati akal/kutu/ikhtiar untuk mengatasi masalah itu.
8c. Dia mati angin untuk meneruskan perjuangan.
8d. Wanita itu sudah mati haid.
8e. Murid itu mati kalam di hadapan guru disiplin.
8f. Kayu api itu mati kera.
8g. Dia hidup dengan mati raga.
8g. Orang itu sudah mati rasa.
8h. Pasukan bola sepak itu kalah kerana mati rentak.
8i. Pasangan itu mati seladang.
Dalam kelompok ayat 8, mati air bererti “hampir kering” (lihat ayat 8a), mati akal/kutu/ikhtiar bererti “tidak mampu berfikir atau berusaha lagi” (lihat ayat 8b), mati angin bererti “hilang semangat” (lihat ayat 8c), mati haid bererti “putus haid” (lihat ayat 8d), mati kalam bererti “tidak dapat berkata-kata kerana gementar, gugup dan sebaginya” (lihat ayat 8e), mati kera bererti “sudah dipotong tetapi masih basah atau liat” (lihat ayat 8f), mati rasa bererti “tidak berasa apa-apa pada anggota badan” atau “tidak ada apa-apa perasaan terhadap seseorang atau sesuatu” (lihat ayat 8g), mati rentak bererti “tidak dapat beraksi atau bermain dengan baik” (lihat ayat 8h) dan mati seladang bererti “sehidup semati hingga akhir hayat” (lihat ayat 8i).
Demikianlah, perihal kata “mati” bukanlah sekadar satu perkataan, tetapi sebuah jendela yang membuka pelbagai dimensi makna. Perkataan ini menggariskan kekayaan dan kelenturan bahasa Melayu. Satu perkataan mampu merangkum falsafah, perumpamaan, dan peringatan yang mendalam, menjadikannya bukti nyata keindahan perbendaharaan kata bahasa Melayu. Memahami pelbagai dimensi makna perkataan “mati”, kita sedar betapa kaya dan dinamisnya bahasa Melayu, yang menuntut kita untuk tidak hanya menggunakannya, tetapi juga menghayatinya. Mari terus meneroka dan menghargai keindahan perbendaharaan kata bahas Melayu, kerana setiap perkataan, walau sekecil mana pun, menyimpan erti yang jauh lebih besar daripada yang terlihat.