Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSabah − Sebanyak 60 pembentang yang terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa telah menyertai pembentangan kertas kerja dalam Seminar Bahasa, Budaya dan Kesusasteraan Melayu Ke-6 (SEBAHTERA Ke-VI) bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2025 pada 5−6 November 2025 di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Keningau.
Tema penganjuran SEBAHTERA kali ini menekankan kesinambungan usaha memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa perpaduan dan bahasa tamadun, seiring dengan aspirasi Malaysia MADANI.

Objektif seminar ini adalah untuk menyediakan wahana membentangkan kertas penyelidikan dalam bidang bahasa, budaya dan kesusasteraan Melayu di peringkat institut pendidikan guru di Malaysia khususnya di IPG Kampus Keningau.
Ucaptama I telah disampaikan oleh Pensyarah Kanan dari Pusat Penataran Ilmu dan Bahasa, Universiti Malaysia Sabah (UMS), YBrs. Professor Madya Dr. Saidatul Nornis binti Hj. Mahali dengan tajuk “Bahasa Peribumi Sebagai Medium Peneguhan Jiwa Bangsa”.
Manakala ucaptama II pula disampaikan oleh Sasterawan Negeri Sabah, YBhg. Datuk Jasni bin Matlani dengan tajuk tema “Bahasa, Budaya dan Sastera Membentuk Jati Diri Negara Bangsa”.
Dalam ucapan perasmian penutupan, Timbalan Rektor Pusat Pembangunan Latihan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) mewakili Timbalan Rektor Kanan, YBhg. Dr. Yazid bin Abdul Manap merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada IPG Kampus Keningau serta DBP Cawangan Sabah atas penganjuran seminar yang berimpak tinggi ini dan menyeru agar seminar ini diteruskan lagi pada masa akan datang.

Majlis perasmian turut diserikan dengan penyampaian Anugerah Kertas Penyelidikan Terbaik kategori para pelajar, pensyarah dan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), dan penyerahan Wakaf Buku DBP kepada wakil Sekolah Kebangsaan Bingkor.
Artikel “Penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dalam Pendidikan Sekolah Rendah di Asia Tenggara: Suatu Sorotan Skop” karya YBrs. Dr. Mohd Fadzly bin Wasriep, Puan Wendy Inggu dan Puan Illyana Samin memenangi anugerah artikel terbaik kategori warga KPM.
Sementara itu, bagi kategori pensyarah pula dimenangi oleh Puan Bawani a/p Sincaroo, Encik Badrul Hisham bin Ismail, Puan Lee Jia Yee dengan tajuk kajian “Pengaruh Penerimaan Teknologi, Digital Literasi dan Norma Subjektif Terhadap Niat Guru Menggunakan Pembelajaran Berasaskan Permainan di Sekolah Rendah Daerah Keningau Sabah”. Bagi kategori pelajar pula dimenangi oleh Puan Anah binti Antodin dengan tajuk kajian “Sintesis Identiti Budaya dalam Kesusasteraan Melayu Moden Melalui Pendekatan Sastera Bandingan”.
Yang turut hadir dalam majlis ini ialah Pengarah IPG Kampus Keningau, YBrs. Encik Doti bin Asing; dan Timbalan Pengarah I mewakili Pengarah DBP Cawangan Sabah, Puan Julianah binti Kuli.