Diterbitkan pada 3 Januari 2026, 13:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pada setiap hujung tahun, ramai yang berhasrat untuk menetapkan azam tahun baharu yang bakal menjelang. Azam tahun baharu merupakan satu bentuk komitmen atau janji pada diri sendiri untuk melakukan sesuatu perubahan, misalnya dari segi kewangan peribadi, pembangunan dan kesihatan diri bermula dari awal tahun hinggalah hujung tahun. Hal ini berfungsi sebagai peta bagi pelaksanaan azam tersebut sepanjang 12 bulan yang mendatang. Azam tahun baharu menjadi simbol permulaan, berfungsi sebagai pendorong motivasi yang menggerakkan semangat seseorang untuk mencapainya.

Pernahkah kita mendengar azam seseorang individu untuk menguasai bahasa Melayu dengan cekap dan betul? Umum mengetahui bahawa bahasa Melayu masih longgar penguasaannya dalam kalangan  rakyat Malaysia. Hal ini memperlihatkan bahawa rakyat Malaysia terumbang-ambing ibarat perahu kecil dilambung ombak. Ke pantai tidak, ke tengah lautan pun tidak. Kebanyakan mereka tidak mengambil peduli untuk mempelajarinya, apatah lagi untuk menguasainya. Oleh itu, bersempena dengan tahun baharu ini, satu saranan buat seluruh warga Malaysia untuk menanam azam bagi menguasai bahasa Melayu dengan cekap dan betul. Bukankah hal ini lebih bermakna bagi diri kita sebagai warganegara yang bahasa kebangsaannya ialah bahasa Melayu?

Jika ditanya kepada diri, di manakah letaknya nilai patriotisme terhadap bahasa kebangsaan negara sendiri sekiranya masih tidak mampu menguasai bahasa tersebut? “Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung”. Begitulah perumpamaan yang tepat bagi bahasa Melayu di bumi Malaysia. Sebagai rakyat negara ini, seharusnya kita bersama-sama memainkan peranan untuk menanam azam bagi menjunjung bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Benar sekali bahawa tiada akta yang menyatakan bahawa  setiap rakyat negara ini perlu menguasai dan fasih berbahasa Melayu, namun sebagai warganya, kita seharusnya memiliki kesedaran untuk melazimi bahasa Melayu sebagai satu daripada perkara utama yang mesti diberikan penekanan sebagai usaha melestarikan bahasa kebangsaan tersebut dan diwarisi dari generasi ke generasi.

Bersempena dengan tahun baharu ini, perbaharuilah kesedaran kita tentang perkara ini dan meletakkan azam untuk melakukannya sehingga berjaya mengusainya. Di mana ada kemahuan, di situ pasti ada jalan. Begitulah kita sebagai rakyat Malaysia yang diwariskan dengan pelbagai peribahasa untuk dijadikan pedoman menjalani kehidupan. Usaha dan kemahuan menjadi kunci utama untuk memulakan langkah bagi menguasai bahasa Melayu. Pempengaruh yang berasal dari Korea Selatan, Maryam You Narae menjadi contoh terbaik sebagai individu yang berusaha gigih menggunakan bahasa Melayu untuk berinteraksi dengan peminatnya di negara ini. Tambahan lagi, beliau turut mengajar anaknya yang berusia empat tahun berbahasa Melayu dalam komunikasi harian mereka. Contoh ini jelas menunjukkan bahawa semuanya bermula dari diri kita sendiri untuk memulakan langkah atau kekal pada takuk lama.

Penguasaan bahasa Melayu yang merupakan bahasa kebangsaan membuktikan kecintaan rakyat Malaysia terhadap negara. Kepelbagaian kaum di Malaysia tidak mengikat rakyat untuk menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam komunikasi sehari-hari. Namun begitu, kebebasan ini seharusnya dihargai dengan turut sama memainkan peranan bagi mendukung penggunaan bahasa kebangsaan dalam kehidupan. Sebagai warganya, amat tidak wajar sekiranya kita masih “pelat” berbahasa kebangsaan sedangkan kita adalah rakyat Malaysia. Lebih parah lagi apabila kita langsung tidak tahu berbahasa Melayu. Adakah kita layak digelar warganegara dan membuktikan diri kita cinta dan bangga akan negara ini? Situasi yang agak canggung sekiranya warga asing lebih bermotivasi untuk belajar dan menguasai bahasa kebangsaan negara ini atas tuntutan kerja berbanding dengan warganya yang hidup selesa, namun gagal menguasai bahasa kebangsaan negaranya sendiri.

Perkara asas yang perlu ada untuk mempelajari dan seterusnya menguasai bahasa Melayu adalah minat. Sekiranya minat berjaya dipupuk, rakyat Malaysia tidak akan berhadapan dengan banyak masalah untuk mempelajarinya dan proses pembelajaran akan menjadi lebih mudah dan lancar. Lazimnya, masyarakat cenderung ke arah perkara yang diminati. Oleh itu, hasil yang terbaik dapat diperoleh sekiranya sesuatu perkara dapat dilakukan berlandaskan minat dan sepenuh jiwa. Kesukaran yang muncul dalam perjalanan menguasai bahasa Melayu yang baik adalah perkara yang biasa berlaku dalam kalangan bukan penutur natif. Walau bagaimanapun, setiap kesungguhan, fokus dan latihan yang berterusan sudah pasti akan membuahkan hasil yang berbaloi.

Keputusan yang diambil untuk memupuk minat terhadap bahasa Melayu menunjukkan bahawa komitmen untuk mempelajarinya telah pun bermula. Komitmen yang diberikan adalah penentu kejayaan bagi merealisaikan azam untuk menguasai bahasa Melayu yang baik dan tepat. Hakikatnya, untuk menguasai apa-apa jua bahasa memerlukan komitmen dan ketekunan dan hal ini merupakan suatu proses yang panjang dan menuntut pelbagai pengorbanan seseorang individu termasuklah masa, tenaga dan emosi.  Bermula daripada komitmen kecil yang diberikan, lama-kelamaan pasti akan dapat menyesuaikan diri dengan semua yang diperlukan sepanjang proses pembelajaran yang dilalui.

Situasi seperti ini, lazimnya akan membawa kita untuk melangkah lebih jauh dalam perkara yang dilakukan. Apabila sesuatu perkara itu merupakan tindakan yang “mesti” dilakukan, kita akan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya. Begitu juga halnya tentang proses menguasai bahasa Melayu. Setiap lapisan masyarakat termasuklah pemimpin negara, para pendidik, ibu bapa, mahasiswa dan komuniti masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing agar bahasa Melayu tidak hanya berfungsi sebagai bahasa di dalam buku teks, sebaliknya kembali menjadi lingua franca di negara kita dan generasi muda dapat mewarisi bahasa kebangsaan ini dengan bangga.

Sebaliknya, apabila sesuatu perkara itu bersifat “patut”, kecenderungan lebih terarah untuk membenarkan ataupun membiarkan apa-apa sahaja penghalang terhadap usaha untuk mencapainya. Kesan daripada kecenderungan tersebut menjadikan seseorang individu akan lebih mudah mengalah apabila berhadapan dengan kesukaran atau kekangan tertentu. Kesudahannya, azam untuk menguasai bahasa Melayu hanya tinggal azam menjelang penghujung tahun. Demikianlah kuasa kata “mesti” berbanding dengan “patut”.

Memasang azam untuk menguasai bahasa Melayu mungkin dilihat sebagai suatu perkara yang kecil, namun hakikatnya memberikan impak yang besar jika azam tersebut berjaya dicapai. Tidak salah sekiranya seorang pencinta bahasa Melayu membayangkan seluruh rakyat Malaysia menyahut azam ini dan meletakkan kemestian untuk mencapainya. Apakah yang bakal berlaku? Tidak lain dan tidak bukan bahasa Melayu bukan lagi sekadar di pinggiran. Sikap cakna bahasa kebangsaan dalam kalangan rakyat akan mulai mekar dan “roh” bahasa Melayu kembali hidup dalam jiwa pencintanya. Siapakah pencinta bahasa Melayu itu? Kitalah warga Malaysia yang bangga dengan bahasa kebangsaan negaranya.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi