Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPeringatan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi turut tertakluk kepada para menteri bukanlah suatu peringatan remeh atau bersifat pentadbiran semata-mata. Hal ini menyentuh teras Perlembagaan Persekutuan, maruah negara dan asas pembinaan bangsa Malaysia. Bahasa kebangsaan bukan sekadar alat komunikasi, tetapi juga merupakan simbol kedaulatan, teras identiti nasional dan wahyu peradaban yang mengikat rakyat pelbagai kaum di bawah satu payung kenegaraan. Dalam konteks ini, tuntutan agar penggunaan bahasa Melayu dimartabatkan secara tegas termasuklah melalui penguatkuasaan undang-undang dan syarat kelayakan perjawatan bagi jawatan awam, wajar dibahaskan secara rasional, berfakta dan berteraskan perlembagaan.
Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menetapkan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu dan hendaklah digunakan bagi maksud rasmi. Kedudukan ini bukan bersifat simbolik ataupun opsyenal, sebaliknya mandatori dalam semua urusan rasmi kerajaan, Parlimen, Dewan Undangan Negeri (DUN) dan jabatan kerajaan mahupun swasta yang berurusan dengan jabatan kerajaan. Peruntukan itu lahir daripada konsensus sejarah menjelang kemerdekaan, bahawa bahasa Melayu dipilih sebagai bahasa kebangsaan kerana sifatnya yang inklusif, berakar di alam Melayu serta berfungsi sebagai lingua franca sejak berabad-abad lamanya.
Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan bukan merupakan bahasa bagi satu kaum semata-mata, sebaliknya merupakan bahasa peradaban di rantau ini. Kegagalan mematuhi Perkara 152 khususnya dalam kalangan pemimpin tertinggi negara bukan sekadar kecuaian linguistik, tetapi juga pengabaian terhadap amanah perlembagaan.
Bahasa dan Kepimpinan: Tanggungjawab Moral dan Undang-undang
Pemimpin tertinggi negara merupakan cerminan bagi sesebuah negara. Setiap langkah dan tindakan yang dibuat oleh golongan ini akan mendapat penilaian bukan sahaja daripada rakyat negara tersebut malah lebih daripada itu, masyarakat yang berada di luar ruang lingkup negara tersebut. Dengan perkataan lain, masyarakat negara luar dan migran yang ada di negara itu akan memberikan persepsi terhadap langkah dan tindakan yang dibuat oleh pemimpin tertinggi sesebuah negara.
Dalam konteks Malaysia, apabila menteri menggunakan bahasa selain bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi, sidang Parlimen atau majlis kerajaan tanpa keperluan munasabah, mesej yang sampai kepada rakyat dilihat tidak cukup bernilai. Hal ini memberikan kesan jangka panjang terhadap sikap masyarakat, khususnya generasi muda bagi penggunaan bahasa Melayu. Oleh hal yang demikian, tidak keterlaluan sekiranya jawatan pimpinan tertinggi negara juga terlibat dengan syarat penguasaan bahasa kebangsaan sebagai prasyarat di samping perjawatan kerajaan yang lain.
Jika dapat dilihat di negara maju seperti Jerman, Jepun dan China sebagai contohnya, penggunaan bahasa ibunda sebagai bahasa utama negara tersebut menjadi bukti sebagai faktor penyumbang terhadap kemakmuran negara tersebut dari pelbagai aspek termasuklah ekonomi, pentadbiran dan sosial. Negara tersebut juga mengangkat bahasa rasmi mereka dalam apa-apa persidangan antarabangsa tanpa berasa bimbang sekiranya pemimpin dunia yang lain tidak dapat memahami bahasa mereka. Penguasaan bahasa rasmi negara ialah syarat asas kenegaraan, bukan isu perkauman atau diskriminasi. Bahasa kebangsaan ialah bahasa undang-undang, pentadbiran dan keadilan. Tanpa penguasaan terhadap bahasa tersebut, bagaimanakah seorang pemimpin dapat memahami sepenuhnya denyut nadi rakyat yang berada di bawah pimpinannya?
Dewan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) merupakan medan tertinggi demokrasi dan tidak wajar dicemari dengan penggunaan bahasa pasar, bahasa rojak atau bahasa asing secara berleluasa. Bahasa yang digunakan di dewan legislatif tersebut mencerminkan tahap ketamadunan politik sesebuah negara. Penggunaan bahasa Melayu yang baik, tepat dan bermartabat di Parlimen bukan bermaksud menolak kepelbagaian bahasa, tetapi menegaskan bahawa dalam urusan rasmi negara, bahasa kebangsaan perlu diutamakan. Walau bagaimanapun, bahasa lain boleh digunakan dalam konteks tertentu dengan terjemahan rasmi, sebagaimana amalan di banyak negara.
Bahasa Kebangsaan sebagai Bahasa Peradaban
Menurut Asmah Haji Omar (2008), bahasa Melayu memiliki sejarah yang panjang sebagai bahasa ilmu, perdagangan dan diplomasi. Sejak abad ke-7, bahasa ini digunakan dalam prasasti, kitab agama, undang-undang adat, persuratan diraja dan karya sastera agung. Antara keistimewaan bahasa Melayu termasuklah bersifat inklusif dan lentur kerana berupaya menyerap istilah baharu, memiliki struktur yang logik dan sistematik dan kaya dengan khazanah kesusasteraan dan pemikiran masyarakatnya sejak dahulu.
Uniknya bahasa Melayu juga merupakan bahasa rasmi bagi Indonesia (dalam bentuk Bahasa Indonesia), Brunei Darussalam dan satu daripada bahasa rasmi Singapura. Secara global, jumlah penutur bahasa Melayu dianggarkan melebihi 300 juta orang, menjadikan bahasa ini adalah antara bahasa utama dunia.
DBP sebagai Pemudah Cara dan Penguat kuasa
Umum mengetahui bahawa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) berperanan penting sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap pemeliharaan dan pemuliharaan bahasa Melayu. Di samping berperanan dalam pelbagai kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu, DBP turut berfungsi terhadap pembangunan bahasa dengan memastikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara dapat difahami, dikuasai dan dimartabatkan oleh seluruh warga Malaysia.
Dalam konteks ini, di samping berperanan sebagai penasihat bagi aspek kebahasaan, DBP juga menjalankan tugas penguatkuasaan terhadap penggunaan bahasa kebangsaan termasuklah melalui Audit Bahasa, Khidmat Nasihat Bahasa dan Pantau Tegur Bahasa. Hal ini memperlihatkan usaha DBP demi memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan dan tidak dipandang enteng oleh sesiapa pun. DBP juga menjalinkan kerjasama strategik dengan agensi awam dan swasta sebagai usaha memastikan bahawa bahasa kebangsaan berada pada martabat yang tinggi selari dengan peranannya yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Pada era yang menuntut ketegasan hari ini, pertimbangan sewajarnya perlu diberikan kepada DBP tentang kuasa undang-undang yang lebih besar untuk mengambil tindakan khususnya terhadap penyalahgunaan bahasa kebangsaan dalam urusan kerajaan dan badan awam. Perbandingan boleh dibuat dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Apabila diberikan kuasa dan kebebasan terhadap kuasa undang-undang, SPRM dapat menyiasat dan mendakwa pihak yang bersalah tanpa mengira siapakah pesalah tersebut mahupun apakah pangkat dan darjat yang dimiliki. Perbuatan salah laku yang mewajarkan SPRM mengambil tindakan secara telus ini membolehkan masyarakat cakna terhadap setiap langkah dan perbuatan yang dilakukan sama ada secara sembunyi atau terang-terangan. Prinsip yang sama boleh diterapkan bagi perihal bahasa kerana secara prinsipnya, tiada siapa-siapa pun yang kebal terhadap peraturan bahasa kebangsaan. Impaknya, hal ini bukanlah tentang tindakan menghukum, sebaliknya usaha mendidik serta memelihara ketetapan dan kedaulatan perlembagaan.
Frasa “bahasa bangsa ketuanan” perlu difahami dalam konteks perlembagaan dan sejarah, bukan dengan emosi. Bahasa Melayu merupakan bahasa teras negara, namun tidak menafikan hak bahasa lain untuk berkembang pada ruang masing-masing serta menghormati bahasa kebangsaan bagi urusan rasmi dalam sektor awam. Keharmonian dicapai bukan dengan mengorbankan bahasa kebangsaan, tetapi dengan meletakkannya di tempat yang paling wajar, sambil menghormati kepelbagaian budaya.
Bahasa kebangsaan ialah jambatan, bukan tembok. Bahasa ini berperanan untuk menyatukan, bukan memisahkan. Peringatan yang disuarakan baru-baru ini harus dilihat sebagai amaran perlembagaan dan seruan kesedaran nasional. Bahasa kebangsaan bukanlah milik DBP semata-mata, tetapi milik negara dan rakyat. Tanpa bahasa yang dihormati, negara kehilangan jiwa. Sudah tiba masanya Malaysia melangkah lebih tegas. Tugas memartabatkan bahasa Melayu bukan lagi dengan slogan semata-mata, sebaliknya dengan undang-undang, kepimpinan bersandarkan teladan dan penguatkuasaan yang berwibawa. Seluruh warganegara Malaysia mestilah menyematkan dalam minda dan jiwa bahawa bahasa merupakan asas negara bangsa. Jika bahasa kebangsaan negara dijaga dan dipelihara, bermakna kita sedang menjaga masa hadapan tanah air kita.