Diterbitkan pada 1 Februari 2026, 09:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pembimbing Penulisan Rasmi: Ilmu Bahasa Merentas Disiplin

Dalam landskap pentadbiran awam yang semakin kompleks, kejelasan bahasa menjadi nadi terhadap keberkesanan penyampaian dasar dan keputusan. Dalam hal ini, peranan Ahmad Burhan Sidqi bin A. Rahim sebagai pembimbing penulisan rasmi menzahirkan hakikat bahawa bahasa bukan sekadar pelengkap, malah menjadi penentu autoriti dan ketepatan makna sesuatu dokumen. Walaupun bidang tugas hakiki beliau tertumpu dalam bidang perundangan sebagai Penolong Pegawai Undang-Undang di Majlis Daerah Besut, pelibatan secara aktif beliau untuk mengendalikan Kursus Penulisan Dokumen Rasmi membuktikan bahawa kepakaran bahasa mampu merentas disiplin dan memperkasakan fungsi institusi.

Sejak ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa dan Perunding Profesional Dokumen Rasmi Kerajaan oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) pada tahun 2017, beliau secara konsisten berkongsi kepakaran dalam penulisan surat rasmi, memo dan e-mel kerajaan. Perkongsian tersebut bukan sahaja menekankan terhadap pematuhan format berasaskan pekeliling terkini, malah menggarap penggunaan bahasa dan tatabahasa yang berwibawa, tepat dan berkesan. Sehingga kini, lebih 30 kursus telah dikendalikan melibatkan lebih 30 agensi kerajaan dan swasta, sama ada secara bersemuka mahupun dalam talian. Hal ini sekali gus memperlihatkan keperluan mendesak terhadap bimbingan bahasa yang berkualiti dalam sektor pentadbiran.

Pendekatan bimbingan yang diketengahkan pula tidak bersifat mekanikal. Tiga aspek utama menjadi teras, iaitu penguasaan format dokumen rasmi, ketepatan bahasa serta keupayaan memugar dan mengembangkan idea penulisan. Aspek terakhir ini sering menjadi nilai tambah yang membezakan kursus kendalian beliau kerana peserta bukan sekadar dilatih menulis mengikut acuan, tetapi dibimbing untuk menyusun fikiran secara sistematik, bernalar dan beretika dalam konteks komunikasi rasmi

Bahasa dan Perundangan: Kesepaduan demi Kefahaman Awam

Keistimewaan peranan Ahmad Burhan Sidqi terletak pada kesepaduan antara bahasa dan perundangan yang digarap secara seimbang. Sebagai penasihat perundangan jabatan, beliau memahami bahawa dokumen undang-undang yang baik bukan sahaja sah dari segi peraturan, tetapi juga perlu difahami oleh pembaca sasaran. Di sinilah peranan Munsyi Muda Bahasa menjadi pemangkin, apabila bahasa yang jelas, tersusun dan bernuansa membantu menyingkap maksud perundangan yang sering dianggap kaku dan sukar didekati.

Keberkesanan pendekatan ini dapat dilihat melalui maklum balas pascakursus yang dikumpulkan secara sistematik. Peserta memberikan penilaian tentang peningkatan tahap kefahaman terhadap teknik membina ayat, pengayaan kosa kata serta kaedah mencari dan mencairkan idea agar mesej dapat disampaikan dengan lebih jelas dan berkesan. Malah, perubahan positif turut dikesan apabila berlaku penyeragaman dan penambahbaikan format dokumen di institusi terlibat selepas sesi perkongsian dijalankan. Hal ini sekali gus mencerminkan impak langsung peranan pembimbing penulisan rasmi demi memperkukuh budaya bahasa.

Dalam konteks yang lebih luas, pengalaman ini membuktikan bahawa kelestarian bahasa tidak dapat dipisahkan daripada kandungan perundangan dan pentadbiran. Apabila bahasa yang tepat menyelubungi wacana undang-undang, kefahaman masyarakat terhadap aksara perundangan menjadi lebih mudah, mesra dan membumi. Kesepaduan inilah yang menjadikan peranan Munsyi Muda Bahasa bukan sekadar tanggungjawab individu, tetapi suatu amanah keilmuan yang menyumbang terhadap pembinaan tadbir urus yang telus dan berwibawa.

Sastera sebagai Tanggungjawab Kebahasaan

Program Munsyi Muda Bahasa diwujudkan bukan semata-mata untuk melahirkan penjawat awam yang mahir tatabahasa, tetapi turut membentuk individu yang memiliki kepekaan bahasa dan kesedaran budaya. Dalam hal ini, sastera berfungsi sebagai ruang penghayatan bahasa yang paling mendalam kerana di situlah bahasa diuji dari segi keindahan, ketepatan makna dan kekuatan ekspresi.

Pelibatan Munsyi Muda Bahasa dalam sastera membuktikan bahawa pemartabatan bahasa kebangsaan bukan hanya soal pematuhan pekeliling, sebaliknya satu usaha berterusan yang memerlukan jiwa, komitmen dan kesanggupan menyumbang di luar deskripsi tugas rasmi.

Antara contoh Munsyi Muda Bahasa yang memperlihatkan tanggungjawab ini secara jelas ialah Wan Mohd Akmal bin Wan Mansor, seorang Pegawai Khas kepada Ketua Setiausaha yang berkhidmat di Pejabat Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Malaysia. Tugas hakiki beliau dalam bidang pengurusan dan pentadbiran tidak menghalang minat dan komitmennya terhadap bahasa dan sastera sehingga mendorong pelibatan aktif di luar ruang rasmi jawatan.

Beliau telah ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa pada tahun 2020, dan sejak itu menjadikan sastera sebagai satu daripada medium utama untuk melestarikan bahasa Melayu dalam ekosistem pendidikan dan masyarakat.

Pelibatan Aktif dalam Dunia Sastera

Dalam lapangan sastera, Wan Mohd Akmal memainkan peranan yang pelbagai dan berimpak. Antaranya beliau pernah bertugas sebagai Pegawai Meja Koakademik Majlis Bahasa Melayu (MBM) di Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang terlibat secara langsung dalam aspek pengurusan dan penyelarasan aktiviti koakademik yang berkaitan dengan bahasa dan sastera.

Selain peranan pentadbiran, beliau turut terlibat secara langsung untuk melatih dan membimbing murid dalam pelbagai genre sastera seperti pantun, puisi, teater dan drama. Peranan ini bukan sahaja menuntut kemahiran bahasa yang tinggi, tetapi juga keupayaan mendidik, membentuk bakat dan menyemai minat terhadap sastera dalam kalangan generasi muda.

Beliau juga sering dilantik sebagai hakim atau juri pertandingan sastera, termasuk pertandingan pantun, puisi, teater dan drama. Tanggungjawab ini memperlihatkan kepercayaan terhadap kepakaran dan integriti beliau untuk menilai karya sastera secara adil, berwibawa dan berlandaskan prinsip kebahasaan yang betul.

Di samping pelibatan lapangan, Wan Mohd Akmal turut menyumbang secara aktif dalam dunia penulisan. Beliau merupakan penulis ruangan “Tinta Warisan” dalam Majalah Tunas Cipta terbitan DBP bagi tempoh 2023 hingga 2024. Ruangan ini menjadi wadah untuk mengangkat warisan sastera dan nilai budaya Melayu kepada khalayak yang lebih luas.

Tanggungjawab dalam sastera tidak terhenti dalam bidang penulisan dan persembahan semata-mata. Wan Mohd Akmal turut memainkan peranan penting di sebalik tabir sebagai pembimbing, penyemak dan penyunting karya sastera. Beliau turut membantu memperhalus karya untuk tujuan pertandingan atau penerbitan, memastikan penggunaan bahasa yang tepat, indah dan menepati laras sastera. Peranan ini amat signifikan kerana hal ini melibatkan pemindahan ilmu dan pengalaman kepada penulis baharu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekosistem sastera yang sihat dan berkualiti.

 Kesatuan Peranan, Kesamaan Matlamat

Walaupun Munsyi Muda Bahasa berlatarbelakangkan pelbagai skim perkhidmatan dan tugas hakiki yang berbeza – sama ada dalam bidang pentadbiran, perundangan, keselamatan, pendidikan, teknikal mahupun pengurusan – hakikatnya mereka disatukan oleh satu amanah yang dikongsi bersama. Kepelbagaian latar belakang ini bukanlah satu kelemahan, sebaliknya menjadi kekuatan sinergi yang membuktikan bahawa perjuangan bahasa melangkaui sempadan disiplin. Dalam medan tugas masing-masing, mereka berperanan sebagai pemelihara mutu bahasa, penasihat kebahasaan dan suri teladan penggunaan bahasa Melayu yang betul, berwibawa serta beretika.

Kesatuan matlamat inilah yang mengangkat kedudukan Munsyi Muda Bahasa melangkaui sekadar satu pengiktirafan profesional dalam perkhidmatan awam. Tanggungjawab yang digalas merentasi tembok organisasi dan jabatan, lantas melebar ke segenap lapisan masyarakat. Agenda memartabatkan bahasa Melayu tidak seharusnya terhenti pada naskhah dokumen rasmi atau komunikasi kerajaan semata-mata, sebaliknya perlu diperkasakan sebagai bahasa ilmu, wadah perpaduan dan citra jati diri negara. Dalam konteks ini, setiap Munsyi Muda Bahasa tanpa mengira  medan tugas hakiki, bertindak sebagai ejen kesedaran nasional yang memastikan bahasa Melayu terus hidup, disanjung tinggi, dan relevan dalam denyut nadi kehidupan masyarakat.

Rumusannya, Munsyi Muda Bahasa merupakan manifestasi iltizam negara dalam usaha memelihara martabat bahasa kebangsaan secara berterusan dan berstruktur. Di luar bidang tugas rasmi, mereka memikul amanah besar sebagai pemelihara mutu bahasa, penyemai kesedaran dan penggerak budaya bahasa yang berwibawa. Agenda pemerkasaan bahasa kebangsaan bukan milik satu institusi atau kelompok tertentu, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh warganegara. Bahasa ialah jiwa bangsa. Memeliharanya bererti mempertahankan maruah, memperkukuh perpaduan dan mewariskan jati diri kepada generasi akan datang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi