Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBahasa Melayu adalah teras bagi pembentukan negara bangsa Malaysia. Kedudukannya sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan telah dimaktubkan dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan sekali gus mengangkat bahasa ini sebagai lambang kedaulatan, identiti dan kesepaduan nasional. Sejak berabad-abad lamanya, bahasa Melayu berfungsi sebagai lingua franca di alam Melayu sebagai bahasa perdagangan, diplomasi dan penyebaran ilmu yang merentas sempadan budaya serta wilayah.
Bahasa Melayu telah diperkenalkan sebagai bahasa ilmu, bahasa pentadbiran dan bahasa perhubungan sosial seawal usia kanak-kanak. Proses pembelajaran yang berterusan membentuk keupayaan berfikir, kehalusan budi dan keperibadian bangsa. Bahasa Melayu, di samping menjadi satu daripada subjek akademik turut berperanan sebagai wahana pembinaan nilai dan jati diri warganegara.
Namun begitu, dalam landskap global yang kian mencabar, kedudukan bahasa Melayu dilihat sedikit goyah. Hal ini berikutan penggunaan bahasa asing yang meluas dalam sektor profesional, korporat dan teknologi sehingga menyebabkan bahasa kebangsaan adakalanya dipinggirkan, khususnya dalam komunikasi rasmi dan penulisan profesional. Keadaan ini menimbulkan persoalan tentang tanggungjawab kolektif demi memastikan bahasa Melayu terus berfungsi sebagai bahasa pentadbiran yang berwibawa dan berprestij.
Tanggungjawab memartabatkan bahasa kebangsaan tidak boleh dibebankan kepada satu institusi atau kelompok tertentu sahaja. Seiring dengan itu, kerajaan Malaysia telah secara konsisten mengeluarkan pelbagai pekeliling dan surat edaran bagi memperkukuh penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam. Antaranya termasuklah Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 yang menggariskan langkah-langkah memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan, diikuti Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2011 yang menyediakan panduan jelas tentang penggunaan bahasa Melayu dalam urusan rasmi kerajaan.
Usaha pemerkasaan ini diteruskan melalui Pekeliling Perkhidmatan Sumber Manusia Ceraian PO.1.1.1 mengenai Pemerkasaan Penggunaan Bahasa Melayu dalam Perkhidmatan Awam serta Surat Edaran Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam pada tahun 2025. Kesemuanya menetapkan bahawa setiap perkara, aktiviti, program, projek dan urusan rasmi kerajaan hendaklah menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Terjemahan dalam bahasa Inggeris hanya dibenarkan sekiranya perlu, tanpa menjejaskan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama. Dalam konteks ini, setiap pegawai awam bertanggungjawab menggunakan bahasa Melayu dengan baik sama ada secara lisan atau bukan lisan, manakala ketua jabatan wajib memastikan pematuhan sepenuhnya dalam setiap urusan rasmi jabatan masing-masing.
Selari dengan tuntutan dasar dan keperluan pelaksanaan yang berkesan inilah, muncul peranan strategik Munsyi Muda Bahasa sebagai pemangkin bagi budaya bahasa yang berdisiplin, berwibawa dan berterusan dalam perkhidmatan awam.
Sejarah dan Konsep Munsyi Muda Bahasa
Munsyi Muda Bahasa diwujudkan sebagai satu inisiatif bersepadu hasil kerjasama strategik antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) bermula tahun 2015. Program ini bertujuan melahirkan penjawat awam yang berkeupayaan tinggi dalam aspek kebahasaan dan berperanan sebagai rujukan dalaman di organisasi masing-masing.
Perkataan “munsyi” membawa makna guru atau pakar, manakala “muda” merujuk kepada generasi pelapis yang berperanan meneruskan perjuangan demi memartabatkan bahasa kebangsaan dalam konteks semasa.
Munsyi Muda Bahasa bukanlah suatu jawatan yang baharu, sebaliknya satu pengiktirafan profesional yang memerlukan komitmen, disiplin dan kesediaan untuk memikul tanggungjawab kebahasaan di luar skop tugas hakiki.
Objektif utama pewujudan Munsyi Muda Bahasa adalah untuk memastikan penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam menepati kaedah, laras dan tatabahasa yang betul. Selain itu, Munsyi Muda Bahasa berperanan sebagai penasihat kebahasaan dalam proses penyediaan dokumen rasmi seperti surat-menyurat, minit mesyuarat dan bahan komunikasi organisasi. Lebih daripada itu, Munsyi Muda Bahasa berfungsi sebagai agen perubahan budaya bahasa dengan menyemai kesedaran bahawa bahasa Melayu ialah bahasa profesional, bahasa ilmu dan bahasa pentadbiran yang mampu berdiri setara dengan bahasa lain pada peringkat global.
Kelayakan dan Latihan Munsyi Muda Bahasa
Program Munsyi Muda Bahasa terbuka kepada penjawat awam daripada pelbagai skim perkhidmatan. Kriteria utama ialah minat yang mendalam terhadap bahasa, komitmen untuk belajar serta kesediaan menyumbang kepakaran bahasa kepada organisasi. Yang lebih penting, kedudukan jawatan pegawai dalam jabatan mengizinkannya menjadi titik rujukan warga jabatan. Kursus asas dan pemantapan yang dilalui oleh bakal Munsyi Muda Bahasa merangkumi aspek tatabahasa, kesalahan lazim, kesantunan bahasa, pemilihan istilah dan latihan praktikal penulisan dokumen rasmi. Latihan ini bertujuan memastikan Munsyi Muda Bahasa memahami teori bahasa sekali gus berkeupayaan mengaplikasikan pengetahuan tersebut dalam situasi sebenar pentadbiran dan komunikasi rasmi.
Perkembangan dan Pengiktirafan Terkini Munsyi Muda Bahasa
Peranan Munsyi Muda Bahasa semakin menyerlah melalui pelbagai inisiatif dan pengiktirafan pada peringkat nasional. Pada 6 November 2024, sebanyak 161 penjawat awam telah ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa. Hal ini mencerminkan komitmen berterusan kerajaan untuk memperkukuh mutu penggunaan bahasa Melayu dalam perkhidmatan awam.
Kepelbagaian latar belakang Munsyi Muda Bahasa turut membuktikan keluasan peranan ini apabila seorang penguasa bomba daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor sebagai anggota bomba yang pertama ditauliahkan menjadi Munsyi Muda Bahasa. Perkembangan tersebut memperlihatkan bahawa pemerkasaan bahasa kebangsaan dalam ranah perkhidmatan awam berupaya merentas bidang operasi dan keselamatan awam.
Usaha memperkukuh peranan pascapentauliahan diterjemahkan melalui penganjuran Konvensyen Munsyi Muda Bahasa 2025 yang menghimpunkan Munsyi Muda Bahasa dari seluruh negara. Konvensyen ini merupakan kali kedua dianjurkan seumpamanya selepas konvensyen kali pertama pada tahun 2021. Konvensyen ini berfungsi sebagai medan penyelarasan strategi, perkongsian amalan terbaik dan pemantapan peranan Munsyi Muda Bahasa agar lebih sistematik dan berimpak tinggi.
Selain itu, inisiatif penghargaan turut diberikan kepada individu yang menunjukkan komitmen luar biasa apabila 12 orang Munsyi Muda Bahasa menerima Sijil Penghargaan daripada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam sebagai pengiktirafan rasmi terhadap sumbangan mereka demi memperkasakan bahasa kebangsaan dalam perkhidmatan awam melalui peranan sebagai Perunding Profesional (Bahasa) Dokumen Rasmi Kerajaan. Penghargaan ini disampaikan sempena majlis perasmian Konvensyen Munsyi Muda Bahasa pada 15 Oktober 2025 dan memberikan isyarat bahawa pengiktirafan Munsyi Muda Bahasa bukan sekadar pemegang tauliah profesional, tetapi juga sebagai aset strategik kerajaan untuk memastikan bahasa Melayu terus dimartabatkan dalam semua urusan rasmi.
Di samping itu, Munsyi Muda Bahasa turut digalakkan berperanan sebagai duta bahasa pada peringkat organisasi melalui penganjuran bengkel dalaman, sesi perkongsian ilmu, semakan dokumen rasmi serta penerapan kesantunan bahasa dalam komunikasi digital dan media sosial jabatan.
Peneraju Usaha Pemerkasaan Bahasa dalam Perkhidmatan Awam
Antara nama penting yang memainkan peranan strategik dalam kesinambungan Program Munsyi Muda Bahasa ialah Mohamad Ikhwan Al Syahid bin Abdullah Tahir, seorang Pegawai Tadbir Diplomatik yang kini berkhidmat di Institut Tadbiran Awam Negara, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Beliau telah ditauliahkan sebagai Munsyi Muda Bahasa pada tahun 2017 terlibat secara langsung dalam bidang Latihan dan Pembangunan Modal Insan, khususnya yang berkaitan dengan agenda pemerkasaan bahasa dalam sektor awam.
Beliau telah terlibat secara rasmi dalam penyelarasan Program Munsyi Muda Bahasa bermula pada 17 Mac 2020, iaitu ketika ditugaskan ke Pusat Pengajian Komunikasi dan Bahasa (dahulunya Kluster Kecemerlangan Bahasa). Amanah tersebut diberikan susulan keputusan Mesyuarat Pengurusan Tertinggi INTAN Bilangan 2 Tahun 2020 yang memutuskan penubuhan Unit Bahasa Melayu, selaras dengan komitmen tidak berbelah bahagi Jabatan Perkhidmatan Awam bagi menjayakan agenda kebahasaan sektor awam.
Sejak itu, tanggungjawab menyelaras Program Munsyi Muda Bahasa diletakkan sepenuhnya di bawah Unit Bahasa Melayu (kini dikenali sebagai Unit Kecemerlangan Komunikasi dan Bahasa Melayu). Dalam kapasiti ini, beliau berperanan sebagai perancang, pelaksana dan pemantau program agar setiap kursus, latihan dan pentauliahan berjalan lancar serta mencapai objektif yang ditetapkan. Kerjasama erat dengan DBP melalui Bahagian Pembinaan Bakat dan Kepakaran turut memperkukuh pelaksanaan program ini.
Selain itu, beliau juga berperanan sebagai Pegawai Meja JPA bagi Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan yang dipengerusikan oleh Menteri Pendidikan. Mesyuarat yang berlangsung dua kali setahun ini menjadi platform penting bagi melaporkan perkembangan dan pencapaian Program Munsyi Muda Bahasa pada peringkat nasional.
Menjamin Kerelevanan Munsyi Muda Bahasa
Bagi memastikan Program Munsyi Muda Bahasa kekal relevan, Mohamad Ikhwan Al Syahid menegaskan bahawa bahasa sebagai identiti negara akan terus dipertahankan hanya apabila rakyat dan pemimpinnya melihat bahasa kebangsaan sebagai sesuatu yang tidak boleh dikorbankan demi kemajuan. Walaupun DBP telah mencapai tahap kematangan dalam perancangan kebahasaan negara, pelaksanaan dalam perkhidmatan awam memerlukan sokongan agensi pusat agar agenda tersebut dapat diserap secara lebih berkesan.
Dalam konteks ini, kerjasama strategik antara JPA dengan DBP melalui Program Munsyi Muda Bahasa telah melahirkan “duta kecil DBP” dalam setiap kementerian dan jabatan kerajaan. Peranan ini secara langsung memperkukuh pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa pentadbiran, bahasa profesional dan bahasa ilmu.
Bagi melengkapkan ekosistem pengukuhan bahasa kebangsaan dalam sektor awam, selain peringkat prapentauliahan, JPA melalui INTAN turut mewujudkan pelbagai inisiatif pascapentauliahan. Antaranya termasuklah:
Pendekatan ini memastikan Munsyi Muda Bahasa tidak terhenti pada status tauliah semata-mata, sebaliknya berkembang sebagai komuniti profesional yang aktif dan berimpak tinggi.