6 Oktober 2022, 16:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Majlis Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan 2022 dengan tema “Bahasa Jiwa Bangsa” telah berlangsung pada pukul 11.00 pagi tadi di Dewan Perdana, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC). Majlis ini telah disempurnakan oleh Menteri Kanan Pendidikan, iaitu YB Datuk Dr. Radzi Jidin.

Dalam majlis tersebut, YB Datuk Dr. Radzi Jidin telah menyampaikan hadiah berupa Sijil Penghargaan kepada dua orang penerima anugerah bagi dua kategori yang dipertandingkan dan semua pemenang aktiviti bahasa kebangsaan sektor pendidikan tahun 2022.

YB Menteri Kanan Pendidikan, iaitu YB Datuk Dr. Radzi Jidin ketika merasmikan program.

Pada tahun ini, dua orang calon telah dipilih bagi Kategori Sektor Pendidikan dan Kategori Teknologi dan Vokasional yang menerima Sijil Penghargaan. Kedua-dua calon yang dipilih ini memiliki kekuatan dan kepakaran masing-masing yang telah terbukti melalui pelbagai sumbangan ilmiah serta anugerah cemerlang yang diterima sepanjang tempoh perkhidmatan mereka hingga hari ini.

Dr. Suriati Zakaria, penerima Sijil Penghargaan bagi Kategori Sektor Pendidikan.

Menurut penerima Sijil Penghargaan bagi Kategori Sektor Pendidikan, iaitu Dr. Suriati Zakaria yang merupakan guru di SMK Jengka Pusat, Pahang, program Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan ini amat menekankan aspek membudayakan penggunaan bahasa kebangsaan yang betul dalam kalangan warga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) khususnya.

Saya menyertai program ini untuk turut sama memperkasakan bahasa kebangsaan kita. Bagi saya, program ini dapat menggalakkan masyarakat tanpa mengira kaum, tahap pendidikan dan peringkat umur untuk sama-sama memberikan sumbangan kepada bahasa kebangsaan kita. Jika bukan kita sebagai warga negara Malaysia, siapa lagi yang hendak mengangkat dan menjadikan bahasa Melayu sebagai jati diri masyarakat Malaysia.

TS Adnan Dali, iaitu penerima Sijil Penghargaan bagi Kategori Teknikal dan Vokasional.

Sementara itu, TS Adnan Dali, Guru Cemerlang di Bahagian Teknologi Penyejukan dan Penyamanan Udara, selaku Guru Kanan MP Teknikal di Kolej Vokasional Sepang, Selangor, iaitu penerima Sijil Penghargaan bagi Kategori Teknikal dan Vokasional berkata, program ini amat bermakna kepada semua masyarakat Malaysia dalam usaha ke arah memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

Saya tergerak hati untuk menyertai anugerah ini yang merupakan cadangan pihak pentadbir Kolej Vokasional bagi kategori TVET. Sepanjang perkhidmatan sebagai seorang guru, saya sebenarnya tidak pernah terfikir untuk menyertai program seumpama ini. Namun begitu, saya juga berasa terpanggil untuk turut serta memperkasakan dan memartabatkan bahasa Melayu khususnya dalam bidang teknikal dan TVET.

Tetamu dan para kenamaan yang hadir meraikan sambutan program.

Sementara itu, dalam proses pemilihan calon untuk diangkat selaku tokoh bahasa bagi kedua-dua kategori melalui fasa pemilihan yang cukup ketat dan teliti. Misalnya, beberapa orang panel khas yang terdiri daripada pakar-pakar bahasa dari pelbagai bahagian di KPM dan juga agensi yang berkaitan dilantik untuk meneliti dokumen dan bahan yang dihantar oleh semua calon dan dokumen tersebut akan dinilai berdasarkan instrumen yang telah disediakan.

Para pemenang bagi Pertandingan Lagu Puisi Sektor Pendidikan dan Pertandingan Mencipta dan Melafazkan Pantun Sektor Pendidikan 2022 bersama-sama Menteri Kanan Pendidikan.

Selain itu, turut diraikan ialah pemenang bagi dua lagi pertandingan. Bagi Pertandingan Lagu Puisi Sektor Pendidikan, johan dimenangi oleh Puan Ratna Sariayu Osman dari Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, manakala johan bagi Pertandingan Mencipta dan Melafazkan Pantun Sektor Pendidikan pula dimenangi oleh Hezreen Sini yang juga dari Bahagian Sukan Kokurikulum dan Kesenian.

Senarai Pemenang Pertandingan Lagu Puisi.
Senarai Pemenang Pertandingan Mencipta dan Melafazkan Pantun.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.