Oleh Kho Thong Eng
21 Mei 2021, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Konsep “tiada”, “tidak ada” atau “tanpa” dalam bahasa Melayu dapat kita ungkapkan dengan pelbagai cara.  Ada kalanya kita berbuat demikian dengan menggunakan kata tunggal, dan ada kalanya kita menggunakan imbuhan. Dalam hal ini, kata atau bentuk yang mendukung makna “tiada” biasanya berkaitan dengan kata pinjaman atau konsep pinjaman.

Kata hampa bererti tiada. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Proses menampi padi dapat menyingkirkan padi hampa.

1b.  Dia menyimpan air panas di dalam kelalang hampa gas.

Dalam ayat 1a, padi hampa bererti “padi yang tidak bernas atau tidak berisi”. Dalam ayat 1b, kelalang hampa gas ialah kelalang yang kosong daripada sebarang jisim, iaitu vacuum flask dalam bahasa Inggeris.

Kata bebas juga ada kalanya bererti “tiada” atau “tanpa”. Kata bebas ini bererti free dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:

2a.  Dia menggunakan peranti bebas tangan.

2b.  Pulau Labuan ialah pelabuhan bebas cukai.

Gambar simbol menunjukkan kawasan bebas asap rokok.

2c.  Itulah kawasan bebas asap rokok.

2d.  Di kawasan itu ada telefon laluan bebas tol.

Dalam ayat 2a, rangkaian kata bebas tangan bererti hands-free. Dalam ayat 2b, pelabuhan bebas cukai ialah free (tax-free) port. Dalam ayat 2c, kawasan bebas asap rokok ialah smoke-free zone. Dalam ayat 2d pula, telefon/laluan bebas tol ialah toll-free telephone atau toll-free lane.

Kata tanpa juga dapat mendukung maksud “tiada” atau “dengan tiada”. Maksud kata tanpa ini sama dengan akhiran -less dalam bahasa Inggeris.  Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  Dia menggunakan khidmat bayaran tanpa tunai.

3b.  Itulah pejabat tanpa kertas.

3c.  Masyarakat Malaysia akan menjadi masyarakat tanpa tunai.

3d.  Kita berada dalam zaman dunia tanpa sempadan.

Dalam ayat 3a, rangkaian kata bayaran tanpa tunai bererti cashless payment. Dalam ayat 3b, pejabat tanpa kertas bererti paperless office. Dalam ayat 3c, masyarakat tanpa tunai bererti cashless society, manakala dalam ayat 3d, dunia tanpa sempadan bererti borderless world.

Kata sifar juga bererti “tiada”. Kata ini sama erti dengan kata zero dalam bahasa Inggeris. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Pengangguran sifar wujud di negara itu.

4b.  Jarang-jarang inflasi sifar akan berlaku.

4c.  Ketua jabatan itu menekankan konsep kesilapan sifar.

4d.  Sekolah kluster itu mempunyai masalah disiplin sifar.

Dalam ayat 4a, rangkaian kata pengangguran sifar bererti zero unemployment. Dalam ayat 4b, inflasi sifar bererti zero inflation. Dalam ayat 4c, kesilapan sifar ialah zero defects. Dalam ayat 4d, masalah disiplin sifar bererti zero discipline problems.

Selain kata tunggal, sesetengah imbuhan asli atau pinjaman juga mendukung maksud “tiada” atau “tanpa”. Satu contoh imbuhan itu ialah imbuhan Sanskrit tuna-. Sila lihat contoh yang berikut:

5a.  Golongan tunawisma harus kita bantu.

5b.  Golongan tunakarya hidup melarat.

5c.  Orang yang tunaanggota itu sedang meminta sedekah.

5c.  Ada sekolah khas untuk golongan yang tunanetra dan tunakarna.

Dalam ayat 5a, kata tunawisma bererti homeless, iaitu gelandangan. Dalam ayat 5b,  kata tunakarya bererti “tiada kerja” atau “menganggur”. Dalam ayat 5c, terdapat kata tunanggota yang bererti “tiada anggota”. Selain itu, dalam ayat 5a, 5b dan 5c, imbuhan pinjaman Sanskrit tuna- telah dibubuh pada kata asli bahasa Melayu, iaitu wisma, karya dan anggota. Dalam ayat 5d pula, terdapat kata tunanetra (buta) dan tunakarna (tuli).

Imbuhan bi- daripada bahasa Parsi juga bererti “tiada”. Sila lihat contoh yang berikut:

6a.  Budak yang nakal itu biadab juga.

6b.  Ada kalanya perkara yang bilazim mungkin berlaku.

6c.  Kejadian binormal itu di luar jangkaan kita.

6d.  Guru bitara itu diberi kenaikan pangkat.

Dalam ayat 6a, kata biadab bererti “tiada beradab” atau “tidak sopan”. Dalam ayat 6b, kata bilazim bereti “tidak biasa (berlaku)”. Dalam ayat 6c, kata binormal bererti “tidak normal”. Dalam ayat 6d pula, kata bitara bererti “tiada yang setara” atau “terbaik”. Walau bagaimanapun, imbuhan bi- yang bererti “tiada” daripada bahasa Parsi harus kita bezakan daripada imbuhan bi- daripada bahasa Inggeris yang bererti “dua”. Contoh katanya ialah bilateral, bilabial dan bilingualisme.

Imbuhan nir- daripada bahasa Indonesia membawa maksud “tiada” atau “tanpa”. Dalam bahasa Melayu, penggunaannya masih belum meluas. Sila lihat contoh berikut:

7. Encik Ali baru membeli sebuah kereta nirpemandu.

Dalam ayat 7 di atas, kata nirpemandu bererti “tanpa pemandu” atau driverless. Contoh penggunaan imbuhan nir- dalam kata bahasa Indonesia adalah seperti yang berikut:

          nirtunai                   nirwisma                 nirkertas

          nirguna                   nirlaba                    nirlogam

Satu imbuhan bahasa Melayu yang membawa maksud “tiada” atau “ditiadakan” ialah imbuhan nyah-. Sila lihat contoh yang berikut:

8a.  Dia suka minum kopi nyahkafeina.

8b.  Darah nyahoksigen mengalir dalam vena.

8c.  Aktiviti penyahhutanan menyebabkan pemanasan global berlaku.

8d.  Penyahjangkitan dilakukan untuk menghapuskan kuman.

Ada kalanya kata lain digunakan untuk mendukung maksud “tiada atau kekurangan sesuatu”. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Bunga itu sudah kering dan layu.

9b.  Tanah yang kontang merekah.

9c.  Orang miskin harus kita santuni.

9d.  Mereka ketandusan kasih sayang.

Dalam ayat 9a dan 9b, kata kering dan kontang bererti “tiada air”. Dalam ayat 9c, kata miskin bererti “tiada atau kekurangan wang”. Dalam ayat 9d, ketandusan kasih sayang bererti “ketiadaan atau kekurangan kasih sayang”.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.