Oleh Kho Thong Eng
9 Jun 2021, 09:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Manusia merupakan makhluk sosial yang hidup bermasyarakat. Oleh sebab itu, manusia perlu berkomunikasi dan berinteraksi dengan manusia lain untuk memenuhi keperluan hidup dan menjamin kemandiriannya. Apabila pergaulan manusia yang melibatkan ahli daripada dua komuniti bahasa berlaku, mekanisme pinjam-meminjam dan pengaruh-mempengaruhi dari segi bahasa akan berlaku. Sebagai contohnya, bahasa Inggeris banyak menerima kata pinjaman daripada pelbagai bahasa di dunia untuk melengkapkan kosa kata dan meningkatkan kewibawaannya.

Bagi bahasa Melayu, pertembungan bahasa berlaku antara masyarakat Melayu dengan pihak penjajah dan penduduk yang berasal dari negara lain sejak dahulu lagi. Hal ini meliputi bahasa Inggeris, bahasa Portugis, bahasa Belanda, bahasa Arab, bahasa Sanskrit, bahasa Cina, bahasa Tamil dan bahasa Jawa.

Dari segi kata pinjaman daripada bahasa Cina, kebanyakan kata tersebut merupakan kata nama yang berbentuk tunggal. Kata pinjman tersebut mungkin mengalami sedikit banyak perubahan dari segi bentuk, bunyi dan makna selepas dipinjam masuk ke bahasa Melayu.  Dialek utama bahasa Cina yang menjadi bahasa sumber pinjaman ialah dialek Hokkien. Hal ini berlaku mungkin kerana suku kaum Hokkien banyak terlibat dalam perniagaan, dan interaksi mereka dengan masyarakat Melayu yang sudah lama berlaku.

Kata nama pinjaman daripada bahasa Cina mencakupi pelbagai ranah kehidupan. Sila lihat contoh yang berikut:

Makanan dan Minuman

taucu tauhu tauge tauci
taukua ceng tangkue laici
lai pucuk tauhu mi kuetiau
misoa/misoi suun mihun/bihun cincau
capcai dim sum ciu samsu
popia teh O beng lisong sun
cakoi pau lokio teh
Minuman teh berasal dari China.
Foto: Pixabay.com

Alat atau Bahan

kemucing pingpong erhu bakiak
sempoa loleng tanglung lio
liong mopit siongka tekpi/tikpi
teko/tekoan toya/toyah/toyak

Penyakit

taiko loksun pehong

Seni Pertahanan Diri

taici wusyu kuntau kung fu

Kain dan Pakaian

samfu ceongsam lokcuan nia
kuntuan pangsi rimpai

Perjudian

pakau tan tekpo/tekpoh
capjiki ceki pi

Pekerjaan/Orang

tauke compoh singse samseng
taci tekong siociah/sioca sengkek

Lain-lain

congki toaha mahua Tionghua
tiongkok tongsan loteng pangking
loki makau-po tocang suhian
topekong tokong tongset pi
lanca ciak camca bong
pappui cembeng tiam teyan
tiap pisis panglong cun

Sesetengah kata pinjaman bahasa Cina hanya digunakan dalam bahasa basahan atau bahasa percakapan (bp). Sila lihat contoh yang berikut:

pangsai buang air besar
lihai pandai
beng ais
teh O beng teh kosong ais
tapau membungkus makanan dan lain-lain untuk dibawa pulang
bo-lui tiada wang
puatang tidak sampai maksud

Sesetengah kata pinjaman bahasa Cina mempunyai lebih daripada satu bentuk kewujudan dalam bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

bihun mihun
tekpi tikpi
teko tekoan
soja sojah
misoa misoi
siociah sioca
toya toyah toyak
paupau opau pau

Walaupun kebanyakan kata pinjaman bahasa Cina merupakan kata nama, ada juga beberapa contoh kata adjektif dan kata kerja pinjaman. Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Adjektif

punsu pandai
lihai tajam, pandai (bp)
puatang tidak sampai maksud (bp)

Kata Kerja

ciak makan
ciang menaiki
soja tunduk
tui meminta berhenti sebentar dalam permainan kanak-kanak

Selain berbentuk kata tunggal, ada sebilangan kecil kata pinjaman bahasa Cina yang berimbuhan, berganda atau bersempang. Sila lihat contoh yang berikut:

Berimbuhan

berceongsam memakai ceongsam
toyah menoyakan/menoyahkan/menoyakkan
mempermainkan atau memperlakukan sesuatu seperti toyah
menapau membungkus makanan dan lain-lain untuk dibawa pulang

Berimbuhan dan Berganda

tersoja-soja (tertunduk-tunduk)

Bentuk Bersempang

makao-po

bo-lui

Ada kata majmuk pinjaman bahasa Cina yang ditulis sebagai kata tunggal dalam bahasa Melayu.  Contohnya ialah kuetiau, taici dan laici.  Ada kata majmuk yang hanya digunakan dalam bahasa percakapan. Contohnya ialah teh o beng yang bererti “tek kosong berais”. Ada bentuk ganda bahasa Cina yang tidak bersempang dalam bahasa Melayu. Contohnya ialah kata paupau. Ada kata pinjaman bahasa Cina yang ditulis atau sepatutnya ditulis dalam huruf besar, iaitu Topekong (nama dewa), Renminbi (nama mata wang), Tionghua (bahasa atau bangsa Cina), Tiongkok (China), dan Cap Goh Mei (pesta).

Satu hal yang menarik ialah huruf “o” digunakan dalam kata pinjaman bahasa Cina. Hal ini menghasilkan vokal berganding yang baharu atau rumus keselarasan vokal yang baharu. Sila lihat contoh yang berikut:

Vokal Berganding dengan Huruf “O”

misoa/misoi toaha Tionghua
Tiongkok sempoa siociah/sioca

Rumus Keselarasan Vokal dengan Huruf “O”

panglong ( rumus a – o)

Ada sesetengah kata pinjaman bahasa Cina mempunyai homonim bahasa Cina, dan ada yang mempunyai homonim bahasa Melayu. Sila lihat contoh yang berikut:

Homonim Kata Pinjaman Bahasa Cina

pi – taruhan dalam permainan judi

pi – sejenis kura-kura yang kecil di sungai, bulus

Homonim Kata Pinjman Bahasa Cina dengan Kata Bahasa Melayu

ciu – arak (bahasa Cina)

ciu – sejenis tikar tebal (bahasa Melayu)

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi