Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangDalam era kemajuan teknologi digital, bahasa Melayu moden menghadapi pelbagai cabaran bagi mengekalkannya sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa ilmu. Antara cabaran tersebut termasuklah yang disebabkan oleh pandemik COVID-19 yang banyak mengubah budaya hidup masyarakat dengan kebiasaan baharu dan juga kemunculan istilah serta perkataan baharu. Jika semua pengguna bahasa Melayu faham, berilmu pengetahuan dan mempunyai kesedaran yang tinggi, semua perkara ini boleh diatasi dengan mudah. Sikap dan kesedaran yang tinggi ini akan menjadikan bahasa Melayu dapat bersaing dengan bahasa lain yang maju di dunia terutamanya bahasa Inggeris.
Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa moden yang digunakan sebagai bahasa komunikasi kini sebenarnya menyambung tradisi bahasa Melayu kuno dan klasik, yang menjadi lingua franca pada zaman dahulu. Fungsi bahasa Melayu moden ini bukan sahaja di media sosial dan media baharu malahan dalam komunikasi seharian. Sejarah mencatatkan bahawa bahasa Melayu diiktiraf sebagai bahasa kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152, Perlembagaan Persekutuan 1957. Di bawah peruntukan ini, bahasa Melayu yang mengikut implikasinya mesti digunakan untuk maksud rasmi dalam bentuk tulisan yang ditetapkan oleh undang-undang Persekutuan.
Perkara 152 juga mengandungi kedudukan bahasa lain dan memperuntukkan bahawa tiada sesiapa dilarang atau dihalang daripada menggunakan atau belajar, mengajar, atau mengamalkan apa-apa bahasa lain. Taraf bahasa kebangsaan dalam Perlembagaan Persekutuan 1957 itu mempunyai maksud dan kesan yang lebih luas berbanding dengan pengiktirafan sebagai bahasa rasmi.
Antara kesan bahasa kebangsaan tersebut termasuklah bahasa Melayu menjadi bahasa perantaraan secara automatik untuk digunakan dalam semua maksud rasmi. Takrif “maksud rasmi” bagi bahasa Melayu dari segi undang-undang ialah apa-apa jua maksud kerajaan sama ada kerajaan persekutuan atau kerajaan negeri dan termasuklah apa-apa maksud sesuatu pihak berkuasa awam. Takrif ini dinyatakan di bawah Perkara 156 (6), Perlembagaan Persekutuan dan Seksyen 1, Akta Bahasa Kebangsaan, 1967.
Bahasa Melayu dijadikan bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi menyatukan rakyat berbilang kaum melalui penggunaan bahasa yang sama. Oleh itu, bahasa ini juga menjadi pengenalan bagi bangsa dan negara Malaysia. Perpaduan yang jitu juga dapat diwujudkan dalam kalangan rakyat berbilang kaum apabila bahasa Melayu digunakan oleh semua pengguna bahasa.
Bahasa Melayu menjadi alat penghubung bagi rakyat pelbagai kaum di Malaysia kerana mereka telah mula memahami dan bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik. Bahasa Melayu bukan sahaja digunakan dalam urusan rasmi kerajaan, bahkan meliputi kehidupan seharian sebagai alat komunikasi yang penting secara lisan dan tulisan di media sosial dan media baharu
Kini banyak istilah dan perkataan baharu telah diwujudkan semasa pandemik COVID-19 menyerang Malaysia dan dunia. Antara perkataan tersebut termasuklah pandemik, kebiasaan baharu, kebolehjangkitan, pelitup muka, penjarakan fizikal, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), penilaian risiko, saringan wajib, Prosedur Operasi Standard (SOP), perintah berkurung, kontak rapat, zon merah atau titik panas, pencuci tangan, memutuskan rantaian jangkitan dan kluster, yang kini sudah mula diterima pakai dan menjadi kebiasaaan serta difahami oleh masyarakat umum.
Lantaran hal itu, cabaran yang dihadapi oleh bahasa Melayu kini semakin mencabar. Fungsi bahasa Melayu sebagai bahasa moden kini menghadapi pelbagai cabaran seperti persaingan dengan bahasa Inggeris khususnya dalam bidang kesihatan, sains teknologi dan profesional. Oleh itu, bahasa Melayu mestilah cepat dan pantas membentuk istilah mengikut keadaan semasa terutama semasa pandemik COVID-19.
Antara cabaran lain ialah keperluan bagi seseorang itu menguasai pelbagai bahasa untuk memperoleh maklumat dan ilmu terkini dalam era globalisasi terutamanya yang berkaitan dengan teknologi digital yang cepat dan pantas berubah. Terjemahan perkataan baharu perlulah cepat dan pantas diakses serta mesra pengguna dan mudah diterima.
Sikap acuh tak acuh pengguna bahasa Melayu juga menjadi cabaran dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Setiap pengguna bahasa Melayu mestilah faham dan mempunyai ilmu serta kesedaran tinggi tentang betapa pentingnya bahasa Melayu dimartabatkan sebagai bahasa ilmu di media sosial dan media baharu. Terdapat banyak penggunaan kata singkatan dan kesalahan ejaan di media baharu dan media sosial yang digunakan oleh pengguna bahasa Melayu.
Oleh itu, langkah untuk mengatasi pencemaran bahasa terutamanya penggunaan bahasa Melayu yang salah serta leluasanya gejala bahasa rojak di media baharu dan media sosial perlu dibanteras. Hal ini boleh dilakukan jika pengguna bahasa sentiasa merujuk ejaan dan penggunaan bahasa yang betul melalui Kamus Dewan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) atau merujuk pihak yang bertanggungjawab bagi penggunaan bahasa Melayu yang betul dan tepat.
Pencemaran bahasa juga patut dihalang dalam penggunaan iklan dan papan tanda kedai baharu bagi mengelakkan kecelaruan bahasa. Utamakan bahasa Melayu yang betul dalam iklan, papan tanda atau nama kedai atau nama jalan dan nama bangunan yang boleh dirujuk kepada pihak berkuasa tempatan dengan seperti pihak penguat kuasa Majlis Tempatan dan Perbandaran. Kerjasama erat dalam penguatkuasaan itu telah dilaksanakan dengan kerjasama pihak DBP.
Di samping itu, bahasa Melayu sebagai bahasa moden juga perlu dimajukan dan diperkemas untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa moden dan saintifik yang perlu diterima terus oleh orang ramai. Penerbitan bahan dan buku yang berkaitan dengan teknologi maklumat terbaharu dan bahan saintifik terkini juga perlu diperbanyakkan.
Melalui perancangan taraf dan korpus pula, bahasa Melayu telah berkembang pesat dan mampu untuk menjalankan fungsinya sebagai bahasa moden. Bahasa Melayu moden kini terus berfungsi sebagai bahasa ilmu, bahasa komunikasi dan bahasa perpaduan di negara ini dan di luar negara.
Selain itu, kesedaran yang tinggi dan kecintaan dalam kalangan penutur bahasa Melayu yang terdidik sejak di sekolah rendah dan menengah serta di universiti mampu menjadikan bahasa Melayu dituturkan pada setiap hari dalam pelbagai acara dan juga sebagai alat komunikasi yang berkesan.
Sementara itu, melalui Dasar Perpaduan Negara 2021−2030 (30 tahun) yang dilancarkan baru-baru ini menggariskan strategi untuk memupuk, mengukuh dan memelihara perpaduan rakyat. Dasar yang berkonsepkan perpaduan dalam kepelbagaian itu menetapkan tiga objektif utama. Antaranya termasuklah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional yang berteraskan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara; membentuk identiti nasional dengan semangat jati diri, patriotik, prihatin, bertoleransi, saling menghormati dan bertanggungjawab untuk melahirkan rakyat Malaysia yang menghargai dan mengamalkan perpaduan.
Oleh itu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan memainkan peranan yang penting untuk mencapai aspirasi dalam tempoh 10 tahun akan datang. Malaysia menetapkan aspirasi perpaduan sebagai tunjang kemakmuran negara. Maka itu, perpaduan kepelbagaian yang berteraskan integrasi dipilih sebagai Dasar Perpaduan Negara sebagaimana yang dihasratkan oleh rakyat Malaysia.
Bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang penting akan terus memainkan peranannya untuk terus mewujudkan perpaduan yang erat dalam kalangan rakyat di negara ini. Inilah antara cabaran terkini yang akan dihadapi oleh bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi, bahasa perpaduan, dan bahasa komunikasi dalam kalangan rakyat di negara ini.
Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden juga akan mengukuhkan lagi semangat perpaduan dalam kalangan rakyat di negara ini. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu memikul tugas sebagai bahasa rasmi, bahasa pentadbiran, bahasa perhubungan umum, bahasa perpaduan, bahasa pengantar serta bahasa ilmiah di sekolah dan institusi pengajian tinggi. Proses perancangan bahasa perlu terus dilakukan agar bahasa Melayu berupaya memikul tugas ini. Perkembangan bahasa Melayu moden ini dapat dilihat melalui proses perancangan bahasa yang pesat, banyak menerima pengaruh bahasa Inggeris, digunakan di media sosial dan media baharu dengan betul dan meluas, menggunakan laras bahasa yang pelbagai, banyak menggunakan ayat aktif dan banyak memanfaatkan kosa kata bahasa moden.
Usaha perlu terus dilakukan oleh DBP untuk menyemak dan mengemaskinikan kandungan kamus dari semasa ke semasa. Antaranya termasuklah Kamus Dewan Edisi Kelima dan Kamus Bahasa Malaysia (Edisi Pelajar) yang memuatkan kosa kata masukan baharu seperti semasa dan selepas pandemik COVID-19 yang mempunyai banyak kata dan istilah baharu.
Kini Kamus Dewan Perdana, kamus Melayu terbesar dan terlengkap telah diterbitkan oleh DBP yang memuatkan lebih 120 000 entri dan subentri yang merangkumi kata umum, istilah, dialek dan kata bahasa serumpun yang wajar dimiliki oleh setiap orang, setiap rumah, setiap perpustakaan awam, sekolah dan universiti.
DBP juga telah menyediakan Gerbang Kata Dewan Bahasa dan Pustaka (GKDBP), iaitu portal yang menyediakan kemudahan kepada pelayar internet untuk memberikan maklum balas dan input tambahan kepada kamus terbitan DBP, mencadangkan entri baharu yang belum terakam dalam kamus DBP dan merakamkan khazanah persuratan Melayu yang meliputi peribahasa, pantun, seloka, mutiara kata dan asal usul kata.
Semua ini bertujuan untuk menyediakan ruangan kepada pencinta bahasa Melayu untuk memberikan input tambahan kepada kamus DBP. Selain itu, kosa kata dapat ditingkatkan jumlahnya melalui kerjasama pintar antara DBP dengan pencinta bahasa. DBP juga menyediakan kemudahan kepada pelbagai golongan masyarakat dalam merakamkan khazanah persuratan Melayu dan menyediakan kamus secara dalam talian yang kini semakin mendapat sambutan. Semua ini boleh dilayari melalui emel:[email protected] atau http://ekamus.dbp.gov.my bagi memartabatkan bahasa kebangsaan kita.
Oleh yang demikian, cabaran terkini yang dihadapi oleh bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden akan lebih berdaya saing dalam pembentukan kata, istilah, perbendaharaan kata baharu dan mengemaskinikan ejaan yang sesuai dengan perubahan semasa yang semakin maju dan pantas.
Kesimpulannya, sebagai bahasa ilmu dan bahasa moden, bahasa Melayu juga janganlah terpinggir di media baharu dan di media sosial. Bahasa yang digunakan oleh pengamal dan pengguna bahasa Melayu mestilah berkualiti, betul, tepat dan berkesan dan tidak menggunakan singkatan serta bahasa rojak yang boleh merosakkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu. Perkembangan bahasa pada setiap hari juga berubah dan ada kata baharu dan istilah baharu yang terbit seiring dengan perubahan semasa.