Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKUALA LUMPUR – Sambutan Hari Kebangsaan yang berbaki beberapa hari sahaja lagi yang bertemakan “Malaysia Prihatin” tentunya membawa pengertian yang cukup besar kepada seluruh rakyat Malaysia, khususnya ketika negara sedang berdepan dengan pandemik COVID-19 yang telah pun meragut banyak nyawa rakyat ketika ini.
Saban tahun juga, pelbagai program dianjurkan oleh pelbagai pihak demi memperingati detik bersejarah bagi negara ini. Namun begitu, di sebalik kemeriahan sambutan tersebut terselit persoalan yang sehingga kini gagal dijawab secara tepat. Apakah pengisian kemerdekaan dalam jiwa dan sanubari rakyat Malaysia itu benar-benar bererti bahawa kita sudah merdeka?
Dalam konteks ini, lihatlah kedudukan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan yang sepatutnya menyatukan kita. Di manakah kedudukannya? Apakah bahasa Melayu benar-benar didaulatkan sebagai bahasa kebangsaan? Jika benar, di manakah buktinya dan jika tidak, mengapakah keadaan sedemikian berlaku?
Hakikatnya, maruah bahasa perlu dipertahankan oleh setiap warganegara kerana bahasa kebangsaan menunjukkan sifat kepunyaan bagi setiap warganya. Bahasa Melayu ialah bahasa yang perlu ditekankan yang merangkumi tiga nilai yang harus disemai dalam diri seseorang warganegara Malaysia. Antaranya termasuklah berasa bangga menjadi warganegara ini, menjunjung ketinggian perlembagaan dan fasih berbahasa Melayu.
Bahasa Melayu pada hari ini juga masih belum merdeka sepenuhnya kerana beribu-ribu istilah yang digunakan dalam urusan perniagaan dan dagangan lain diterima masuk. Tiada salahnya mengambil dan menggunakan bahasa itu tetapi jika tiada ketertiban dalam penggunaan bahasa itu, maka kita masih lagi belum merdeka. Penggunaan bahasa luar itu perlulah ditapis. Sekiranya ada bahasa atau istilah tempatan, maka tidak perlulah memasukkan bahasa luar.
“Ada segelintir dalam kalangan masyarakat yang bercakap dalam bahasa rojak. Contohnya, jarang-jarang sekali anggota masyarakat yang berpendidikan tinggi yang berkomunikasi sepenuhnya dalam bahasa Melayu kerana masih banyak yang mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris. Hal ini tidak seharusnya berlaku dan kita perlu terus memugarkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Agensi kerajaan pada hari ini juga perlu memainkan peranannya dengan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya ketika berkomunikasi dan pihak atasan perlu menekankan penggunaannya secara konsisten dan tegas.”
Demikianlah penerangan yang disampaikan oleh YB Senator Tan Sri Dato’ Seri Utama Dr. Rais Yatim, selaku Yang Di-Pertua Dewan Negara, semasa menyampaikan ceramahnya dalam Program Webinar Bahasa Jiwa Bangsa: Merdekakah Kita? anjuran Yayasan Budi dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), yang bersiaran langsung secara dalam talian menerusi Google Meet pada pukul 2.30 petang tadi melalui Facebook DBP.
Panel lain yang turut serta menjayakan program ialah Profesor Datuk Seri Dr. Haji Awang Sariyan, iaitu Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong dan Profesor Dr. Sivamurugan Pandian. Moderator program pula ialah Dr. Abang Patdeli Abang Muhi.