Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKUALA LUMPUR − Terdapat pelbagai dialek di Malaysia dan setiap negeri mempunyai dialek masing-masing. Begitu halnya dengan Pulau Pinang yang turut mempunyai versi dialeknya yang tersendiri, yang disebut sebagai dialek Pulau Pinang.
Dialek Pulau Pinang cukup menarik kerana pada awal tahun 1960-an dan tahun 1970-an, masyarakat Malaysia telah didedahkan kepada beberapa buah filem yang mengguna pakai dialek tersebut. Contohnya, dalam filem lakonan Allahyarham Tan Sri P.Ramlee seperti Anakku Sazali. Contoh panggilan nama yang menggunakan dialek Pulau Pinang dalam filem itu termasuklah seperti “Combi”, “Mami” dan “Mamu”. Kemudian, pada awal tahun 1990-an, Profesor Dato’ Dr. A. Razak Mohaideen juga mempopularkan filem arahannya yang menggunakan dialek Pulau Pinang seperti filem Anak Mami.
Kepelbagaian dialek di setiap negeri merupakan keunikan yang terdapat di negara ini tetapi kita perlu merangkumkannya dengan penggunaan bahasa Melayu yang standard, iaitu bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.
“Dengan kemasukan pelbagai bahasa dan budaya di negara ini, janganlah pula kita mengesampingkan budaya bangsa kita khususnya dialek Pulau Pinang ataupun dialek negeri-negeri lain di negara ini kerana itulah jati diri dan identiti negara kita.”
Demikianlah antara penerangan menarik oleh YBhg. Dato’ Haji Anuar Ahmad, iaitu Ketua Satu, Persatuan Penulis Pulau Pinang, dalam Rancangan Dialek Kita: Jom Kenali Dialek Pulau Pinang, yang bersiaran secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 10.00 pagi tadi.