1 November 2021, 17:17

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR − Antara penyebab kepunahan dialek termasuklah isu peralihan antara generasi kerana kebiasaannya bahasa daerah hilang kerana generasi baharu memilih untuk tidak meneruskan bahasa nenek moyangnya disebabkan mereka lebih gemar menggunakan bahasa nasional atau bahasa kebangsaan. Lama-kelamaan hal tersebut akan menyebabkan dialek daerah semakin pudar dan kurang dituturkan lagi oleh generasi baharu.

Usaha memulihara dialek dan bahasa yang punah serta terancam ini adalah dengan menggiatkan usaha pelestarian bahasa daerah oleh segenap lapisan masyarakat. Contohnya, melalui penerbitan kamus dan nahu bahasa daerah daripada masyarakat penutur daerah itu sendiri. Hal ini akan dapat menjelmakan semula maklum balas daripada masyarakat penutur. Usaha lain pula adalah melalui dunia pendigitalan seperti tayangan drama berdialek di kaca televisyen dan sebagainya.

Demikianlah menurut Profesor Emeritus Dr. James T. Collins, Profesor Antarabangsa Tersohor, Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Katanya lagi, dialek dapat ditakrifkan sebagai satu ragam bahasa yang dibezakan secara tegas daripada ragam lain dari segi ciri sebutan, kosa kata dan tatabahasa.  Ragam bahasa ini terdapat dalam daerah geografi tertentu dan dalam suasana sosial tertentu. Dialek yang terbentuk bagi sesebuah kawasan berbeza dari suatu komuniti dengan komuniti yang lain.

Dari segi geografinya pula, Nusantara ini terdiri daripada pulau-pulau dan kepulauan yang mewujudkan banyak sekali dialek. Namun begitu, pada hari ini terdapat isu yang berkaitan dengan kepunahan dialek dan bahasa di Nusantara.

Dalam era kegemilangan Zaman Kesultanan Melayu Melaka (1511), bahasa Melayu menjadi lingua franca kerana aktiviti perdagangan. Namun begitu, aktiviti perdagangan sebenarnya tidak mempengaruhi dialek penduduk tempatan kerana dialek tempatan banyak dipengaruhi oleh aktiviti keagamaan berbanding dengan pengaruh aktiviti perdagangan.

Selain itu, diaspora Melayu juga berubah kerana persekitaran dan juga polisi kolonial. Penutur bahasa Melayu yang berlayar ke daerah Melayu dan bermastautin ke negara lain misalnya, sudah tidak menggunakan dialek Melayu sebagai bahasa ibunda.

Menurutnya lagi, bahasa dan budaya selalunya tidak mempunyai ikatan yang jelas. Begitu juga halnya antara bahasa dengan agama yang selalunya tidak saling berkaitan. Hal ini dibuktikan apabila Tamadun Melayu tetap bertahan dari abad ke-7 hingga abad ke- 21 walaupun berlakunya perubahan pelbagai unsur dalam tamadun Melayu termasuklah perubahan budaya dan agama.

Jaringan pemodenan ekonomi dan sosial juga tidak mempengaruhi kepunahan dialek. Hal ini dibuktikan apabila zaman moden bukannya bermula daripada kesan kedatangan orang Inggeris ke Nusantara tetapi bermula serentak dengan zaman kemodenan di Eropah, iaitu pada abad ke-17 hingga abad ke-19.

Demikianlah antara penerangan menarik daripada Profesor Emeritus Dr. James T. Collins, selaku panel dalam Rancangan Sembang Tamu: Kepunahan Dialek dan Bahasa di Nusantara. Yang turut hadir ialah Encik Abd Ghani Abu selaku moderator menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP pada pukul 3.00 petang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.