Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Seruan menggunakan bahasa Melayu sebagai satu daripada bahasa utama dalam hubungan diplomasi di negara ASEAN yang diutarakan oleh yang Perdana Menteri, YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob merupakan satu langkah berani. Menerusi tema “Bahasa Melayu sebagai Bahasa Diplomasi” dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, sebanyak empat orang panel diundang dalam Sidang 5, yang dipengerusikan oleh Prof. Dr. Mohd Kamarulnizam Abdullah. Mereka menyampaikan idea yang berkaitan dengan peranan kerajaan dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi di peringkat antarabangsa khususnya di peringkat serantau.
Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi telah sudah lama terlaksana. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa diplomasi sewaktu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka. Walau bagaimanapun, peranan itu telah dimbil alih oleh bahasa penjajah dan masyarakat tempatan telah menerima keadaan ini secara meluas sehingga peranan bahasa Melayu ini semakin dilupakan. Bahasa Melayu menjadi bahasa rasmi dalam hal yang berkaitan dengan urusan kerajaan dan hal ini menjadi medium untuk mendaulatkan bahasa.
Menurut Datuk Iskandar Sarudin dari Malaysia, untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu sama ada sebagai bahasa diplomasi atau lebih luas daripada itu, masyarakat Malaysia boleh mengguna pakai kaedah sedia ada yang dipakai oleh semua negara dalam usaha mengantarabangsa bahasa ibunda masing-masing.
Pemimpin negara dan penjawat awam wajib menggunakan bahasa Melayu dalam hal yang berkaitan dengan pentadbiran ataupun urusan rasmi kerajaan. Hal ini mendorong Malaysia mengambil inisiatif yang lebih berani dan agresif dalam memartabatkan bahasa Melayu pada peringkat antarabangsa. Malaysia tidak memerlukan masa yang panjang untuk merealisasikan pemartabatan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi untuk medium antarabangsa dengan memantapkan lagi institusi penterjemahan.
Panel undangan kedua, yang juga dari Malaysia, iaitu Datuk Zainal Abidin Datuk Wira Borhan menekankan peranan guru bahasa dalam melebarluaskan bahasa Melayu di peringkat serantau mahupun antarabangsa. Guru bahasa yang berkhidmat di luar negara perlu memainkan peranannya sebagai wakil negara untuk mendidik masyarakat tempatan terhadap penggunaan bahasa Melayu.
Mereka juga perlulah komited untuk mengantarabangsakan bahasa Melayu di luar negara dengan bergerak lebih aktif dalam usaha memperkenalkan bahasa Melayu melalui pendidikan dan budaya tempatan. Oleh hal yang demikian, sokongan daripada pihak kerajaan diperlukan bagi menyuntik dana yang mencukupi bagi menyokong serta menyebarluaskan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Kerajaan juga perlu memastikan Kursi yang diwujudkan di negara luar terus memainkan peranannya dalam menyokong usaha mengantarabangsakan peranan bahasa Melayu dalam konteks diplomasi.
Penyataan ini turut dipersetujui oleh panel seterusnya, iaitu Profesor Dr. James T. Collin dari Amerika Syarikat, yang menyatakan tentang peranan guru bahasa dalam pengantarabangsaan dan penyebaran bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa dan diplomasi. Walau bagaimanapun, menurut beliau, peranan guru bahasa dari negara luar yang menguasai bahasa Melayu penting dalam usaha untuk menyebarluaskan penggunaan bahasa ini di negara mereka sendiri. Beliau turut menyokong usaha untuk melantik guru bahasa dari negara luar untuk mengajar di institusi pendidikan luar negara sebagai satu medium penting pendiplomasian bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.
Kerajaan Malaysia disarankan untuk mengembangkan pengantarabangsaan bahasa Melayu melalui program yang mantap dari pelbagai bidang bagi memajukan dan menarik minat orang luar untuk belajar bahasa Melayu di Malaysia.
Pemantapan dan pendidikan guru bahasa dari negara luar merupakan satu kaedah yang mantap untuk menyebarluaskan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa. Di samping itu, sokongan padu daripada kerajaan untuk memantapkan program sedia ada serta menyuntik dana yang mencukupi mampu merealisasikan impian bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi yang utama.
Bagi Prof. Madya Dr. Ismaillutfi Japakiya dari Thailand, bahasa Melayu di Pattani masih dipertahankan walaupun dengan kemasukan bahasa luar yang kian berkembang di sana. Pengekalan penggunaan aksara Jawi masih utuh sebagai satu medium pemartabatan bahasa Melayu khususnya di wilayah selatan Thailand. Beliau menyatakan pengharapannya agar kerajaan Malaysia memperbanyak program bahasa Melayu secara dua hala dengan wilayah selatan Thailand bagi mengekalkan dan memantapkan bahasa tersebut. Hal ini demikian kerana usahasama ini akan dapat menyuburkan dan memajukan bahasa Melayu di kedua-dua negara.