Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangApabila ada mantan pemimpin kanan kerajaan dan parti utama kerajaan membidas usaha mengangkat martabat bahasa Melayu, jelas wujudnya krisis jati diri dalam kepemimpinan negara. Tan Sri Rafidah Aziz sebagai mantan pensyarah Universiti Malaya pasti orang yang berilmu dan berfikir. Sebagai mantan pemimpin kanan kerajaan dan parti UMNO sebagai tunjang kerajaan, beliau pasti faham akan asas perjuangan UMNO. Dalam Fasal 3 Asas dan Tujuan UMNO, disebut secara khusus perjuangan UMNO memartabatkan bahasa Melayu, iaitu “Menjamin kedudukan bahasa kebangsaan (bahasa Melayu) sebagai bahasa rasmi yang tunggal dan kebudayaan kebangsaan yang berteraskan kebudayaan Melayu”.
Setiap anggota parti itu dan sepatutnya semua parti di negara ini, apatah lagi pemimpin kanannya, pasti menyertai parti itu dengan penuh kesedaran tentang cita-cita dan matlamat partinya. Mustahil selama puluhan tahun berada dalam parti dan kerajaan beliau tidak mendukung cita-cita parti dan kerajaan. Adakah kerana telah tidak menjadi pemimpin beliau berasa berhak untuk berlepas tangan daripada tanggungjawab menghormati Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kedudukan dan peranan bahasa Melayu?
Sebenarnya Tan Sri Rafidah tidak bersendirian dalam isu ini. Tidak seriusnya sebahagian daripada pemimpin sejak merdeka dalam pelaksanaan dasar-dasar negara, termasuk dasar bahasa kebangsaan, menjadi salah satu punca bahasa Melayu ada kalanya terumbang-ambing meskipun kedudukannya jelas dalam Perlembagaan dan Akta Bahasa Kebangsaan dan Akta Pendidikan.
Dalam bidang pentadbiran, Perkara 152(6) telah menetapkan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa urusan rasmi kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Mengapakah baru 76 peratus badan kerajaan yang menggunakan bahasa Melayu sebagai rasmi sepenuhnya (seperti laporan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022 lalu)?
Dapatan Audit Bahasa Melayu yang dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) menunjukkan memang masih ada masalah dalam penggunaan bahasa Melayu. Oleh itu, jaminan Ketua Setiausaha Negara untuk memastikan martabat bahasa Melayu dipenuhi amat tepat dengan peranan beliau sebagai ketua pentadbiran. Malangnya beliau dibidas keras oleh Tan Sri Rafidah Aziz, seolah-olah janji untuk memastikan dasar negara dipenuhi satu kesalahan pula!
Dalam bidang pendidikan, telah tercapai kemantapan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama pendidikan negara. Namun begitu, dengan pelaksanaan program pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) pada tahun 2003, ilham Dr. Mahathir Mohamad, hampir musnah usaha yang dibuat sejak kemerdekaan. Mujur Tan Sri Muhyiddin Yassin memansuhkannya ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pendidikan. Namun Program Dwibahasa (DLP), meskipun dikatakan bersifat pilihan menjadi ancaman kepada bahasa Melayu dengan wujudnya polarisasi dalam pendidikan berdasarkan dua bahasa pengantar yang berlainan bagi Sains dan Matematik.
Begitu juga halnya di peringkat pengajian tinggi. Tahun 1983 telah ditetapkan oleh kerajaan sebagai permulaan bahasa Melayu menjadi bahasa pengantar utama. Pada tahun 1970-an, tampak pesat usaha memenuhi sasaran itu dan penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada tahun 1970, malah membuktikan 13 tahun lebih awal kejayaan cita-cita negara dicapai.
Malangnya pada tahun 1995, keluar arahan pemimpin tertinggi negara ketika itu, Dr. Mahathir Mohamad agar kursus kritikal seperti sains dan teknologi, perubatan, kejuruteraan dan undang-undang dikuliahkan dalam bahasa Inggeris. Kesan mudarat arahan itu hingga kini belum dapat dipulihkan. Satu demi satu Pelan Pemartabatan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ilmu Tinggi di institut pengajian tinggi (IPT) dikeluarkan sejak tahun 2011 tetapi belum dapat memulihkan keadaan.
Apabila Perdana Menteri kesembilan, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob berusaha mengangkat martabat bahasa Melayu, sewajarnya semua pihak, terutama pemimpin (dan mantan pemimpin) menyokongnya. Jika tidak berupaya menyokong melalui tindakan, berpadalah dengan menyokongnya secara lisan, atau paling tidak diam. Tidak wajar sama sekali perbuatan mengeluarkan pernyataan negatif, yang tidak sesuai keluar daripada lisan mantan pemimpin kanan parti dan kerajaan. Kita berharap agar semua pemimpin memberikan sokongan padu kepada Perdana Menteri kerana beliau menggerakkan dasar negara yang berkaitan dengan dasar bahasa kebangsaan.