21 Jun 2022, 08:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengkaryaan ilmiah merupakan satu daripada komponen industri penerbitan yang memberikan sumbangan besar kepada usaha mencerdaskan dan meningkatkan keintelektualan bangsa kerana kebanyakan pengkaryaan dan penerbitan bahan ilmiah berasaskan bahan penyelidikan dan pemikiran sarjana daripada pelbagai bidang kepakaran.

Komponen ini melibatkan aktiviti pemeliharaan dan penyebaran ilmu dan ketamadunan sesuatu bangsa dan negara. Lebih daripada itu, penerbitan ilmiah juga merupakan indeks atau petunjuk bagi kemajuan sesuatu bangsa dan negara.

Menelusuri peranan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam pengkaryaan dan penerbitan ilmiah, tidak dapat dinafikan bahawa institusi ini berupaya menggalas tanggungjawab besar dalam usaha mengindustrikan dan melestarikan bahasa dan persuratan Melayu.

Bagi memastikan bahasa Melayu kekal menunjangi ketamadunan negara seperti yang dihasratkan oleh pejuang bahasa Melayu, DBP merangka tiga teras strategik, iaitu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ekonomi, bahasa negara dan bahasa ilmu.

Penerbitan ilmiah menjadi satu daripada tunjang utama dalam pemartabatan dan pemerkasaan khazanah persuratan Melayu sebagai bahasa ilmu. Pelbagai bentuk pengkaryaan ilmiah diterbitkan oleh DBP, sama ada dalam bentuk bercetak atau digital, daripada pelbagai bidang ilmu untuk pelbagai kumpulan sasaran pembaca, iaitu daripada kanak-kanak, remaja sehingga dewasa.

Penerbitan ilmiah agak berbeza dari segi pengisian dan anatominya berbanding dengan penerbitan bacaan umum yang lain. Di DBP, pengisian dan pengkaryaan ilmiah memfokuskan hasil penulisan dan penyelidikan yang tinggi nilainya berpandukan dua kelompok bidang ilmu yang besar, iaitu sains teknologi dan sains sosial.

Para sarjana mengklasifikasikan buku ilmiah sebagai buku yang diterbitkan untuk pembaca golongan tertentu, iaitu pembaca yang berkaitan rapat dengan dunia akademik peringkat tinggi, seperti pentadbir, pelajar institusi pengajian tinggi, pensyarah dan ahli profesional pelbagai bidang.

Bentuk penerbitan ilmiah di DBP merujuk karya asli, jurnal, monograf, karya terjemahan dan karya suntingan, serta yang seumpamanya yang memerlukan penyemakan teliti daripada penilai yang mahir dalam bidang berkenaan. Oleh sebab itu, prosedur penerbitan ilmiah di DBP melalui proses yang agak panjang dan begitu teliti bagi menjamin mutu dan kewibawaan ilmu pengetahuan yang akan dikongsi dan disebarkan.

DBP turut mempunyai garis panduan khusus dan tertentu dalam penerbitan sesuatu karya ilmiah dalam bahasa lain. Walaupun penulisan ilmiah terbitan DBP memberikan keutamaan terhadap penerbitan berbahasa Melayu sebagai wahana perkembangan ilmu dan tamadun bangsa, penerbitan dalam bahasa lain turut diberikan perhatian.

Kecaknaan usaha penerbitan alam bahasa lain ini terbukti apabila Akta Dewan Bahasa dan Pustaka membenarkan penerbitan karya dalam bahasa lain, terutamanya yang berkaitan dengan pengembangan bahasa dan sastera negara, serta yang berkaitan dengan kepentingan pendidikan negara.

Sebagai sebuah institusi penerbitan khazanah Melayu yang berwibawa, cabaran yang dihadapi oleh DBP untuk mendapatkan bahan ilmiah yang tinggi nilai pengetahuan dan keintelektualannya tidak dapat dinafikan. Cabaran ini perlu ditangani dengan bijaksana kerana dasar penerbitan DBP, sama ada penerbitan secara konvensional atau elektronik mensyaratkan kandungan yang bermutu yang dapat memenuhi keperluan pembaca.

Dasar ini bertujuan untuk memastikan judul ilmiah yang diterbitkan memberikan manfaat besar kepada pembaca, selain memenuhi tanggungjawab sosial DBP. Bagi DBP, selain meningkatkan kuantiti judul buku yang diterbitkan, aspek kualiti kandungan dan persembahan turut diberikan keutamaan.

Sebelum membuat keputusan untuk menerbitkan sesuatu judul, penilaian dibuat oleh tenaga dalaman dan pakar luar. Ada judul yang dinilai melebihi sekali penilaian oleh pakar luar bagi menjamin kualiti kandungan buku yang akan diterbitkan.

Pelbagai kursus, bengkel atau seminar turut dianjurkan bagi mempersiapkan dan memperlengkapkan penulis dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menghasilkan sesuatu karya ilmiah yang bermutu. Persediaan dari aspek motivasi juga diberikan perhatian agar karya yang ditulis diusahakan secara konsisten sehingga selesai.

Kegiatan pengkaryaan dan penerbitan ilmiah di DBP bukan semata-mata kegiatan perdagangan atau komersial tetapi turut melibatkan tanggungjawab dari aspek kebudayaan, keilmuan dan keintelektualan. Sebagai agensi kerajaan, bukan semua bahan terbitan DBP bermotifkan keuntungan komersial.

Terdapat juga bahan terbitan DBP, khususnya bahan ilmiah diterbitkan untuk memenuhi tanggungjawab sosial seperti yang dinyatakan. Oleh sebab itu, ada judul terbitan yang tidak memberikan keuntungan tetapi diharapkan dapat memberikan impak yang besar dalam memenuhi tanggungjawab sosial DBP.

Dalam penerbitan buku ilmiah, walaupun DBP diberikan tanggungjawab untuk menerbitkan banyak judul, tidak semua buku tersebut dicetak dalam kuantiti yang banyak. Contohnya, buku bagi tujuan rujukan dan pembelajaran dicetak dalam kuantiti yang sedikit dengan kos yang tinggi. Ada antara buku tersebut yang diterbitkan semata-mata untuk memenuhi keperluan lebih kurang 100 orang pelajar sahaja, sedangkan kos penerbitan tidak jauh berbeza daripada judul yang diterbitkan dalam skala yang besar.

Sebagai kesimpulannya, pengkaryaan dan penerbitan ilmiah di DBP ialah wahana pembinaan dan penyebaran khazanah ilmu yang menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan dan kemajuan masyarakat di Malaysia.

Sejarah kebudayaan dan tamadun kemanusiaan sesebuah negara membuktikan bahawa tanpa kegiatan penerbitan, khususnya pengkaryaan ilmiah yang aktif dan pesat, kemajuan sebuah masyarakat tidak berkekalan jauh sekali untuk berkembang. Sebaliknya, menerusi usaha pengkaryaan dan penerbitan yang mantap, pengaruh ketamadunan masyarakat itu akan berpanjangan dan tersebar ke seluruh pelosok benua.

Hal ini dikatakan demikian kerana pengkaryaan dan penerbitan ilmiah berfungsi untuk membina khazanah ilmu yang menyumbang kepada peningkatan kualiti kehidupan dan kemajuan sesebuah masyarakat. Secara tidak langsung, hal ini dapat membantu mendokumentasikan pelbagai peristiwa atau sejarah, serta pelbagai penemuan dan hasil penyelidikan untuk dimanfaatkan oleh masyarakat pembaca. Menerusi amanah ini, DBP perlu terus menjuarai dan melestarikan pengkaryaan ilmiah di negara ini.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.