27 Jun 2022, 10:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Antara negara di dunia yang menawarkan kursus bahasa Melayu termasuklah negara China, yang merupakan sebuah negara yang amat penting dalam mengembangkan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu varian Tanah Melayu di persada dunia.

Pada hakikatnya, seawal tahun 1960-an, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu telah mula membenih di China. Pada tahun 1962, Beijing Foreign Studies University (BFSU) merupakan universiti pertama yang menawarkan kursus bahasa Melayu di negara ini dengan Profesor Wu Zongyu sebagai pengasas dan perintisnya.

Profesor Wu Zongyu menerima anugerah Tokoh Pejuang Bahasa Melayu Antarabangsa bersempena dengan Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 Peringkat Kebangsaan.

Usaha murni ini menjadi titik permulaan bagi penawaran dan perkembangan kursus bahasa Melayu di China. Hingga kini, institusi pengajian tinggi di seluruh China yang menawarkan Program Ijazah Bahasa Melayu telah mencecah 13 buah, antaranya termasuklah 11 buah universiti dan dua buah kolej.

Sebagai universiti pertama yang membuka kursus bahasa Melayu di China, hingga tahun ini, Jurusan Bahasa Melayu BFSU sudah berusia genap 60 tahun. Dalam lipatan sejarah penubuhannya, Jurusan Bahasa Melayu BFSU telah memberikan sumbangan besar dan bimbingan berharga kepada kemajuan pengajaran dan pengajian Melayu di China. Hal ini terbukti daripada penganugerahan “Pangkalan Pengembangan bahasa Melayu di China” kepada BFSU oleh Timbalan Perdana Menteri Malaysia pada waktu itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada  tahun 2014. Yang perlu diberikan perhatian ialah BFSU diiktiraf sebagai universiti China yang satu-satunya menerima anugerah ini.

Jurusan Bahasa Melayu BFSU terkenal dengan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu yang tinggi mutunya. Sejak ditubuhkan, institusi itu telah melahirkan lebih daripada 370 orang graduan unggul yang menceburkan diri dan mencapai kejayaan dalam bidang diplomatik, perniagaan, kewangan, propaganda, akademi dan sebagainya. Di samping itu, Jurusan Bahasa Melayu BFSU juga giat menjalinkan hubungan kerjasama dengan pelbagai pihak di Malaysia untuk bersama-sama membawa pengajian Melayu di China ke satu tahap yang lebih tinggi, di samping mengeratkan lagi hubungan persahabatan antara China dengan Malaysia yang sudah sekian lama terjalin, antaranya termasuklah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia, Kedutaan Besar Malaysia ke China dan institusi pengajian tinggi Malaysia.

Pada 20 Jun 1997, Pusat Bahasa Melayu ditubuhkan di BFSU sebagai hasil persetujuan antara kerajaan Malaysia dengan kerajaan China untuk bekerjasama dalam bidang pendidikan, khususnya tentang pengajaran bahasa Melayu di China. Perasmian pusat ini disaksikan bersama oleh kedua-dua orang Menteri Pendidikan China dan Malaysia pada ketika itu, iaitu Tuan Zhu Kaixuan dan Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Pada 1 September 2005 pula, Pusat Bahasa Melayu BFSU dinaikkan taraf menjadi Pusat Pengajian Melayu China. Sejak ditubuhkan, pusat pengajian tersebut telah berfungsi sebagai pangkalan kegiatan ilmiah dan pengembangan bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan Melayu di China.

Pada awal tahun 2007, dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia dan kerajaan China, Kursi Pengajian Melayu MalaysiaChina secara rasminya ditubuhkan di BFSU. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan telah dilantik sebagai Penyandang Kursi Pengajian MelayuChina yang pertama. Kursi yang mula berfungsi pada awal tahun 2008 itu berperanan penting dalam memperkenalkan bidang baharu dalam pengajian Melayu, meningkatkan program ilmiah pada peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan, melaksanakan penyelidikan dan penerbitan, serta membantu penubuhan dan peneguhan program bahasa dan juga pengajian Melayu di institusi pengajian tinggi di China.

Kini, kerajaan Malaysia yang dipimpin oleh Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, Perdana Menteri kesembilan sedang berusaha untuk memartabatkan bahasa Melayu di rantau Asia Tenggara secara khasnya dan di arena antarabangsa secara amnya. Warga Jurusan Bahasa Melayu BFSU turut menyertai arus ini dengan melakukan pelbagai usaha termasuklah menghadiri seminar antarabangsa dan memberikan ucapan, menerbitkan bahan pengajaran dalam bahasa Melayu dan banyak lagi. Dalam Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu yang dianjurkan pada 22 Mei hingga 24 Mei 2022, Profesor Dr. Su Yingying yang mewakili tenaga pengajar China turut memperkenalkan perkembangan pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China kepada dunia.

Dari segi penerbitan, untuk mengisi kekosongan penerbitan bahan pengajaran dalam bidang pengajian Melayu di China, Dr. HanXiao, Profesor Dr. Su Yingying dan Puan Zhang Suhua telah menggubal buku Teras Pemikiran dan Kebudayaan China. Buku ini merupakan bahan pengajaran pertama di China yang mengisahkan kebudayaan China dalam bahasa Melayu. Sejak diterbitkan, buku ini bukan sahaja mendapat sambutan hangat dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu di China, bahkan memperoleh pujian tinggi oleh banyak pihak di Malaysia dengan disanjung sebagai “buku penting dalam pertukaran kebudayaan MalaysiaChina”. Dengan bantuan dan jasa baik Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, yang merupakan Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, buku ini turut menjadi hadiah kepada Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob sebagai tanda kenang-kenangan sebelum ketibaan ulang tahun ke-48 penjalinan hubungan diplomatik ChinaMalaysia.

Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob menerima buku Teras Pemikiran dan Kebudayaan China.

Pepatah Melayu berbunyi, “Bersekutu bertambah mutu” dan kami yakin dengan usaha bersama-sama kerajaan Malaysia dan institusi pengajian tinggi di China yang menawarkan kursus bahasa Melayu, bahasa ini mempunyai masa hadapan yang lebih cemerlang dan mampu berkembang menjadi bahasa ilmu yang lebih hebat dan sebagai bahasa berwibawa lagi berpengaruh pada peringkat antarabangsa. Hubungan persahabatan ChinaMalaysia juga akan terus dibelai dan diperkukuh dengan perkembangan pengajian Melayu di China yang menakjubkan.

 

Gunung tertinggi Gunung Himalaya,

Selat tersibuk Selat Melaka;

China-Malaysia cerlang budaya,

Persahabatan dibelai usah diluka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.