15 Ogos 2022, 21:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur − Seminar Jawi dan Teknologi berjaya dilaksanakan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP pada pagi tadi dan turut disiarkan secara langsung menerusi Studio Siaran Langsung Media Sosial DBP. Seminar ini berlangsung dalam dua sesi, iaitu sesi pertama pada pukul 11.00 pagi yang menampilkan empat orang panel undangan, manakala sesi kedua pula bermula pada pukul 12.45 tengah hari yang menampilkan tiga orang panel undangan.

Sebanyak tujuh orang pembentang terlibat dalam seminar ini, iaitu dari DBP, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Putra Malaysia (UPM), Akademi Jawi Kebangsaan Malaysia, Persatuan Pencinta Tulisan Jawi Selangor (PENJAWIS), dan Persatuan Seni Khat Kebangsaan Malaysia.

Sesi pertama seminar menampilkan empat orang panel iaitu pembentang dari DBP, (PNM), (UniSZA), dan (UPM) yang membentangkan kertas kerja masing-masing.

YBrs. Dr. Azizul Ismail membentangkan hasil kertas kerjanya kepada hadirin.

Menurut YBrs. Dr. Azizul Ismail, Ketua Bahagian Penyelidikan Bahasa, Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP, kertas kerjanya yang bertajuk “Cabaran dan Strategi Pemerkasaan Tulisan Jawi di Malaysia” mengulas tentang perkataan Jawi yang berasal daripada perkataan Arab, iaitu jawah. Bagi rumpun Nusantara pula, perkataan Jawi merupakan nama Arab yang diadaptasikan melalui sebutan dan tulisan dalam bahasa Melayu.

Katanya, tulisan Jawi perlu dimartabatkan dan perlu ada pelan yang khusus. Antara pelan pemartabatan tulisan Jawi termasuklah membudayakan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat, memperkukuh tulisan Jawi dalam sistem pendidikan negara khususnya dalam kalangan generasi muda, memperkukuh ekonomi dan nilai komersial dalam tulisan Jawi. Sokongan padu dan komitmen semua pihak dan individu, kerajaan, dan organisasi merupakan elemen utama dalam memperkasakan tulisan Jawi.

Selain itu, antara cabaran yang dihadapi dalam usaha pemerkasaan tulisan Jawi ialah tiada badan khas yang bertanggungjawab dalam pemerkasaan tulisan Jawi, tiada peruntukan kewangan khususnya untak pemerkasaan tulisan Jawi, kurangnya galakan dan dorongan untuk pemerkasaan tulisan Jawi, pandangan yang kurang tepat tentang tulisan Jawi (Jawi dikaitkan dengan isu agama sahaja), khalayak yang berminat masih kurang, kekurangan penggunaan tulisan Jawi pada paparan awam serta kurangnya bahan terbitan digital dalam tulisan Jawi.

Katanya lagi, antara strategi pemerkasaan tulisan Jawi termasuklah mewujudkan pekeliling dalam tulisan Jawi, menubuhkan badan khusus yang berkepentingan dalam tulisan Jawi, menyediakan peruntukan khas untuk memperkasakan tulisan Jawi dan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran dalam tulisan Jawi.

Encik Faizal Hilmie Yusof dari PNM ketika membentangkan kertas kerjanya.

Sementara itu, Encik Faizal Hilmie Yusof dari PNM yang membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Program Pembudayaan Tulisan Jawi” berkata bahawa program ini bermula pada tahun 2006 hingga kini dan mempunyai kerjasama dengan pelbagai institusi. Antara usaha PNM termasuklah mengadakan pelbagai pertandingan dalam tulisan Jawi, menerbitkan buku dan majalah dalam tulisan Jawi dan lain-lain lagi.

Menurutnya, objektif program tersebut adalah untuk memperhebat penganjuran program melalui pelbagai pendekatan bagi memastikan pencapaian impak yang maksimum bagi menyedarkan masyarakat Malaysia agar kembali memugarkan jati diri dengan mencintai tulisan Jawi.

Katanya lagi, perlu ada penghayatan dalam masyarakat tentang penggunaan tulisan Jawi yang merupakan suatu identiti yang mewarnai tamadun bangsa dan budaya yang dimiliki oleh negara ini sebagai suatu bangsa yang bertamadun tinggi dan seterusnya meletakkan tulisan Jawi di pentas antarabangsa.

Tambah beliau, antara hala tuju ke arah pembudayaan tulisan Jawi termasuklah keperluan mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak yang memerlukan suatu dasar atau polisi penguatkuasaan tulisan Jawi yang perlu dibentangkan di Parlimen.

Selain itu, program baharu tulisan Jawi juga perlu diadakan sebagai pengenalan kepada masyarakat bagi menarik minat dan kecenderungan masyarakat dalam memperkasakan tulisan Jawi. Bagi memantapkan program tulisan Jawi, maka dana perlu diwujudkan.

Ts Dr. Fatma Susilawati Mohamad dari UniSZA membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Projek Pendigitalan Manuskrip UniSZA”

Pembentang seterusnya pula ialah Ts Dr. Fatma Susilawati Mohamad dari UniSZA, yang berkongsi tentang usaha UniSZA untuk mendigitalkan manuskrip termasuklah membeli manuskrip Jawi lama dari luar negara. Antara matlamat projek pendigitalan manuskrip Jawi termasuklah untuk menyebarluaskan ilmu yang terkandung dalam manuskrip melalui capaian sistem yang dibangunkan.

Katanya lagi, tulisan Jawi merupakan warisan dan khazanah negara ini yang perlu dipelihara dalam bentuk digital agar tidak pupus. UniSZA turut menjejak, mengumpul, memelihara serta melestarikan manuskrip Islam dan Alam Melayu yang mempunyai nilai sejarah negara dari serata dunia. Usaha ini adalah untuk menjadikannya sebagai rujukan kepada generasi kini dan akan datang.

YBhg. Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz dari UPM.

Selain itu, YBhg. Prof. Madya Dr. Adi Yasran Abdul Aziz dari UPM pula membentangkan kertas kerjanya yang bertajuk “Rancangan Televisyen Bijak Jawi. Katanya, Rancangan Televisyen Bijak Jawi mempunyai 52 episod dan merupakan projek anjuran Bersama Showbizz Metwork Broadcast Sdn. Bhd. dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama pelbagai pihak.

Tambah beliau, Rancangan Televisyen Bijak Jawi dijangka akan disiarkan secara langsung menerusi TV1, RTM pada waktu perdana yang mempunyai kadar penonton yang tinggi. Selain TV1, sebahagian rancangan ini juga akan dipaparkan di siaran Youtube, yang juga akan dikongsikan melalui pelbagai medium dan media sosial yang lain.

Rancangan ini berkonsepkan pendidikan santai yang sesuai untuk semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama. Kandungannya berfokus pada kaedah menulis dan mengeja Jawi dalam bahasa Melayu, termasuklah penggunaan teknologi seperti perisian dan aplikasi untuk menulis Jawi, menyemak ejaan, menukar tulisan Rumi kepada Jawi dan sebaliknya.

Selain itu, rancangan tersebut dapat memudahkan penonton memahami cara membaca dan menulis Jawi dengan betul, menghidupkan tulisan Jawi sebagai satu warisan yang membentuk jati diri negara bangsa, menyediakan pendidikan sepanjang hayat untuk semua lapisan masyarakat, memartabatkan tulisan Jawi sebagai tulisan bagi bahasa kebangsaan yang dijamin oleh undang-undang negara serta mengkomersialkan tulisan Jawi.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.