24 Ogos 2022, 23:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kangar – Mohamad Anwar Jamil telah dinobatkan sebagai johan dalam Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan ke-36 Peringkat Negeri Perlis 2022, di Auditorium Perpustakaan Awam Negeri Perlis. Dengan mempertaruhkan puisi yang berjudul “Darah yang Terpercik di Baju” karya Norazimah Abu Bakar, Anwar berjaya menampilkan persembahan bersahaja dengan penghayatan yang amat mendalam ketika menyampaikan puisi tersebut. Tambahan pula, dengan pemakaian busana tradisional dan tanjak berwarna hitam membuatkan para penonton terus terpukau dengan puisi yang dideklamasikan.

Persembahan memukau oleh Mohamad Anwar Jamil.

Sementara itu, Afifah Abdullah pula menyandang naib johan dalam sayembara tersebut. Beliau mendeklamasikan puisi yang berjudul “Lentera Zaman” karya Mahaya Mohd Yassin. Tempat ketiga pula dimenangi oleh Nur Nubailah Nasri dengan puisi yang berjudul “Jangan Gendang Bertingkah Lagi” karya Ab Rani Embi.

Pemenang kedua, Afifah Abdullah mendeklamasikan puisi yang berjudul “Lentera Zaman”.
Tempat ketiga pula dimenangi oleh Nur Nubailah Nasri dengan puisi yang berjudul “Jangan Gendang Bertingkah Lagi”

Selain itu, hadiah sagu hati dimenangi oleh Muhammad Jorasmin Mat Isa, M Shahadat Ali Nordin (masing-masing mendeklamasikan puisi yang berjudul “Milik Siapakah Tanah Ini” karya Mohd Ghazali Taib), Nor Fa’alina Abu Hassan (“Landasan” karya A. Aziz Deraman) dan Mohammad Firdaus Rooslee (“Citra Jiwa Merdeka” karya Abdul Karim Gulam).

Sayembara ini merupakan anjuran Persatuan Penulis Perlis (3P) dengan kerjasama GAPENA dan Perpustakaan Awam Negeri Perlis dan dirasmikan oleh Datuk Seri Haji Hasnul Zam Zam Haji Ahmad, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis. Yang turut hadir ialah Encik Rusdi Yahya, Timbalan Setiausaha Negeri Perlis (Pembangunan), Dr. Faizal Kamarudin, Timbalan Setiausaha Negeri Perlis (Pengurusan), Encik Rahimi Arifin, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara.

Johan sayembara membawa pulang hadiah wang tunai RM1000.00 berserta hadiah iringan. Naib johan dan pemenang tempat ketiga pula menerima hadiah wang tunai RM700.00 dan RM500.00 berserta hadiah iringan. Bagi pemenang hadiah sagu hati pula masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai RM200.00 berserta hadiah iringan.

“Deklamator ialah pencerita di atas pentas kepada khalayak melalui suara, mimik muka, penghayatan dan bahasa tubuh”, ujar Encik Puzi Hadi, yang bertindak sebagai ketua hakim ketika memberikan ulasan keseluruhan bagi sayembara tersebut yang turut disiarkan secara langsung dalam media sosial 3P.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.