28 Ogos 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kota Bharu Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sentiasa memberikan ruang dan peluang kepada mana-mana penulis untuk menyerahkan karya mereka bagi diterbitkan menerusi majalah DBP dalam usaha memartabatkan bahasa, sastera dan penerbitan serta bidang lain termasuklah sains dan teknologi. Terbaharu, DBP melalui Bahagian Majalah dan DBP Wilayah Timur menjalinkan kerjasama dengan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kota Bharu, selaku tuan rumah dan Persatuan Penulis Kelantan (PPK) mengadakan Bengkel Penulisan Artikel Majalah DBP dalam usaha membimbing dan membina bakat penulisan dalam bidang penulisan artikel.

Dr. Rosmani Omar, Ketua Editor Bahagian Majalah sewaktu menyampaikan ceramahnya yang bertajuk “Penerbitan Majalah DBP” amat berharap agar para peserta yang hadir dalam bengkel tersebut mengenali  11 buah majalah DBP dan mengetahui sasaran pembaca, serta setiap kandungannya supaya penulisan yang dihasilkan menepati ruangan dan kehendak editor majalah berkenaan.

Banyak ruang untuk artikel dan karya kreatif disediakan dalam majalah DBP yang wajar direbut oleh penulis. DBP turut memperkenalkan penerbitan digital yang berbentuk Sohor Kini yang mengandungi lapan majalah yang diterbitkan dalam portal yang dinamakan JendelaDBP. Laman ini telah diakses oleh lebih sejuta orang pelayar dan tersebar di 70 buah negara. JendelaDBP merupakan medium baharu yang isi kandungannya mesra dan cepat sampai kepada pembaca, dan mengandungi ruangan yang amat bermanfaat kepada pembaca dalam mendapatkan maklumat yang segera dan berkualiti.

Dr. Rosmani mengalu-alukan peserta untuk menulis dalam majalah DBP dan portal JendelaDBP.

Bengkel ini turut disertai oleh lebih 50 orang peserta dalam kalangan penulis tempatan dan pelajar IPG Kampus Kota Bharu. Selain itu, Puan Suria Janib, Editor majalah Pelita Bahasa turut menyampaikan ceramah yang bertajuk “Panduan Penerbitan Rencana”. Beliau yang berpengalaman menangani beberapa terbitan majalah DBP menerangkan ciri-ciri rencana yang bertepatan dengan kehendak editor. Beliau juga berkongsi beberapa cadangan judul dan isu artikel yang belum dan jarang-jarang diketengahkan dan ditulis oleh pengkarya.

Sebagai penulis, mereka perlu memahami konsep dan kandungan sesebuah majalah. Seperti yang selalu diingatkan oleh Dr. Abdullah Yusoff, editor ialah musuh utama penulis sekiranya hasil karya penulis gagal menawan hati editor. Editor berhak menolak rencana yang tidak menepati kehendak penerbitan DBP.

Puan Suria menjelaskan ciri-ciri artikel yang berjaya diterbitkan dalam majalah.

Selain itu, bengkel ini juga menampilkan penceramah undangan, iaitu Dr. Abdullah Yusoff, seorang pakar bahasa dan penulis prolifik yang membawakan tajuk “Amali Pemetaan Penulisan Rencana Berkualiti”. Dalam bengkel tersebut, beliau turut berkongsi pengalaman tentang minat dan kecintaannya terhadap penulisan dan kegigihannya untuk terus berkarya hingga kini. Melalui usaha yang gigih, beliau berjaya menghasilkan cerpen pertamanya dan diterbitkan dalam majalah Pelita Bahasa terbitan November 2021 pada usia 63 tahun.

Dalam bengkel berkenaan, Dr. Abdullah Yusoff (kanan) bersama-sama penyair negara, Encik Awang Abdullah berkongsi pengalaman penulisan mereka kepada para peserta.

Dr. Abdullah turut menurunkan ilmu dan berkongsi pengalaman kepada para peserta bahawa tidak mustahil untuk menghasilkan karya sekiranya mereka benar-benar berusaha. Beliau juga banyak menghasilkan rencana terutamanya dalam majalah Pelita Bahasa dan buku pertamanya pula berkaitan dengan orang kurang upaya, bahasa dan komunikasi, iaitu Memahami Komunikasi Orang Pekak, terbitan DBP dan pernah memenangi Anugerah Buku Negara.

Apabila artikel diterbitkan dalam majalah, kita tidak dapat menggambarkan betapa terujanya kita dan kita akan terus menulis. Apatah lagi apabila penulisan artikel mampu menjanakan pendapatan dan mengangkat ketokohan penulis yang berjaya terutama penulis yang lahir daripada produk DBP.

Bengkel yang berlangsung selama sehari yang diadakan di IPG Kampus Kota Bharu ini mendedahkan para peserta kepada ciri-ciri penulisan artikel yang baik, cara memperkembang idea dan isi penulisan dan kaedah mempertautkan tulisan antara perenggan itu secara langsung memberikan dorongan kepada peserta yang terdiri dalam kalangan guru lepasan IPG untuk “menulis sehingga terbit”.

Penutupan perasmian bengkel pula disempurnakan oleh Timbalan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Dr. Mohd Rozi Ismail yang mewakili Pengarah IPG Kampus Kota Bharu, Dr. Khairuddin Said.  Menerusi ucapannya, beliau memohon semua peserta dalam kalangan guru pelatih untuk menghasilkan artikel bermutu untuk diterbitkan oleh DBP.

Dr. Mohd Rozi Ismail, Timbalan Pengarah IPG Kampus Kota Bharu.

IPG Kampus Kota Bharu akan terus mengadakan hubungan yang baik dengan DBP untuk mengembangkan dan melestarikan bahasa. Pada tahun 2018, IPG ini telah mengadakan Memorandum Persefahaman (MOU) dengan DBP untuk memperkasakan bahasa, sastera dan penerbitan. Oleh itu, kami amat mengalu-alukan program sebegini  agar dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.

Yang turut hadir dalam bengkel tersebut ialah Dr. Nik Hassan Seman, Ketua Jabatan Pendidikan Khas, IPG Kampus Kota Bharu, Darma Mohamad, Penasihat PPK, Tuan Haji Hadi Yusof, Setiausaha Satu PPK, Awang Abdullah, penyair kebangsaan dan Muhamad Ikhram Fadhly Hussin, yang mewakili Pengarah DBP Wilayah Timur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.