9 September 2022, 21:14

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Pada 8 September 2022, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Harta Intelek, Jabatan Penerbitan DBP menganjurkan Pertandingan Deklamasi Sajak bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022.

KSU Kementerian Pengangkutan Malaysia dan  Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan, DBP.

Menerusi pertandingan ini, kesemua juri sebulat suara memilih lima orang pemenang. Johan pertandingan ini dimenangi oleh Puan Shamima VPK Abdulla dari JPJ Ibu Pejabat, yang membawa pulang wang tunai sebanyak RM500. Beliau mendeklamasikan sajak yang berjudul “Kita Katakan Tidak”, karya Sasterawan Negara ke-14, iaitu Dr. Rahman Shaari. Naib Johan pula disandang oleh Ts. Dr. Rizati Hamidun dari MIROS yang menyampaikan sajak yang berjudul “Erti Hidup Bererti”, karya Teo Wei Sing dan menerima wang tunai sebanyak RM300.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Encik Shaiful Naszri Abdul Wahid dari MOT dengan sajak yang berjudul “Ghenta Cinta”, karya oleh Dr. Lim Swee Tin, yang menerima wang tunai RM200. Dua orang penerima sagu hati pula ialah Puan Ruslina Kamarudin dari Rapidbus Sdn. Bhd. dan Encik Cheong Koon Yun dari JPJ Negeri Pahang, yang masing-masing menerima wang tunai RM100. Setiap pemenang juga menerima cenderamata iringan berupa buku terbitan DBP, majalah DBP dan sijil penyertaan.

 

Pemenang tempat pertama, Puan Shamima VPK Abdulla.
Pemenang tempat kedua, Ts. Dr. Rizati Hamidun.

 

Pemenang tempat ketiga, Encik Shaiful Naszri Abdul Wahid.

Kesemua pemenang menerima hadiah dan cenderamata yang disampaikan oleh YBhg. Datuk Isham Ishak, Ketua Setiausaha MOT, yang diiringi oleh YBrs. Dr. Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Dasar dan Penyelidikan DBP.

Penerima sagu hati dimenangi oleh Puan Ruslina Kamarudin dari Rapidbus Sdn. Bhd.
Penerima sagu hati seterusnya ialah Encik Cheong Koon Yun dari JPJ

 

 

 

 

 

 

Sementara itu, para juri yang mengadili pertandingan ini terdiri daripada Encik Amran Ibrahim Rashidi (Aktivis Puisi Terapi dan Puisi Artistik  selaku Ketua Juri), Encik Wan Mohd Farid Jamel (Editor Bahagian Buku Sastera, DBP) dan Encik Mohd Salleh (Bahagian Perolehan dan Kewangan MOT).

Barisan juri Pertandingan Pertandingan Deklamasi Sajak bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022.

Penganjuran Pertandingan Deklamasi Sajak ini merupakan satu daripada objektif DBK 2022, iaitu untuk menyerlahkan jati diri dan citra bangsa Malaysia menerusi bahasa dan sastera kebangsaan. DBK dilaksanakan secara bersepadu dengan pelbagai pihak termasuklah dengan kementerian, jabatan dan agensi kerajaan, swasta dan pertubuhan bukan kerajaan.

Pertandingan Deklamasi Sajak yang julung-julung kali diadakan di MOT ini bertujuan untuk membina dan menyerlahkan bakat dalam mendeklamasikan sajak dalam kalangan warga MOT telah menerima sambutan yang menggalakkan. Pertandingan yang berlangsung di perkarangan lobi MOT ini disertai oleh 21 orang peserta yang terdiri daripada warga MOT, jabatan dan agensi seperti JPJ, MIROS, APAD, CAAM. MAHB, PRASARANA, RAPID BUS dan MRL.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.