Oleh Mohd Amran Daud
16 September 2022, 10:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Baling Program UNESCO: Melestarikan Bahasa Sukuan, Bahasa Daerah dan Bahasa Orang Asli telah dilaksanakan dengan jayanya oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA). Program yang turut disokong oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) ini diadakan di Kampung Orang Asli Lubok Legong, Baling Kedah dari 12 September 2022 hingga 15 September 2022.

Program yang memberikan tumpuan kepada bahasa Orang Asli Kensiu ini bertujuan untuk memantapkan rangkaian kerjasama DBP–JAKOA dalam program kebahasaan serta memelihara bahasa tempatan sebagai warisan jati diri bangsa.

Timbalan Ketua Pengarah JAKOA dan Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP sewaktu Majlis Penutupan Program UNESCO.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) JAKOA, Encik Saiful Zahlan Muhammad Azmi dalam ucapan perasmian penutupan program berkenaan memaklumkan bahawa pihak JAKOA sudah merancang program ini sejak tahun 2021 tetapi beberapa kali ditangguhkan kerana pandemik COVID-19.

Program pemeliharaan bahasa daerah dan bahasa suku kaum masyarakat orang asli ini selari dengan peruntukan Akta Orang Asli 1954 (Akta 134) dan Dasar Pentadbiran Orang Asli 1961, yang juga merupakan sebahagian daripada program sasaran Pelan Strategik Kemajuan Orang Asli (PSKOA) 2016 hingga 2022. Pelaksanaan program ini penting bagi mendapatkan data leksikal untuk tujuan pendokumentasian tetapi lebih penting lagi untuk memberikan pendedahan dan pengalaman kepada pegawai JAKOA mendalami kerja-kerja penyelidikan di lapangan.

Program yang berlangsung selama empat hari ini turut diselitkan dengan pelbagai aktiviti seperti Pertandingan Eja dan Sebut dengan Betul, serta Pertandingan Nyanyian Lagu Patriotik. Pertandingan ini diadakan untuk menyemarakkan lagi kecintaan terhadap negara dan menyuburkan semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat setempat, khususnya dalam kalangan Orang Asli Kensiu di Kampung Lubok Legong. Program ini turut dimeriahkan lagi dengan nyanyian lagu “Jalur Gemilang” dan “Keluarga Malaysia” oleh masyarakat setempat, khususnya oleh kanak-kanak.

Ucapan wakil DBP, iaitu Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP semasa majlis perasmian penutupan program.

Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa dalam ucapannya semasa majlis penutupan menyatakan bahawa objektif utama program ini adalah untuk memelihara  bahasa ibunda sebagai warisan jati diri bangsa.

Umum mengetahui bahawa generasi masa kini kurang didedahkan dengan bahasa jati yang diwarisi daripada keluarga yang terdahulu. Justeru dengan adanya program seperti ini dapat memberikan peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan mendalami bahasa jati masing-masing yang menjadi warisan turun-temurun.

Mengimbau sejarah pelaksanaan program UNESCO yang bermula sejak tahun 2014 hingga kini, DBP melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi telah diberikan kepercayaan oleh KPT untuk melaksanakan program yang dapat menepati aspirasi dan matlamat UNESCO, iaitu memelihara bahasa ibunda sesuatu etnik dan suku kaum melalui program berbentuk kajian bahasa. Antara kajian bahasa atau dialek yang telah dilaksanakan termasuklah dialek Terengganu, dialek Melayu Sarawak dan dialek Perak. Manakala kajian bahasa sukuan di Sabah dan Sarawak ialah bahasa Banjar, Bajau, Miriek, Bajau Samah, Tidung, Lundayeh, Melanau Mukah dan Dumpas. Kajian turut dilaksanakan pada bahasa Orang Asli Jakun, Semai, Jahai, Kanaq dan Semoq Beri.

Sesi temu bual penyelidik dari DBP bersama-sama informan.
Sesi temu bual penyelidik dari DBP bersama-sama informan.

Kajian lapangan yang melibatkan lima orang penyelidik dari DBP ini turut dibantu oleh lima orang penyelidik daripada pihak JAKOA, serta 10 orang informan dalam kalangan penduduk tempatan.

Sebanyak lima tema kajian dipilih dan bersesuaian dengan sosiobudaya dan sosioekonomi masyarakat tempatan seperti perubatan tradisional, kesenian dan kebudayaan, kraf tangan, haiwan dan pertanian.  Seorang pakar penyelidik, iaitu Dr. Mohd Sharifudin Yusop turut diundang oleh DBP untuk memberikan bimbingan kajian lapangan yang dilaksanakan oleh pasukan penyelidik dari DBP–JAKOA.

Urus setia DBP bersama-sama kanak-kanak daripada masyarakat orang Asli Kensiu.

Sementara itu, Tok Batin Kampung Orang Asli Lubok Legong, Encik Razali Kulim berkata, “Program seumpama ini amat dialu-alukan dan pihak kami sentiasa memberikan sokongan penuh kepada pihak luar untuk mengadakan kajian dan penyelidikan berkaitan dengan bahasa dan seumpamanya di kampung kami. Jika ada data kajian yang sudah diterbitkan oleh mana-mana pihak, kami berharap dapat diberikan satu salinan untuk simpanan kami, selain untuk dijadikan rujukan para pengkaji dan pelajar pada masa akan datang”.

Majlis penutupan program ini dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Pengurusan) JAKOA Malaysia, Encik Saiful Zahlan Muhammad Azmi, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Ketua Bahagian Peristilahan dan Leksikologi, DBP, Encik Mohd Fadzli Tajuid, Pengarah JAKOA Negeri Perak dan Kedah, Encik Harulnizam Abd. Rahman, Ketua Masyarakat (Tok Batin) Kampung Orang Asli Lubuk Legong, Encik Razali Kulim serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli Lubok Legong, Encik Ubal Kulim.

Program  yang dihadiri oleh 150 orang penduduk tempatan ini turut melibatkan wakil Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Baling, wakil Sekolah Kebangsaan Siong dan TABIKA KEMAS kampung tersebut.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.