Oleh Nurull Ain’am
19 September 2022, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Ketil, Kedah – Program Wacana Ilmuan Bahasa Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan 2022 peringkat negeri Kedah telah diadakan pada 15 September 2022 (Khamis) pada pukul 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Program tersebut disempurnakan perasmiannya oleh Dr. Rohani binti Desa, Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (UniSHAMS). Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Encik Mohammad Aizad bin Mohammad Bokhari, Pengarah Pusat Pengajian Umum (UniSHAMS); Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU), Encik Rahimi bin Arifin;Pensyarah Cemerlang selaku Pembicara Wacana Ilmuwan Bahasa, Dr. Haji Amir bin Haji Juhari; dan para kakitangan dan pelajar UniSHAMS.

Program Wacana Ilmuwan Bahasa Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 merupakan salah satu acara tahunan negara untuk menyedarkan masyarakat terhadap kepentingan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Tujuan utama program Wacana Ilmuwan Bahasa dengan DBK 2022 dianjurkan peringkat negeri Kedah adalah untuk menarik minat para pelajar dan pensyarah di negeri Kedah untuk mengetahui secara umum tentang sejarah, cabaran dan perkembangan bahasa Melayu di Malaysia dan seterusnya memberikan pendedahan kepada khalayak tentang keperluan memartabatkan bahasa Melayu yang menjadi pemangkin kepada perpaduan bangsa dan negara. Di samping itu, program ini juga memperkenalkan tokoh ataupun ilmuwan dalam bidang bahasa kepada para peserta yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan.

Dr. Haji Amir bin Haji Juhari selaku pembicara berpandangan bahawa bahasa Melayu bukan sahaja mempersatu bangsa yang terdapat di Malaysia, malah turut mempersatu bangsa di seluruh dunia. Hal ini dikatakan demikian kerana terdapat perkembangan bahasa Melayu di China dengan penawaran lebih daripada 10 universiti dan kolej yang menawarkan jurusan bahasa Melayu untuk diploma, ijazah sarjana muda dan ijazah sarjana. Begitu juga penawaran jurusan bahasa Melayu di universiti di Rusia dan universiti di Australia.

Kakitangan dan pelajar UniSHAMS tekun mendengar ceramah yang disampaikan oleh pembicara.

Walaupun begitu, bahasa Melayu boleh berada diambang kepupusan sekiranya generasi muda pada hari ini tidak bertutur menggunakan bahasa Melayu. Hal ini dikatakan demikian kerana generasi muda pada hari ini lebih gemar menggunakan bahasa Inggeris berbanding bahasa Melayu. Oleh sebab itu, menurut beliau, bahasa Melayu perlu dijaga dan dipelihara oleh semua pihak dan peranannya bukan sahaja bergantung kepada kerajaan mahupun DBP.

Menurut beliau lagi, bahasa Melayu menghadapi pelbagai cabaran, antaranya termasuklah persaingan dengan bahasa Inggeris, percampuran kod seperti mencampuradukkan bahasa atau dialek dengan bahasa atau dialek yang lain. Fenomena ini telah menjadi suatu kebiasaan di Malaysia kerana terdapat pelbagai jenis bahasa dan dialek seperti bahasa Melayu, bahasa Cina, bahasa Tamil dan suku kaum serta dialek tempatan.

Rumusannya, bahasa Melayu boleh dikatakan sebagai nyawa bagi bangsa kerana bahasa Melayu melambangkan ketamadunan yang boleh membentuk perpaduan dan jati diri bangsa. Oleh itu, kita perlu yakin terhadap bahasa Melayu kerana bahasa Melayu adalah bahasa pemersatu bangsa.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.