28 September 2022, 16:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI Bertempat di Hotel Bangi-Resort, Simposium Penyelidikan Korpus Malaysia (SPKM) 2022 meneruskan penganjurannya pada kali keenam pada tahun ini untuk menonjolkan penyelidikan korpus terkini. Dalam penganjurannya pada kali ini, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selaku penganjur utama dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selaku penganjur bersama bekerjasama dengan Gale Cengage dan Malaysian Corpus Research Network.

Simposium yang diadakan selama dua hari bermula pada 28 September 2022 ini berjaya menghimpunkan pakar, pengamal, penyelidik, penulis dan pelajar pascasiswazah yang terlibat dalam penyelidikan bahasa, sains dan teknologi serta bidang lain yang berkaitan dari dalam dan luar negara untuk berbincang tentang perkembangan perkorpusan. Sebanyak 22 pembentangan dan satu ucap utama, selain satu forum yang melibatkan empat ahli panel berlangsung dalam simposium ini.

Peserta khusyuk mendengar pembentangan pemakalah.

Dalam ucapan perasmian oleh Profesor Madya Dr. Emma Mirza Wati Mohamad, Timbalan Dekan FSSK UKM, simposium penyelidikan pada tahun ini dengan tema “Penerokaan/Penerapan Linguistik Korpus untuk Kemanusiaan Digital” memberikan tumpuan terhadap penyelidikan mengenai kemanusiaan digital dan sains data dalam pelbagai bidang, terutamanya bidang Linguistik Korpus.

Profesor Madya Dr. Emma Mirza Wati Mohamad, Timbalan Dekan FSSK UKM menyampaikan ucapan perasmian.

Sarjana tersohor dalam bidang Linguistik Korpus bersetuju bahawa peranan penyelidikan korpus serta aplikasi korpus dalam era digital semakin menonjol. Segala kegiatan masyarakat, sama ada ilmiah, sosial, politik, kerohanian, ekonomi, kekeluargaan, kesihatan yang melibatkan penggunaan bahasa dan komunikasi akan wujud dalam bentuk digital yang seterusnya boleh dikumpulkan menjadi korpus untuk penyelidikan.

Simposium ini juga diadakan untuk menghimpunkan ahli akademik, serta penyelidik tempatan dan Nusantara dalam bidang Linguistik Korpus dan Kemanusiaan Digital. Selain itu, SPKM 2022 turut memberikan tumpuan terhadap isu yang timbul daripada penyelidikan terkini dalam bidang Linguistik Korpus dan Kemanusiaan Digital. Menerusi SPKM 2022 ini juga, peserta dapat berkongsi pengalaman dalam penyelidikan terkini dan dapatan kajian menerusi interaksi dan penerbitan akademik.

Dr. Azizul Ismail yang menjadi pembentang pertama berkongsi kepentingan kajian korpus yang berupaya digunakan sebagai peramal kecenderungan pengundi sebelum satu-satu pilihan raya diadakan. Hal ini berlaku menerusi analisis korpus terhadap bahasa tidak santun yang digunakan dalam penulisan blog politik.

Dr. Azizul Ismail berkongsi dapatan kajiannya menggunakan korpus.

Bagi Dr. Anis Che Abdul Rahman, kajian yang menggunakan korpus mampu membantu analisis prosodi semantik terhadap sesuatu perkara. Sebagai contohnya, kajian terhadap imej wanita mendapati bahawa wujudnya prosodi semantik yang bersifat positif.

Dr. Anis Che Abdul Rahman membincangkan dapatan kajiannya berdasarkan korpus.

Seterusnya, Dr. Nor Fariza Mohd Nor dalam sidang plenonya membuktikan peranan korpus yang membantu mengaitkan pandangan orang awam terhadap tindakan kerajaan dalam isu perubahan iklim. Sebagai hasilnya, Dr. Nor Fariza berjaya menunjukkan bahawa orang awam mengambil berat terhadap perubahan iklim.

Dr. Fariza dalam sidang pleno.

Simposium yang sangat bermanfaat kepada ahli penyelidik ini berjaya menarik perhatian peserta sehingga akhir pembentangan walaupun membincangkan aspek yang agak teknikal dalam dunia penyelidikan yang menggunakan korpus.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.