29 September 2022, 16:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dianggotai oleh pelbagai negara termasuklah Malaysia. Yang pastinya, setiap negara anggota mempunyai latar belakang bahasa masing-masing. Walaupun bahasa Inggeris dikatakan bahasa yang paling banyak digunakan orang ramai di dunia dan sering digunakan wakil pemimpin semasa menyampaikan ucapan, kini bahasa Melayu semakin terserlah dan telah pun bergema di pentas PBB melalui Kenyataan Negara oleh YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob.

Sementara itu, bukanlah juga sesuatu yang luar biasa bagi mana-mana wakil negara menggunakan bahasa kebangsaan masing-masing dan merupakan suatu kelaziman ketika berucap di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA). Namun begitu, bagi Malaysia, berkumandangnya bahasa Melayu di Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77, yang bersiaran secara langsung melalui pelbagai medium sebelum ini amat membanggakan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Tahniah dan syabas kepada YAB Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob yang terus mengotakan janjinya untuk merealisasikan penggunaan bahasa ibunda negara, sekali gus menjulang bahasa Melayu di persada dunia. Detik bersejarah tersebut terukir indah bagi sejarah negara Malaysia pada hari Jumaat, iaitu pada 23 September 2022 di New York, bersempena dengan Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ke-77. Beliau mencatatkan sejarah apabila menjadi Perdana Menteri pertama yang berbuat demikian selepas 65 tahun Persekutuan Tanah Melayu sebagai anggota PBB, iaitu pada 17 September 1957.

Sebalik pujian yang diberikan kepada Perdana Menteri, tidak kurang juga ucapan sinis oleh golongan yang merasakan bahawa diri mereka lebih “elit” atau berilmu. Mereka mempertikaikan penggunaan bahasa Melayu di persidangan tersebut yang seolah-olah memperlekehkan keupayaan penguasaan bahasa Inggeris YAB Perdana Menteri. Golongan ini sebenarnya memperlihatkan minda mereka yang telah sebati dengan kesan penjajahan secara tidak langsung dan tiada kekuatan jati diri sebagai rakyat Malaysia.

Tiada salahnya menggunakan bahasa Melayu, bahasa leluhur negara Malaysia. Jika bukan kita, siapakah lagi? Dalam persidangan rasmi di PBB, wakil negara anggota yang berucap dalam bahasa masing-masing akan dibantu dan disediakan interpretasinya kepada beberapa bahasa rasmi lain. Ucapan Perdana Menteri itu diterjemahkan kepada bahasa Inggeris secara langsung dan beliau sangat berbangga kerana dapat berbahasa Melayu semasa berucap seperti pemimpin dunia lain yang berbangga bercakap dalam bahasa masing-masing. Tegas beliau, kini setiap rakyat Malaysia perlu membuka minda dan yakin akan bahasa Melayu.

Usaha dan perjuangan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja perlu dilaksanakan di dalam negara dan rantau ini, bahkan perlu disebarkan juga ke peringkat antarabangsa. Sehubungan dengan itu, persidangan atau forum antarabangsa seperti Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) ini merupakan platform terbaik buat negara untuk merealisasikannya. Bahasa Melayu perlu diantarabangsakan kembali seperti dahulu yang terbukti sebagai lingua franca. Peranan bahasa Melayu sebagai bahasa diplomasi juga telah sudah lama terlaksana. Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu pernah menjadi bahasa diplomasi sewaktu zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Berbahasa Melayu di pentas antarabangsa bukan bererti seseorang itu tidak mahir atau tidak fasih berbahasa Inggeris. Hal ini menunjukkan semangat cinta akan bahasa negara yang tinggi dalam diri dan sebagai bangsa yang bermaruah yang sedaya upaya menggunakan ruang dan peluang yang ada untuk menempatkan bahasa Melayu gah bersama-sama bahasa asing lain. Perdana Menteri dalam kenyataannya sebelum ini juga menegaskan bahawa antara tujuan lain seseorang itu berucap juga termasuklah untuk memperkenalkan bahasa dan yang paling penting adalah untuk menyampaikan mesej.

Tambah beliau, usaha yang dilakukannya itu merupakan antara sebahagian daripada usahanya untuk memperkasakan bahasa Melayu dan sekali gus mempromosikan bahasa negara ini ke seluruh dunia. Melalui usahanya ini juga beliau yakin dapat membuka mata pemimpin lain dan seluruh Keluarga Malaysia untuk bersama-sama mengantarabangsakan bahasa kebangsaan. Pada masa yang sama juga dapat membuka ruang dan peluang kepada warga asing untuk mendekati, mengenali dan mempelajari kepelbagaian budaya, bangsa dan agama di Malaysia. Oleh itu, peluang berada di persidangan itu digunakannya dengan sebaik-baik mungkin dan merupakan penampilan kedua Perdana Menteri selepas menghadiri sesi ke-76 pada tahun lalu secara maya akibat pandemik COVID-19.

Sehubungan dengan itu, seluruh Keluarga Malaysia perlu membantu negara dalam melebarluaskan bahasa Melayu pada peringkat serantau mahupun antarabangsa. Konsep jati diri penting sebagai asas dan akhlak bagi pembentukan jati diri individu, masyarakat dan negara. Pembentukan jati diri kebangsaan menjadi agenda utama sesebuah negara untuk membina identiti tulen yang menjadi teras dan lambang keunggulan sesebuah negara. Oleh itu, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan menjadi teras dalam pembentukan jati diri negara.

Sementara itu, rasa kecintaan terhadap bahasa Melayu juga perlu ditanam dalam diri generasi muda. Mereka juga perlu menjadikan bahasa Melayu “hidup” seiiring dengan teknologi. Sehubungan dengan itu, bahasa Melayu perlu dipertahankan supaya tidak menjadi bahasa kasar dan kesat yang digunakan untuk memaki hamun manusia lain.

Masyarakat juga perlu mengubah sikap yang suka menggunakan bahasa rojak. Masyarakat perlu menguasai bahasa Melayu dengan baik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai tonggak jati diri negara ini. Setiap warganegara perlu sayang akan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa perpaduan, bahasa berkomunikasi dan bahasa ilmu dengan rasa bangga.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.