Oleh Kho Thong Eng
4 Oktober 2022, 12:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pada umumnya, unsur lewah atau redundancy ialah unsur berlebihan yang tidak memberikan makna atau fungsi tambahan pada sesuatu komponen ayat. Satu contoh penggunaan kata yang lewah ialah penggunaan sendi nama yang berlebihan.  Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  *Dia belajar hingga ke jauh malam.

1b.  *Dia belajar sampai ke jauh malam.

1c.  Dia belajar hingga jauh malam.

1d.  Dia belajar sampai jauh malam.

2a.  *Semenjak dari waktu itu, dia kurang cergas lagi.

2b.  *Sejak dari waktu itu, dia kurang cergas lagi.

2c.  Semenjak waktu itu, dia kurang cergas lagi.

2d.  Sejak waktu itu, dia kurang cergas lagi.

2e.  Dari waktu itu, dia kurang cergas lagi.

 

Dalam kelompok ayat 1, kata sendi nama hingga dan sampai dapat dikaitkan terus dengan frasa nama jauh malam tanpa perantaraan kata sendi nama ke.  Dalam kelompok ayat 2, sendi nama semenjak, sejak dan dari masing-masing dapat dikaitkan terus dengan frasa nama waktu itu tanpa perantaraan sendi nama lain.

Ada kalanya keadaan lewah wujud apabila sesuatu kata yang sudah mengandungi maksud tertentu ditambah dengan kata yang membawa erti yang sama. Sila lihat contoh yang berikut:

3a.  *Dia pergi bersama dengan keluarganya.

3b.  *Dia pergi bersama-sama dengan keluarganya.

3c.  Dia pergi bersama keluarganya.

3d.  Dia pergi bersama-sama keluarganya.

3e.  Dia pergi dengan keluarganya.

 

4a.  *Udara yang panas akan naik ke atas.

4b.  Udara yang panas akan naik.

4c.  Udara yang panas akan bergerak ke atas.

 

5a.  *Mereka saling bantu-membantu.

5b.  Mereka saling membantu.

5c.  Mereka bantu-membantu.

 

6a.  *Mereka saling berpeluk.

6b.  *Mereka saling berpelukan.

6c.  *Mereka saling berpeluk-pelukan.

6d.  Mereka saling memeluk.

6e.  Mereka berpeluk.

6f.   Mereka berpelukan.

6g.  Mereka berpeluk-pelukan.

 

Dalam kelompok ayat 3, kata bersama atau bersama-sama bererti “bergandingan dengan” atau “serentak dengan”. Oleh itu, penambahan kata dengan selepas kata tersebut dianggap lewah. Bagi kelompok ayat 4, kata naik bererti “bergerak ke atas”. Oleh itu, penggunaan kata kerja tak transitif naik dengan frasa sendi nama ke atas dianggap lewah. Dalam kelompok ayat 5, kata kerja ganda separa bantu-membantu sudah mendukung maksud bersalingan. Oleh itu, penambahan kata saling akan menjadikan maksud ayat lewah. Dalam kelompok ayat 6, kata berpeluk, berpelukan dan berpeluk-pelukan sememangnya melibatkan perbuatan antara dua pihak atau lebih. Oleh itu, penambahan kata saling tidak seharusnya berlaku.

Jika sesuatu kata sudah mendukung maksud jamak, penggunaan kata yang juga mengandungi erti jamak akan menimbulkan kelewahan. Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  *Burung-burung berterbangan.

7b.  Burung-burung terbang.

7c.  Burung berterbangan.

 

8a.  *Dia menyemak senarai buku-buku.

8b.  Dia menyemak senarai buku.

 

9a.  *Guru itu menghimpunkan murid-murid.

9b.  Guru itu menghimpunkan murid.

 

10a.  *Rumah-rumah di tempat itu cantik-cantik.

10b.  Rumah-rumah di tempat itu cantik.

10c.  Rumah di tempat itu cantik-cantik.

 

Dalam kelompok ayat 7, kedua-dua kata nama ganda penuh burung-burung dan kata kerja berterbangan mendukung maksud jamak. Oleh itu, hanya satu mekanisme jamak harus digunakan. Dalam kelompok ayat 8, kata senarai dan buku-buku membawa pengertian jamak, dan tidak boleh digunakan bersama-sama. Dalam kelompok ayat 9, kata kerja menghimpunkan mengandungi maksud jamak, dan tidak harus dikaitkan dengan kata nama ganda penuh murid-murid yang juga bererti jamak. Dalam kelompok ayat 10, kata nama ganda penuh rumah-rumah dan kata adjektif ganda cantik-cantik bererti jamak, dan tidak boleh digunakan bersama-sama dalam ayat.

Walaupun biasanya penggunaan kata yang sama erti secara berturutan atau bergandingan dalam ayat dianggap lewah, ada kalanya hal tersebut dibenarkan. Sila lihat contoh yang berikut:

11a.  Hutan rimba di situ belum diteroka.

11b.  Hutan belantara di situ belum dipugar.

Dalam kelompok ayat 11, kata hutan sama erti dengan kata rimba atau belantara. Bentuk bergandingan sedemikian terdapat pada sesetengah frasa nama.  Sila lihat contoh yang berikut:

Kata Nama yang Seerti Frasa Nama
tubuh, badan tubuh badan
rakan, taulan rakan taulan
ribut, taufan ribut taufan

 

Walaupun penggandingan kata nama yang seerti dibenarkan bagi frasa nama di atas, hal ini tidak melibatkan semua keadaan. Sila lihat contoh yang berikut.

11a.  *Mereka menyeberangi sungai kali itu.

11b.  Mereka menyeberangi sungai itu.

11c.  Mereka menyeberangi kali itu.

 

12a.  *Dia membuka tingkap jendela rumahnya.

12b.  Dia membuka tingkap rumahnya.

12c.  Dia membuka jendela rumahnya.

 

Bagi frasa adjektif, penggandingan kata adjektif yang seerti dibenarkan dalam keadaan tertentu. Sila lihat contoh berikut:

  1.  Gadis yang cantik molek itu menjadi kegilaan ramai.

 

Dalam kelompok ayat 13, kata adjektif cantik sama erti dengan kata adjektif molek. Penggandingan sedemikian dibenarkan kerana membawa maksud kesangatan. Sila lihat contoh yang berikut:

Frasa Adjektif Maksud
letih lesu sangat letih
miskin papa, miskin kedana amat miskin
riang gembira sungguh riang

 

Walaupun bentuk bergandingan sedemikian dibenarkan bagi sesetengah frasa adjektif, hal ini tidak melibatkan semua keadaan. Sila lihat contoh berikut.

14a.  *Budak itu bakhil lokek.

14b.  *Budak itu bakhil kedekut.

14c.  Budak itu bakhil/lokek/kedekut.

14d.  Budak itu sangat bakhil/lokek/kedekut.

 

15a.  *Dia pemurah dermawan.

15b.  Dia pemurah/dermawan.

15c.  Dia sangat pemurah/dermawan.

 

Dalam kelompok ayat 14, penggandingan kata bakhil yang seerti dengan lokek atau kedekut dalam frasa adjektif tidak dibenarkan. Dalam kelompok ayat 15, penggandingan kata pemurah yang seerti dengan dermawan dalam frasa adjektif tidak dibenarkan. Jika maksud kesangatan hendak ditekankan, kata penguat sangat, amat atau sungguh harus kita gunakan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.