5 Oktober 2022, 17:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI – Pertemuan sarjana terkemuka dalam bidang perkorpusan menerusi Forum MCRN menjadi acara penutup dalam Simposium Penyelidikan Korpus Malaysia (SPKM) 2022 yang diadakan pada 29 September 2022 di Hotel Bangi-Resort. Forum ini menjadi pelengkap selepas semua peserta berhimpun untuk mendengar dan membentangkan kertas kerja masing-masing dalam simposium ini sejak 28 September 2022. Simposium ini merupakan program yang dianjurkan secara bersama antara Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Malaysian Corpus Research Network (MCRN), serta Gale Cangage.

Sebanyak empat ahli panel dipilih untuk membincangkan isu perkorpusan dalam forum ini. Ahli panel tersebut terdiri daripada Profesor Emeritus Dato’ Dr. Tengku Mohd Tengku Sembok (Universiti Pertahanan Nasional Malaysia), Profesor Dr. Hajar Abdul Rahim (Universiti Sains Malaysia), Dr. Rusmadi Baharuddin (DBP) dan Profesor Madya Dr. Afida Mohamad Ali (Universiti Putra Malaysia). Forum ini dipengerusikan oleh Dr. Azhar Jaludin (UKM).

Dr. Azhar Jaludin kelihatan bersemangat ketika mempengerusikan Forum MCRN.

Sebagai panel pertama, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Tengku Mohd Tengku menceritakan pengalamannya tentang korpus. Walaupun bukan berlatarbelakangkan linguistik, pakar dalam bidang komputer ini sangat berminat dalam bidang kebahasaan. Minat terhadap bahasa ini bukanlah suatu perkara yang menghairankan kerana dalam bidang sains komputer juga terdapat aspek bahasa yang dikenali sebagai bahasa pengaturcaraan.

Profesor Emeritus Dato’ Dr. Tengku Mohd Tengku berkongsi pengalamannya tentang korpus.

Profesor Dr. Hajar Abdul Rahim pula berkongsi tentang korpus berbahasa Melayu. Dalam konteks Malaysia sendiri, korpus pertama di negara ini adalah dalam bahasa Melayu. Menurut beliau, korpus yang menggunakan data berbahasa Melayu bukan sahaja ditemukan di Malaysia, tetapi turut ditemukan di luar negara menerusi korpus Malay Concordance Project yang berpangkalan di Australia.

Profesor Dr. Hajar Abdul Rahim berkongsi tentang korpus di Malaysia.

Bagi Dr. Rusmadi Baharuddin pula, penghasilan kamus yang lebih tuntas dan autentik memerlukan korpus yang mantap dari segi datanya. Oleh sebab itu, tidak hairanlah apabila kamus terkini yang diterbitkan oleh DBP, iaitu Kamus Dewan Perdana (KDP), menggunakan 100 peratus data korpus. Ketua Bahagian Perkamusan, DBP ini juga berkongsi pengalamannya sebagai penyusun KDP dari aspek penggunaan korpus.

Dr. Rusmadi Baharuddin menekankan kepentingan korpus dalam penerbitan kamus.

Panel terakhir, iaitu Profesor Madya Dr. Afida Mohamad Ali mengambil peluang dalam forum ini untuk menjelaskan tentang peranan MCRN. Badan ini ditubuhkan untuk menghubungkan semua penyelidik korpus yang ada. Jika sebelum ini wujudnya rasa keterbatasan antara setiap penyelidik korpus, kini dengan adanya MCRN, semua penyelidik bagaikan mempunyai sebuah keluarga besar yang sentiasa erat hubungannya. Setiap masalah atau persoalan yang membelenggu penyelidik korpus kini menjadi lebih mudah dengan adanya rangkaian penyelidik korpus menerusi MCRN yang akan membantu setiap ahlinya.

Profesor Madya Dr. Afida Mohamad Ali menjelaskan peranan MCRN.

Pada akhir forum ini, pihak penganjur mengalu-alukan Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai penganjur SPKM yang seterusnya yang dijangka akan diadakan pada tahun 2024. Sebagai memperingati keluarga besar korpus ini, semua peserta mengabadikan memori dengan bergambar kenangan sebelum bersurai pulang.

 

Para peserta kelihatan gembira ketika sesi bergambar kenangan.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.