14 Oktober 2022, 22:19

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelbagai bahasa dan budaya menjadi antara sempadan besar untuk manusia saling berkomunikasi antara satu sama lain. Walau bagaimanapun, halangan ini dapat diatasi dengan khidmat terjemahan yang semakin berkembang pada masa ini. Sehubungan dengan itu, bersempena dengan Hari Terjemahan Antarabangsa (30 September 2022), Institut Terjemahan Bahasa Melayu (ITBM) telah menganjurkan sesi Wawancara Layar Putih ITBM yang bertajuk “Terjemahan Menghubungkan Dunia Tanpa Sempadan”.

Sesi yang berlangsung selama satu jam setengah ini telah mengundang dua orang panel, iaitu Ketua Unit Asing dan Terjemahan, Pusat Kajian Bahasa dan Linguistik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman dan Pensyarah Kanan, Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Dr. Norhazlina Husin bersama-sama pemudah cara, iaitu Ketua Jabatan Terjemahan dan Latihan ITBM, Siti Rafiah Sulaiman. Sesi wawancara ini juga boleh ditonton secara dalam talian menerusi Facebook, Youtube dan Twitter ITBM. Rakaman sesi perkongsian ini boleh ditonton melalui https://www.facebook.com/rakanITBM/videos/1459753887851043..

Sebagai panel pertama, Prof. Madya Dr. Mohamed Zain Sulaiman mengungkapkan konsep sempadan yang sangat berkait rapat dengan penterjemahan kerana masyarakat yang berlainan bahasa dan budaya boleh dihubungkan komunikasinya melalui terjemahan. Penterjemahan ini akhirnya mampu mewujudkan satu dunia tanpa sempadan.

Teori dan praktikal yang dipelajari oleh mahasiswa dalam bidang terjemahan adalah berbeza daripada dunia sebenar alam pekerjaan dalam bidang ini. Namun begitu, kedua-duanya berkait rapat kerana alam akademik membina ilmu kemahiran berkaitan dengan bidang terjemahan. Para pelajar perlu memperkembang ilmu terjemahan dari semasa ke semasa apabila memasuki alam pekerjaan sebagai penterjemah. Antara langkah awal yang dilaksanakan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) termasuklah menghantar pelajar tahun akhir dalam bidang ini menjalani latihan industri bagi mengetahui sedikit banyak alam pekerjaan sebenar industri terjemahan.

Menurut beliau, semasa pandemik dan pascapandemik, terdapat permintaan yang sangat tinggi terhadap industri terjemahan bukan tradisional seperti terjemahan audio, video dan bahasa isyarat. Dengan bantuan teknologi terkini, aktiviti penterjemahan yang dahulunya mengambil masa selama dua hingga tiga hari dapat dikurangkan kepada dua jam hingga tiga jam sahaja.

Namun begitu, situasi ini juga membimbangkan kerana penterjemah perlu melakukan banyak penyelidikan sebelum menterjemahkan sesuatu bahan kerana penterjemah bukanlah mahir dalam semua bidang. Tekonologi seperti google translate hanya sebagai alat bantuan dan bukan mengambil alih tugas seseorang penterjemah secara 100 peratus kerana faktor budaya dalam sesuatu penterjemahan juga perlu diambil kira.

Beliau turut menyatakan bahawa teknologi pada masa ini walaupun memudahkan para penterjemah namun ada pihak yang mengambil kesempatan walaupun sebenarnya tidak berkelayakan. Antara cara yang boleh diambil bagi menangani masalah ini termasuklah dengan memprofesionalkan amalan terjemahan dan kejurubahasaan di negara ini.

Dr. Norhazlina Husin selaku panel kedua pula mengulas tentang terjemahan tepat. Untuk menghasilkan sesuatu terjemahan yang tepat, penterjemah perlu mempunyai ilmu terjemahan dan tidak sekadar menguasai dua bahasa yang hendak diterjemahkan itu semata-mata. Penterjemah perlu memahami sesuatu bidang yang hendak diterjemahkannya agar hasil terjemahan itu sama seperti acuan dalam bahasa asalnya.

Para mahasiswa dalam bidang terjemahan perlu banyak menimba ilmu tentang ilmu terjemahan dan sentiasa berani mencuba. Hal ini kerana terjemahan bukan hanya melibatkan aspek linguistik semata-mata bahkan perlu memahami pandangan dan budaya sesuatu masyarakat. Para penterjemah tidak boleh hanya bergantung kepada satu sumber semata-mata ketika menterjemah. Pihak IPT boleh mewujudkan suasana industri melalui pembelajaran kolaboratif.

Beliau juga berkata, terdapat pelbagai cabaran dalam industri terjemahan. Antaranya termasuklah teknologi itu sendiri. Walaupun teknologi memudahkan penterjemah tetapi ada segelintir yang mengambil mudah dengan menggunakan teknologi tersebut semata-mata tanpa menghalusinya sehingga hasil terjemahan tidak tepat.

Selain itu, persaingan antara penterjemah merupakan antara cabaran dalam industri ini. Terdapat individu yang inginkan wang segera dan mengambil kesempatan dengan menghasilkan terjemahan yang banyak tanpa mengambil kira kualiti terjemahan. Dunia tanpa sempadan kini juga membolehkan individu mempelajari pelbagai bahasa asing dan dapat menguasai bahasa tersebut dalam masa yang singkat. Jadi, mereka rasa sudah layak menjadi penterjemah tanpa mendalami ilmu terjemahan terlebih dahulu sehingga hasil terjemahan kurang tepat. Apabila terlalu banyak orang yang menawarkan khidmat terjemahan sehingga sanggup menawarkan perkhidmatan dengan harga yang rendah menyebabkan nilai harga terjemahan semakin menurun. Situasi sebeginilah yang memberikan cabaran besar kepada industri terjemahan di negara ini.

Tambah beliau, kini khidmat jurubahasa isyarat semakin banyak digunakan. Malaysia perlu mencontohi negara Barat yang tidak membelakangkan golongan kurang upaya kerana mereka juga sebahagian daripada masyarakat Malaysia. Golongan ini sewajarnya juga diraikan dengan menempatkan lebih banyak jurubahasa isyarat di setiap tempat seperti di hospital dan sebagainya. Beliau juga berpandangan agar satu senarai jurubahasa isyarat di negara ini disediakan agar masyarakat lebih mudah untuk mendapatkan khidmat mereka.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.