18 Oktober 2022, 16:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Majlis Penutupan Program “Saya Remaja Malaysia” telah berlangsung pada pukul 2.30 petang tadi di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Majlis ini telah disempurnakan oleh  YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Datuk Paduka Mohamed, iaitu Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Program “Saya Remaja Malaysia” merupakan aktiviti kebahasaan yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka melalui Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak dan Remaja dan Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. (Majalah Remaja). Program ini telah dilaksanakan ke sekolah-sekolah terpilih di Malaysia yang bertujuan untuk memperkasakan penggunaan dan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan remaja.

Dalam majlis tersebut, beliau menyampaikan ucapan penghargaan DBP kepada Nu Ideaktif Sdn. Bhd. atas usahanya memartabatkan bahasa Melayu khususnya dalam kalangan remaja.

DBP sentiasa menyokong penuh apa-apa usaha dan aktiviti pengembangan bahasa kebangsaan yang dikelolakan oleh apa-apa persatuan atau organisasi. Program menulis esei dan pengucapan awam yang dibuka kepada remaja Malaysia ini dapat memupuk kesedaran anak-anak remaja dalam usaha mengangkat bahasa ibunda kita dan seterusnya dapat membina jati diri remaja ke arah mencintai bahasa Melayu.

Menurutnya lagi, untuk menulis seseorang itu perlu ada ilmu. Oleh itu, remaja perlu mempunyai teknik dan panduan penulisan. Manakala pertandingan pengucapan awam pula dapat memahirkan remaja untuk menggunakan bahasa yang baik ketika berkomunikasi. Melalui pertandingan ini juga, para remaja dapat dilatih menggunakan bahasa yang baik.

DBP sentiasa menyokong penuh apa-apa usaha dan aktiviti pengembangan bahasa kebangsaan yang dikelolakan oleh apa-apa persatuan atau organisasi – YBrs. Tuan Haji Mohd. Salahuddin Datuk Paduka Mohamed.

Katanya lagi, Nu Ideaktif Sdn. Bhd. dan DBP merupakan platform yang bagus untuk memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan remaja, yang seterusnya akan menjadi tonggak pembinaan negara bangsa.

Syabas dan tahniah atas daya usaha dan komitmen yang tinggi oleh semua peserta dan juga tahniah kepada semua pemenang Pertandingan Esei “Saya Remaja Malaysia” dan Pertandingan Pengucapan Awam “Saya Remaja Malaysia”.

Encik Mohd. Fiezreen Ahmad, Editor Pengurusan Majalah Remaja.

Sementara itu, Encik Mohd Fiezreen Ahmad, iaitu Editor Pengurusan Majalah Remaja turut menyampaikan ucapan alu-aluan dalam majlis tersebut. Menurutnya, program ini merupakan inisiatif Nu Ideaktif Sdn. Bhd. untuk turut sama dengan DBP bagi memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan remaja.

Semoga semakin banyak remaja Malaysia yang mencintai bahasa Melayu. Kita juga telah mengadakan kempen jerayawara, slot kuiz bahasa dan kuiz peribahasa dalam usaha memperkasakan remaja ke universiti. Menerusi program ini, penyertaan dalam kalangan remaja Malaysia amat menggalakkan. Saya berharap agar kempen “Saya Remaja Malaysia” terus diadakan pada tahun-tahun akan datang.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.