Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPermatang Pauh, Pulau Pinang – Bicara Pantun Merentas Zaman Bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang telah berlangsung pada hari ini di Dewan Seminar, Universiti Teknologi MARA Cawangan Pulau Pinang, yang dianjurkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara (DBPWU) dengan kerjasama Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Pulau Pinang. Para peserta program ini terdiri daripada pelajar UiTM Cawangan Pulau Pinang dan Sekolah Menengah Sains, Kepala Batas, Pulau Pinang serta tetamu undangan.
Menerusi program ini, YBhg. Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz bertindak sebagai moderator, manakala Puan Noorazah Mohamed Noah dan Puan Noraila M. Noor telah diundang sebagai panel bagi membicarakan tentang penciptaan pantun dan mengulas tentang pembelajaran pantun di sekolah serta usaha menarik minat generasi muda mencipta pantun.
Dalam program tersebut, peserta turut didedahkan dengan asal usul pantun, definisi pantun, jenis pantun, persediaan menulis pantun, asas penulisan dan komponen pantun seperti tema dan persoalan, pembayang dan maksud, rima, bilangan patah perkataan dan bilangan suku kata dalam sebaris.
Menurut Dato’ Dr. Sohaimi Abdul Aziz, pantun merupakan puisi tradisional Melayu yang wujud sejak zaman masyarakat Melayu dahulu dan sangat tinggi nilainya serta mempunyai keterikatan antara pembayang dengan maksudnya dan diiktiraf oleh UNESCO sebagai warisan dunia yang tidak setara.
Puan Noraila M. Noor pula menjelaskan bahawa dalam penciptaan pantun, satu baris pantun perlu mengandungi empat patah perkataan dan diikuti oleh setiap baris yang mengandungi lapan hingga 12 suku kata. Yang paling penting, rima pantun perlu berakhir dengan a,b,a,b.
Sementara itu, menurut Puan Noorazah, pantun dapat memupuk dan menanam rasa cinta dalam diri seseorang dan akhirnya akan melahirkan insan yang berakhlak. Beliau juga menyentuh kaedah menghasilkan pantun yang baik dan bermutu untuk meninggalkan kesan emosi yang tinggi. Sesebuah pantun perlu ditulis dengan perasaan dan dicipta melalui pengalaman yang dialami sendiri atau sumber inspirasi daripada bahan bacaan. Pencipta pantun perlu menggandingkan unsur alam apabila mencipta pantun.
Bual bicara program tersebut diakhiri dengan sesi soal jawab dengan beberapa soalan telah diajukan oleh para peserta. Persoalan yang diberikan oleh para peserta ini menggambarkan minat mereka untuk mendalami dunia pantun dan mempelajari bidang sastera walaupun kebanyakan peserta dalam aliran Sains, Kejuruteraan dan Pelancongan. Semua peserta turut diberi peluang mencipta pantun yang baik dalam program tersebut.
Dalam majlis tersebut, ucapan alu-aluan disampaikan oleh Encik E Pian a/l Pro Poul, Timbalan Pengarah DBPWU, yang mewakili Pengarah DBPWU dan diikuti oleh ucapan perasmian penutupan yang disempurnakan oleh YBrs. Prof. Madya. Ir. Dr. Haji Ahmad Rashidy Razali, Rektor UiTM Cawangan Pulau Pinang.
Program Bicara Pantun Merentas Zaman yang bersempena dengan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) 2022 Peringkat Negeri Pulau Pinang ini diharapkan dapat menanam sikap cinta akan warisan bangsa dan memelihara kesenian dalam kalangan generasi muda dan masyarakat serta dapat melahirkan pencipta dan pemantun yang berkualiti.