Oleh Marene Mohammad
26 Oktober 2022, 17:07

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Negara Malaysia semakin mendapat perhatian daripada dunia luar bagi tujuan ekonomi atau pelaburan. Hal ini termasuklah dari aspek bahasa dan kepelbagaian budaya dalam kalangan warganegara asing dan pelancong di Malaysia. Oleh itu, bahasa Melayu sewajarnya memainkan yang peranan penting untuk menghubungkan penutur asing dengan penduduk tempatan. Menerusi penggunaan bahasa Melayu ini, penutur asing dapat berinteraksi dan merasai keramahan rakyat Malaysia.

Berdasarkan Laporan Perangkaan Demografi 2021, komposisi penduduk bukan warganegara ialah sebanyak 2.65 juta orang (8.1 peratus). Statistik Transaksi Perkhidmatan Kaunter Jabatan Imigresen Malaysia 2020 pula menunjukkan bahawa jumlah warganegara asing daripada golongan profesional yang memasuki Malaysia melalui pelbagai pas atau permit pada tahun 2020 ialah 343 357 orang. Daripada jumlah tersebut, warganegara asing yang berstatus ekspatriat atau pegawai dagang pula berjumlah 119 293 orang, tidak termasuk jumlah pasangan atau anak masing-masing. Peluang yang terbuka ini perlu diraih untuk memperkaya dan memperkasakan bahasa Melayu dalam kalangan penutur asing yang berada di Malaysia.

Ekspatriat atau pegawai dagang ditakrifkan sebagai bakat atau pakar asing yang bekerja dalam industri tertentu seperti yang digariskan dalam Program Transformasi Ekonomi Kerajaan Malaysia. Pegawai ini ialah pekerja kontrak yang berada di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun yang biasanya turut membawa pasangan dan anak untuk menetap di Malaysia. Ekspatriat dan pasangannya ini kebanyakannya berminat untuk mempelajari bahasa Melayu sepanjang bekerja dan menetap di Malaysia.

Bagi penutur asing dewasa ini, kejayaan memahami serba sedikit perkataan harian dalam bahasa Melayu merupakan suatu perkara yang penting sebagai tanda hormat kepada Malaysia sebagai negara tuan rumah yang sudi membenarkan golongan ini bekerja dan menetap di Malaysia. Kebolehan berbahasa Melayu menjadi sangat penting apabila penutur asing ini perlu berkomunikasi dengan penduduk tempatan dalam urusan harian atau melancong, terutamanya ketika pergi ke daerah atau kampung yang lain.

Pada abad ke-21 ini, penggunaan teknologi digital sudah tidak asing lagi kerana menjadi wadah penting dalam kehidupan harian. Penggunaan bahan interaktif digital melalui perisian, media sosial dan internet adalah antara usaha untuk meningkatkan kemampuan berkomunikasi dalam bahasa Melayu oleh penutur asing. Namun begitu, wujud satu cabaran besar dalam penggunaan bahan interaktif ini.

Menurut Juwariah Osman dan rakan-rakan dalam makalah “Strategi Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Melayu kepada Penutur Asing: Pendekatan Teknologi (Apps) dan Program Pengukuhan Berdasarkan Model Kolb”, walaupun banyak aplikasi telah dibangunkan dalam pasaran digital seperti Google Translator dan Malay Lingo, pembangunannya tidak berasaskan sukatan pelajaran bahasa Melayu yang tepat dan prinsip pembelajaran bahasa asing.

Seterusnya, bagi Nuraihan Mat Daud dalam makalah “Penggunaan Teknologi dalam Pengajaran Bahasa”, penggunaan e-buku bersama-sama laman sesawang dalam pengajaran bahasa Melayu masih kurang di Malaysia. Bilangannya terlalu terhad dan tidak dapat diandalkan, selain tidak meluas jika dibandingkan dengan laman sesawang yang serupa dalam pengajaran bahasa Inggeris. Hal ini menjadi satu cabaran besar yang perlu diatasi oleh penyelidik yang ada di Malaysia.

Bagi menyahut cabaran ini, satu kajian telah dilaksanakan oleh Akademi Bahasa, Universiti Teknologi Malaysia, Skudai, Johor, terhadap sebuah buku digital atau e-buku interaktif bahasa Melayu yang bertajuk Learn Malay with Rene. Buku ini ialah buku panduan bagi penutur peringkat pemula. E-buku tersebut dilengkapi dengan pelbagai elemen interaktif dan ciri multimedia untuk menarik minat penutur asing serta membantu golongan ini mempelajari bahasa Melayu.

Peserta kajian pula adalah dalam kalangan penutur asing dewasa yang terdiri daripada komuniti kecil ekspatriat yang menetap di Kota Iskandar, Johor Bahru. Ekspatriat atau pegawai dagang ini berasal dari negara Eropah dan Asia, seperti Jerman, Rusia, Belanda, Denmark, United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Iran, Algeria, India dan Jepun. Dalam kajian ini, peserta terlebih dahulu perlu memuat turun e-buku ini secara dalam talian menerusi peranti seperti telefon pintar, tablet atau komputer, dan dipindahkan ke dalam format tertentu, sama ada PDF, EPUB, MOBI, atau dipindahkan ke dalam peranti e-buku Kindle agar fungsi dan ciri interaktifnya dapat beroperasi dengan sepenuhnya.

Hasil kajian telah membuktikan bahawa penutur asing dewasa menggemari reka bentuk interaktif yang terdapat dalam e-buku Learn Malay with Rene, selain cirinya yang mudah diakses di mana-mana tempat dan pada bila-bila masa sahaja. Penutur asing dewasa ini juga mendapati bahawa penggunaan pemudah klik ke rangkaian multimedia lain sangat bermanfaat ketika mempelajari bahasa Melayu. Dengan hanya menggunakan rangkaian pemudah klik pada e-buku tersebut, penutur asing dewasa ini dapat memperoleh penerangan atau maklumat lebih lanjut tentang sebutan bahasa Melayu dalam bentuk audio dan video pembelajaran.

Di samping itu, menerusi rangkaian pautan ke laman sesawang lain seperti YouTube, penutur asing dewasa ini dapat menonton pelbagai pilihan lagu, drama dan filem Melayu, sekali gus dapat meningkatkan lagi minat penutur asing terhadap bahasa Melayu.

Penemuan lain yang sangat menarik dalam kajian ini adalah apabila penutur asing dewasa yang terdiri daripada golongan ekspatriat ini berasa seronok dan teruja sebagaimana kanak-kanak apabila menggunakan e-buku yang menyediakan pelbagai unsur grafik yang lucu dan menarik, serta paparan skrin yang berwarna-warni. Golongan ekspatriat ini juga beranggapan bahawa e-buku tersebut sangat menghiburkan ditambah pula dengan permainan interaktif seperti permainan belit lidah, kad imbas dan kuiz, serta rangkaian ke laman sesawang kartun.

Dalam era globalisasi ini, sudah tiba masanya supaya penghasilan bahan penerbitan dalam bahasa Melayu dipergiat dan penyebarannya diperluas ke dalam pelbagai bentuk teknologi digital. Sehubungan dengan itu, usaha menghasilkan e-buku interaktif sewajarnya mendapat sokongan semua pihak demi memartabatkan bahasa Melayu di seluruh dunia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.