27 Oktober 2022, 14:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Tanjung Malim – Hari Bahasa Ibunda Borneo (HBIB) 2022 yang julung-julung kalinya diadakan di Atrium, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), melibatkan penyertaan dua buah negara, iaitu Malaysia dan Brunei Darussalam. Sambutan ini diadakan untuk menyokong program Hari Bahasa Ibunda Antarabangsa yang disambut pada 21 Februari pada setiap tahun di seluruh dunia. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh pandemik yang masih melanda negara pada masa itu, HBIB 2022 ditunda hingga kelmarin.

HBIB 2022 yang bertemakan “Pemupukan Bahasa Ibunda dalam Pendidikan dan Masyarakat” merupakan program anjuran Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, dengan kerjasama Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Kent, IPG Kampus Rajang dan Universiti Brunei Darussalam (UBD).

Bahasa etnik atau pribumi, khususnya bahasa Kadazandusun, Iban dan Dusun Brunei semakin terancam apabila penutur dalam kalangan generasi muda kurang menggunakan bahasa tersebut dalam pertuturan seharian mereka.

HBIB 2022 menggariskan empat objektif utama, iaitu memartabatkan bahasa etnik Kadazandusun, Iban dan Dusun Brunei sebagai warisan negara Malaysia dan Brunei, menggerakkan kreativiti mahasiswa UPSI, IPG Kampus Kent, IPG Kampus Rajang dan UBD dalam usaha menjadi agen perubahan dalam pelbagai disiplin ilmu khususnya pendidikan, mewujudkan penghayatan hakikat budaya ilmu yang sebenar melalui proses pengalaman, pengamatan dan perbincangan dalam aktiviti berorganisasi dan memantapkan kemahiran insaniah mahasiswa terutamanya dalam kerja berpasukan dan kepemimpinan.

Terdapat pelbagai aktiviti kebahasaan dan kebudayaan yang dianjurkan sepanjang HBIB 2022 berlangsung yang antara tujuannya adalah untuk menyemai dan memupuk rasa cinta, menghargai dan menggunakan bahasa serta budaya masing-masing. Antara pertandingan tersebut termasuklah pidato, bercerita, masakan tradisional, peragaan pakaian tradisional, puisi tradisional dan sketsa komedi. Sambutan yang diterima daripada mahasiswa keempat-empat institusi pengajian tersebut juga sangat menggalakkan.

Prof. Madya Dr. Mazura@Mastura Muhammad ketika menyampaikan ucapan.

HBIB 2022 yang berlangsung kelmarin telah dirasmikan oleh Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI, Prof. Madya Dr. Mazura@Mastura Muhammad. Dalam ucapan perasmiannya, beliau mengatakan bahawa program ini sangat penting kerana bahasa etnik juga dapat membantu memperkukuh bahasa Melayu dan mengayakan kepelbagaian budaya rakyat Malaysia secara umumnya.

Sambutan ini turut berlangsung secara hibrid dan rakamannya boleh ditonton melalui Facebook Fakulti Bahasa dan Komunikasi, UPSI.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.