28 Oktober 2022, 19:36

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Gelugor, Pulau Pinang – Program Syarahan Perdana yang bertajuk “Kelestarian Bahasa Melayu dalam Pengurusan Perniagaan: Membugar Paradigma” telah diadakan pada hari ini di Dewan Budaya, Universiti Sains Malaysia (USM). Program ini dianjurkan oleh Unit Pemartabatan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, USM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2021, iaitu Profesor Dr. Zafir Khan Mohamed Makhbul yang juga merupakan Dekan Pusat Pengajian Siswazah Perniagaan (UKM-GSB), Universiti Kebangsaan Malaysia, telah diundang untuk menyampaikan syarahan perdana ini.

Melalui program ini, para peserta didedahkan kepada pengenalan bahasa Melayu, kehebatan bahasa Melayu dalam pengurusan perniagaan, cabaran memartabatkan bahasa Melayu, usaha memartabatkan bahasa Melayu, kelestarian bahasa Melayu dalam pengurusan dan peribahasa Melayu merentasi zaman.

“Bahasa merupakan khazanah bernilai tinggi yang perlu diperkasakan oleh setiap individu tanpa mengira ras dan agama selagi bergelar warga sesebuah negara,” pesan Profesor Dr. Zafir Khan.

Tambah beliau, bahasa dan kehidupan adalah satu. Seseorang yang cuba mengabaikan bahasanya samalah seperti mengabaikan nilai dan budaya hidup, jati diri serta masyarakatnya. Kata-kata beliau tersebut menyerlahkan peranan utama bahasa dalam menyatupadukan masyarakat pelbagai bangsa yang boleh diteroka melalui perkongsian pemikiran, pandangan semesta dan budaya berteraskan identiti kebangsaan negara.

Kekuatan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam pengurusan perniagaan tidak perlu dipertikaikan lagi. Sejak lebih dari satu alaf yang lalu, bahasa Melayu  telah dimartabatkan sebagai bahasa utama dalam bidang ekonomi dan perniagaan. Dari segi sejarah, bahasa Melayu terbukti berjaya sebagai lingua franca sejak zaman-berzaman. Namun begitu, realiti pada hari ini menunjukkan bahawa sejarah kegemilangan bahasa Melayu dalam urusan ekonomi dan perniagaan semakin terpinggir.

“Berikutan perubahan landskap ekonomi dan cabaran globalisasi, kedudukan bahasa Inggeris di Malaysia semakin kuat dan sedikit banyak mempengaruhi kedudukan bahasa Melayu”, kata Profesor Dr. Zafir ketika menerangkan situasi bahasa Melayu. Hal juga berlaku disebabkan oleh pembudayaan yang mendalam melalui sistem pendidikan, tempoh penjajahan negara yang panjang, dan kemasukan bidang moden yang diasaskan oleh tamadun Barat.

Persoalan tentang kebenaran bahawa bahasa Melayu tidak boleh digunakan, terutamanya dalam bidang pengurusan perniagaan, dan hanya bahasa Inggeris yang mampu memajukan bangsa dan negara Malaysia telah dinafikan oleh Profesor Dr. Zafir. Hal ini dikatakan demikian kerana negara di sebelah Timur, seperti China, Jepun dan Korea Selatan, masih mampu berjaya menguasai ekonomi dan perniagaan serta menghasilkan teknologi yang inovatif, kreatif dan saintifik melalui bahasa ibunda masing-masing. Oleh sebab itu, tidak mustahil sekiranya kegemilangan bahasa Melayu boleh dikembalikan. Sistem pendidikan merupakan jawapan bagi segala persoalan ini serta merupakan ejen penting dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Menurut beliau, aspek pengurusan juga dilihat mampu terus berkembang melalui penguasaan bahasa Melayu. Beberapa aspek dalam membuat keputusan dan pengurusan berkesan pula dapat dicapai melalui pemahaman yang mendalam terhadap peribahasa Melayu. Peribahasa Melayu dapat mengungkap pelbagai isu yang berlaku dalam kehidupan individu, interaksi kumpulan dan sistem organisasi.

Ringkasnya, peribahasa Melayu telah lama terkehadapan dalam aspek pengurusan perniagaan. Penggunaan peribahasa Melayu dalam memerihalkan isu pengurusan menunjukkan rasa kebertanggungjawaban untuk mengembalikan kegemilangan bahasa Melayu sebagai khazanah ilmu bernilai tinggi. Penghayatan terhadap peribahasa yang terkandung dalam syarahan umum kebangsaan ini menunjukkan bahawa adat lama yang ampuh tetap dipegang dan tidak akan dilupakan.

Sesi penyerahan cenderamata.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.