10 November 2022, 20:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) melalui Bahagian Peristilahan dan Leksikologi telah menganjurkan Ceramah Umum Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM) Bil. 2/2022 pada hari ini di Balai Seminar Tun. Dr. Hamdan Sheikh Tahir, Aras 6, Wisma DBP. Program Ceramah Umum JKTBM pada kali ini mengundang penceramah khas dalam kalangan mantan ahli JKTBM, iaitu Prof. Dr. Hj. Abdul Rasid Jamian dari Jabatan Bahasa dan Kesusasteraan Melayu, Fakulti Bahasa dan Komunikasi, Universiti Pendidikan Sultan Idris.

Dalam ceramahnya yang bertajuk “Adab Pendidikan Bahasa Melayu dalam Era Digital”, Prof. Dr. Hj. Abdul Rasid Jamian menekankan tentang pentingnya bahasa Melayu yang bukan sahaja sebagai alat komunikasi bahkan mempunyai peranan yang sangat besar dalam bidang pendidikan. Bahasa mencerminkan keikhlasan hati dan kesopanan budi bahasa serta mampu membentuk adab dan jati diri bangsa.

Dalam kita melatari dunia pendidikan ini, kita perlu berubah. Kita tidak boleh statik. Dalam erti kata lain, suasana iklim dan zaman telah menyebabkan status pendidikan kita berubah. Seiring dengan kemajuan bidang teknologi digital dan penggunaannya yang meluas khususnya dalam kalangan generasi muda, adab tidak boleh dipinggirkan. Bahasa sebagai suatu wahana memori bangsa yang berupaya membentuk jati diri cemerlang, minda yang tinggi dan nilai yang murni. Masyarakat perlu menjaga adab bukan sahaja dalam pendidikan bahkan dalam apa-apa jua bidang sekali pun.

Masyarakat perlu sentiasa menjaga adab. – Prof. Dr. Hj. Abdul Rasid Jamian.

Sementara itu, Ketua Pengarah DBP, YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran ketika berucap dalam majlis tersebut berkata, “Seiring dengan peredaran masa kini yang menjurus kepada era pendigitalan, DBP sentiasa bersedia mendepani cabaran baharu. Satu daripada usaha DBP dalam dunia pendigitalan ini adalah dengan mewujudkan majalah secara dalam talian, iaitu JendelaDBP untuk tatapan masyarakat”.

JendelaDBP telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada semua lapisan pembaca. Selain daripada itu, pada 22 November 2022, DBP akan melancarkan kad perniagaan secara digital. Hal ini menunjukkan bahawa DBP sentiasa berpandangan jauh dan mengikuti arus perkembangan semasa.

YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran menegaskan bahawa DBP sentiasa bersedia mendepani cabaran baharu.
Para pelajar IPTA dan guru bergambar bersama-sama penceramah dan Ketua Pengarah DBP.

Ceramah yang berlangsung selama dua jam ini telah dihadiri oleh lebih 100 orang peserta yang terdiri daripada pelajar, guru, pensyarah, karyawan DBP dan orang awam. Yang turut hadir mengikuti program ini ialah Tuan Haji Md Johari Hasan, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP dan Encik Ab. Aziz Mamat, wakil Pengarah Bahagian Sumber dan Teknologi Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia. Ceramah ini juga disiarkan secara langsung menerusi Facebook Langsung DBP.

Sesi penyampaian cenderamata kepada penceramah telah disempurnakan oleh Puan Fauzilahyatun Mustafa, Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.