12 November 2022, 10:59

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Petaling Jaya – Persoalan utama dalam falsafah bahasa Melayu merupakan hal yang tidak terbereskan kerana kita tidak pernah sampai kepada hal yang tuntas apabila membicarakan falsafah tersebut. Kita juga tidak mengetahui falsafah bahasa Melayu serta tidak maklum akan tradisi yang melatari cakerawala pemikiran kebudayaan kita yang seterusnya membawa kepada ketidakfahaman kepada asas falsafah bahasa Melayu itu sendiri. Oleh itu, pihak Toko Buku Pujangga Baru telah memilih untuk mengupas isu ini dengan menjemput Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah, Universiti Utara Malaysia, yang juga kolumnis majalah Dewan Bahasa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, iaitu YBrs. Dr. Tarmizi Hasrah.

Menurut beliau, dalam memikirkan reti bahasa, kita perlu menumpukan pada dua isu, iaitu warisan linguistik bahasa Melayu yang merupakan suatu warisan keilmuan dan ketidakadilan dalam mentafsirkan amalan pemerian nahu bahasa Melayu. Berdasarkan penemuan tulisan historiografi linguistik moden, timbulnya isu yang memaparkan pandangan yang menegaskan linguistik bahasa Melayu itu bukan suatu warisan ilmu tulen kecuali yang dipengaruhi oleh warisan linguistik bahasa Arab dan bahasa Eropah.

Tambah beliau, kenyataan yang dikeluarkan oleh seorang sarjana bahasa Arab pada tahun 2019 menyebut bahawa dengan melihat karya historiografi linguistik, idea yang terkandung dalam karya Raja Ali Haji tidak boleh menyumbang kefahaman terhadap teori linguistik moden sebaliknya hanya beranggapan bahawa karya tersebut lebih sesuai kepada para peminat sejarah semata-mata.

Usaha Akademi Jawi Malaysia yang begitu tuntas mengkaji tradisi bahasa Jawi harus diraikan yang menunjukkan bahawa bahasa Arab bukan sekadar mempengaruhi pengkajian bahasa tetapi pengaruhnya turut menerbitkan suatu warisan keilmuan linguistik bahasa Melayu.

Terdapat komen yang menyatakan bahawa karya Raja Ali Haji tidak sistematik dan tatakaedah yang digunakannya berbeza dan lain daripada kaedah penyusunan kamus yang dilakukan oleh orang Belanda. Namun begitu, komen ini mempunyai ketidakadilan dalam memahami amalan pemerian nahu bahasa Melayu oleh Raja Ali Haji kerana mereka melihat karya tersebut dalam kerangka linguistik moden.

Oleh itu, beliau berkata, terdapat dua isu, iaitu warisan linguistik bahasa Melayu merupakan suatu warisan keilmuan dan ketidakadilan dalam mentafsirkan amalan pemerian nahu bahasa Melayu telah mengundang maksud kepada para pengkaji historiografi linguistik, iaitu linguistik Melayu bukanlah sesuatu warisan keilmuan yang tulen. Hal ini disebabkan oleh kegiatan pemerian nahu bahasa Melayu ketika itu hanyalah ehsan daripada bahasa atau tradisi fasafah yang lain.

Dalam usaha untuk menerbitkan dasar falsafah bahasa, kita perlu menggali warisan itu sendiri. Walau bagaimanapun, terdapat kekangan jika kita hanya ingin menggali warisan yang betul-betul tulen tanpa pengaruh bahasa lain kerana ketiadaan data. Kekangan itu dimudahkan dengan menggunakan karya pemerian nahu bahasa Melayu yang dibangunkan bermodelkan bahasa lain dengan syarat ditulis oleh para penahu watan selain membuat sedikit perbatasan masa, iaitu hanya mengkaji karya dalam tempoh 100 tahun sahaja.

Menurut beliau, kefahaman yang diterapkan oleh linguistik moden terhadap pengertian bahasa berbeza sama sekali daripada kebudayaan yang berkaitan dengan makna bahasa kerana seseorang itu memahami makna bahasa yang mencakupi tatabahasa, adab, adat, budaya dan perilaku. Pengertian makna bahasa seperti ini sangat holistik dan gagal diserlahkan dalam penulisan nahu moden yang menggunakan teori linguistik moden. Pada pandangan beliau, suatu kerangka umum falsafah bahasa Melayu yang ingin dibangunkan mesti melibatkan kesemua elemen ini

Reti bahasa bermaksud, kita mengetahui bahasa, iaitu bukan sekadar faham apa-apa yang diujarkan oleh seseorangbahkan reti dan tahu menempatkan diri dalam konteks pertuturan dan konteks perlakuan serta konteks kebudayaannya.

Tambah beliau, falsafah itu mestilah merujuk suatu kerangka umum yang bertujuan untuk menjelaskan mekanisme penggunaan bahasa yang diterbitkan daripada hukum atau struktur abstrak dalam akal yang melahirkan fakta linguistik konkrit, iaitu merujuk tatabahasa. Daripada struktur tatabahasa, hubungan antara tatabahasa dengan lakuan penuturnya, iaitu dari segi akhlaknya perlu dijelaskan. Falsafah itu juga perlu merungkaikan struktur yang abstrak dan fakta linguistik yang konkrit dengan kesedaran akal dan akhlak penuturnya. Falsafah itu pada akhirnya akan membantu para penutur bahasa Melayu membentuk pemikiran yang rasional dan akhlak yang molek.

Siri Syarahan Susastera siri ketujuh yang bersiaran selama hampir satu jam setengah ini boleh ditonton secara dalam talian melalui saluran Facebook penganjur, https://www.facebook.com/tokobukupujanggabaru/videos/1569189873531852.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.