14 November 2022, 15:31

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Arau – Dalam mengikuti perkembangan era digital yang semakin meluas, usaha untuk memartabatkan bahasa dan sastera Melayu perlu diperkasakan lagi secara terus-menerus. Para penulis dan penerbit juga seharusnya terus bergerak seiring dengan perkembangan zaman dalam mengangkat dan mendukung bahasa Melayu.

Landskap baharu perkembangan digital sewajarnya digunakan dengan tahap maksimum untuk membawa bahasa dan sastera Melayu ke mercu yang lebih baik. Peranan serta keindahan bahasa dan sastera Melayu perlu digunakan sepenuhnya walaupun kita kini berada pada zaman sains dan teknologi yang pesat membangun. Bahkan hal ini seharusnya menjadi ikonik dalam menghadapi era globalisasi yang semakin rencam.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan van jenazah yang diwakafkan oleh Syarikat Tradewinds International melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Mohd Nazim Mohd Noor kepada Encik Syed Abu Bakar Syed Kamal Bharin Jamalullail, selaku Pengerusi Jawatankuasa Masjid Al-Mursyid Pauh Guring baru-baru ini.

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyaksikan simbolik penyerahan van jenazah.

Pada program yang sama, Tuanku Raja Muda selaku Yang DiPertua menyerahkan sumbangan MAIPs yang berjumlah RM21 000 kepada 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid yang sama untuk diagihkan oleh amilnya, Encik Ku Mat Isa Ku Ismail. Masing-masing akan menerima RM700 setiap seorang.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga bertitah,

Pelbagai usaha di peringkat antarabangsa telah pun dilaksanakan untuk mengembalikan bahasa Melayu sebagai bahasa supranasional, iaitu bahasa serantau dan bahasa antarabangsa, seperti pada zaman kegemilangan kerajaan Kesultanan Melayu suatu ketika dahulu dan amatlah penting agar usaha ini turut disokong oleh segenap lapisan peringkat terutama sekali di peringkat tempatan untuk lebih memperkasakan usaha-usaha tersebut.

Encik Mohd Nazim pula menambah bahawa,

Dengan merujuk prinsip Keluhuran Perlembagaan dalam Rukun Negara melalui Perkara 152 (1) Perlembagaan Persekutuan jelas menyatakan bahawa bahasa kebangsaan ialah bahasa Melayu. Maka bahasa Melayu sepatutnya diletakkan mengatasi bahasa lain selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan. Bahasa Melayu juga sepatutnya menjadi bahasa yang diagungkan dan dibanggakan oleh seluruh lapisan masyarakat dan institusi ilmu di Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.