15 November 2022, 14:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sibu – Program Pemerkasaan Forum Remaja pada hari ini memfokuskan elemen penilaian dalam pertandingan Forum Remaja dan perkongsian tentang pembakuan bahasa yang merupakan tujuan utama penganjurannya. Para peserta program ini terdiri daripada pendidik dari sekolah menengah di bahagian Sarikei, Mukah dan Kapit.

Program Pemerkasaan Forum Remaja ini anjuran bersama Unit Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan Pejabat Pendidikan Daerah Sarikei, Mukah dan Kapit. Ketiga-tiga bandar ini merupakan bandar kecil di Sarawak yang mengambil masa selama satu jam hingga tiga jam perjalanan ke Sibu dengan menaiki kenderaan melalui lebuh raya Pan-Borneo yang dijangka siap sepenuhnya pada tahun hadapan.

Peribahasa mengatakan bahawa hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Perjalanan yang memakan masa selama berjam-jam ini tidak mampu mematahkan semangat para guru dari bandar-bandar tersebut untuk mengambil peluang menyertai program ilmu ini. Hotel Premier yang bertaraf tiga bintang di Sibu dipilih oleh pihak urus setia sebagai lokasi program pada kali ini dan penginapan para peserta untuk satu malam pula turut ditaja oleh pihak penganjur di hotel yang sama.

Para peserta menunjukkan pelibatan yang baik sepanjang sesi perkongsian ilmu dengan bertanyakan pelbagai soalan berkenaan dengan pembinaan judul sehinggalah kepada pemilihan isi utama dan isi sampingan dalam forum. Tema yang diberikan oleh pembimbing pada sesi sumbang saran adalah dari aspek ekonomi. Rata-rata peserta bersemangat memugarkan idea dan bersoal jawab dengan para pembimbing bagi meningkatkan pemahaman dalam membina judul yang menarik. Senario sebegini amat diperlukan dalam program yang berunsurkan bimbingan bagi memperoleh input yang baharu dan segar.

Di samping itu, penggunaan laras bahasa yang tepat juga disentuh dalam sesi perkongsian pada hari ini seperti laras bahasa sukan, agama, sains dan sebagainya. Pada masa yang sama, para peserta diingatkan supaya merujuk laman web Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP untuk mendapatkan khidmat nasihat bahasa yang diperlukan.

Para peserta juga dipelawa untuk menghantar karya penulisan cerpen, puisi, esei kritikan, artikel dan berita kegiatan kepada editor DBP Cawangan Sarawak untuk disiarkan dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera (WBS), dan Yang Indah Itu Bahasa (YIIB) dalam akhbar Utusan Sarawak dan Utusan Borneo. Selain itu, laman web Jendela DBP dan e-Borneo turut dipromosikan kepada para peserta dengan harapan agar maklumat tersebut dapat disebarkan dan dikongsikan kepada rakan-rakan yang lain.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.