21 November 2022, 10:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Shah Alam – Baru-baru ini, Program Dekad Membaca Kebangsaan (DMK) Peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan 2022 telah diadakan di LT2, Universiti Selangor (UNISEL) Kampus Shah Alam, Shah Alam, Selangor. Program ini merupakan anjuran bersama UNISEL dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan IBBY Malaysia.

Secara keseluruhannya, program ini telah disertai oleh 150 orang peserta yang terdiri daripada warga kerja UNISEL, pelajar UNISEL, pelajar Kolej Universiti Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan wakil badan bukan kerajaan (NGO).

Encik Norazly Nordin, Pensyarah Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Alor Setar, Kedah sebagai moderator wacana membuka perbincangan awal tentang dunia buku kanak-kanak.

Program dimulakan dengan Forum Bahan Bacaan dan Sokongan untuk Kanak-kanak Istimewa yang menampilkan Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin (Presiden Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY) dan IBBY Malaysia), Ts. Dr. Latifah Abd Latif (Timbalan Dekan Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC) UNISEL), Puan Nor Aziyana Abd Rahman (Pensyarah Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran (FCVAC) UNISEL) dan Encik Norazly Nordin (Pensyarah Universiti Antarabangsa Albukhary (AIU), Alor Setar, Kedah) sebagai moderator.

Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, Presiden MBBY dan IBBY Malaysia menerima cenderamata daripada Prof Dr. Md Sidin Ahmad Ishak, Naib Canselor UNISEL.

Menurut Dato’ Ahmad Redza Ahmad Khairuddin, budaya membaca bermula dari zaman kanak-kanak. Penilaian tahap pembacaan kanak-kanak berdasarkan pemilihan bahan bacaan yang sesuai mengikut tahap umur. Pemilihan bahan bacaan bagi kanak-kanak normal dan kanak-kanak hiperaktif pula mengikut kesesuaian minda dan kefahaman mereka.

Tambah beliau, pemilihan bahan bacaan kanak-kanak juga berdasarkan pengamatan kanak-kanak dalam melihat sesuatu perkara. Kajian tahap bacaan kanak-kanak di Malaysia yang dijalankan oleh MBBY, selari dengan tahap bacaan kanak-kanak di 79 buah negara di seluruh dunia.

Hakikatnya kita semua pernah menjadi kanak-kanak. Apabila mengimbau zaman kanak-kanak akan mengingatkan kita kepada bahan bacaan yang pernah dibaca ketika zaman kanak-kanak. Contohnya, apabila menginjak ke zaman dewasa dan mengambil jurusan Pendidikan Awal Kanak-kanak, para pelajar tetap membaca nota-nota kuliah untuk keperluan jawapan peperiksaan.

Kriteria buku kanak-kanak istimewa menurut kajian pemasaran buku kanak-kanak di Malaysia oleh Ts. Dr. Latifah Abu Bakar (dua dari kanan)  telah dipamerkan dalam Pameran The International Board of Books.

Sementara itu, kriteria buku kanak-kanak istimewa menurut kajian pemasaran buku kanak-kanak di Malaysia yang dijalankan oleh Ts. Dr. Latifah Abu Bakar telah dipamerkan dalam Pameran The International Board of Books For Young People Ke-38, yang berlangsung pada 6 September 2022 hingga 8 September 2022 bertempat di Foyer Auditorium Cempakasari, Kompleks Perbadanan Putrajaya, Presint 3, Putrajaya.

Hasilnya, penganjuran pameran itu menampilkan buku kanak-kanak dan ilustrasi buku kanak-kanak terbaik hasil karya 145 orang penulis dan penerbit tersohor dalam dunia penceritaan buku kanak-kanak antarabangsa dari China, Jepun, India, Iran, negara-negara Oceania dan Amerika Syarikat.

Yang lebih membanggakan, hasil pencapaian muka hadapan katalog buku kanak-kanak sepanjang tahun 2021 menampilkan 40 bahasa yang telah menghiasi 40 muka hadapan buku kanak-kanak dari seluruh dunia.

Selain itu, terdapat pelbagai bahasa antarabangsa dalam karya buku kanak-kanak antarabangsa yang dipamerkan di Pameran The International Board of Books For Young People Ke-38. Tegas Ts. Dr. Latifah Abu Bakar, apabila mengunjungi pameran buku, kita akan mengenali pelbagai bahasa dan grafik buku.

Penghasilan bentuk ilustrasi buku kanak-kanak menurut penerangan Nor Aziyana Abd Rahman (kanan) dibincangkan berdasarkan pengalamannya sebagai pereka buku kanak-kanak.

Menurut Puan Nor Aziyana Abd Rahman, perkara pertama perlu dilakukan dalam menghasilkan bentuk ilustrasi buku ialah kaedah membangunkan ilustrasi buku. Selain itu, kepentingan bahan bacaan kanak-kanak sebagai bahan bacaan sokongan juga bertujuan untuk memberikan pendidikan kepada kanak-kanak normal dan kanak-kanak istimewa menguasai pembacaan, kemahiran berbahasa, kemahiran menulis dan kemahiran mengira.

Tambah beliau, penghasilan pelbagai ilustrasi buku kanak-kanak memberikan keunikan terhadap minat kanak-kanak normal dan kanak-kanak istimewa untuk menerokai buku kanak-kanak, khususnya quiet book.

Iustrasi buku cerita kanak-kanak dan kandungan buku cerita kanak-kanak yang berbentuk fantasi menjadikan pembaca buku kanak-kanak terpikat melihat estetika dan ilustrasi dunia fantasi dalam buku kanak-kanak.

Beliau juga menegaskan bahawa pembaca buku kanak-kanak di Malaysia menyukai ilustrasi buku yang berkonsepkan realisme dan ilustrasi abstrak dan geometrik dalam buku kanak-kanak.

Sementara itu, forum kedua yang bertajuk “Kesihatan Mental: Antara Persepsi dengan Realiti” pula menampilkan Dr. Syuhaida Abdul Razak, Pakar Psikiatri dari Hospital Shah Alam, Puan Wany Ardy (penulis, aktivis sosial dan Pengasas Mayer-Rokitansky-Kuster-Hauser atau MRKH Malaysia) bersama-sama Encik Mosyuki Borhan (Pengarah Urusan Rumah Ripta) dan Puan Alia Ali (Pengerusi Yayasan ZuriatCARE) pula bertindak sebagai moderator.

Majlis Perasmian Penutupan Program DMK Peringkat Pertubuhan Bukan Kerajaan telah disempurnakan oleh Prof Dr. Md. Sidin Ahmad Ishak, Naib Presiden dan Timbalan Naib Canselor, UNISEL. Antara barisan tetamu kehormat yang turut hadir ke program ini termasuklah Puan Rodziah Md Yunus (Ketua Bahagian Pengembangan Kesusasteraan Kanak-kanak Remaja, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP), Encik Hafiz Abdul Rahim (Ketua Perpustakaan UNISEL) dan Ahli Pengurusan Tertinggi UNISEL.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.