25 November 2022, 08:40

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Rancangan Cakna Bahasa yang bertajuk “Kesalahan Bahasa dalam Terjemahan Bahasa Cina ke Bahasa Melayu” yang bersiaran langsung melalui Facebook BERNAMA Radio telah menampilkan Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, Penyelaras Unit Pemartabatan dan Pengantarabangsaan Bahasa Melayu, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan (PPIK), Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang bersama-sama Puan Nazira Noran, penyampai BERNAMA Radio.

Menurut beliau, dari aspek konsep terjemahan dalam dunia bahasa, secara umumnya terjemahan merupakan kerja dan tindakan memindahkan makna daripada satu bahasa kepada bahasa lain. Selain itu, terjemahan juga mengimport pandangan dunia, pemikiran dan idea daripada satu bahasa kepada bahasa lain.

Proses terjemahan merupakan proses untuk penterjemah saling mempelajari antara satu bahasa kepada bahasa lain. Proses terjemahan juga merupakan suatu proses menghasilkan bahasa sasaran dan bahasa penerima. Hasil proses terjemahan telah menambahkan pengetahuan dengan pengenalan bahasa, bangsa, negara dan tamadun dunia. Melaluinya, proses penterjemahan telah mengeratkan hubungan antara sesama manusia di seluruh dunia.

Kelebihan penterjemahan buku bahasa Cina ke dalam buku bahasa Melayu di Malaysia kini berjaya menghasilkan pelbagai karya terjemahan yang bermutu tinggi dan bertaraf antarabangsa. Yang lebih membanggakan, penterjemahan empat karya agung kesusasteraan klasik Cina seperti Hikayat Mimpi Rumah Agam Merah (Dream of The Red Chamber), Hikayat Tiga Negara, Hikayat Jelajah ke Barat dan Hikayat Pinggir Air ke dalam bahasa Melayu dihasilkan untuk tatapan pembaca di Malaysia.

Penterjemahan karya sastera Mahua oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) merupakan karya terjemahan bahasa Cina ke bahasa Melayu yang ditulis oleh penulis Cina tempatan di Malaysia.

Menurut Profesor Madya Dr. Goh Sang Seong, percakapan orang Cina melalui bahasa Cina menggunakan ayat aktif, manakala percakapan orang Melayu melalui bahasa Melayu diserlahkan dengan kesantunan bahasa dan ungkapan ayat pasif. Tegasnya, cara penstrukturan ayat pasif dalam bahasa Cina tidak sama dengan cara penstrukturan ayat pasif dalam bahasa Melayu.

Cabaran penterjemahan bahasa Cina ke bahasa Melayu juga memerlukan kepakaran penterjemah dalam menguasai imbuhan dalam bahasa Cina dan bahasa Melayu. Oleh itu, penstrukturan semula penterjemahan imbuhan bahasa Cina ke bahasa Melayu harus dilakukan oleh penterjemah bahasa Cina dengan sebaik-baiknya.

Selain itu, pelibatan para penterjemah dalam bidang terjemahan menurut beliau seharusnya menekankan kepentingan bahasa dan budaya, selain kepentingan hubungan antara bahasa dengan budaya yang disifatkan bagai irama dan lagu.

Penterjemah perlu menguasai hukum bahasa, tatabahasa dan pemikiran semua penutur bahasa di seluruh dunia. Secara keseluruhannya, penterjemahan menampilkan istilah terbaik oleh Bahagian Peristilahan, DBP dengan menghasilkan contoh padanan yang mantap seperti istilah terkini, iaitu akuan berkanun atau akuan secara bertulis.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.