28 November 2022, 10:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Sarikei – Majlis Prapelancaran Kamus Melanau Mato Daro–Bahasa Melayu yang berlangsung pada 27 November 2022 di Dewan Suarah, Sarikei, Sarawak merupakan antara usaha untuk memelihara bahasa ibunda di negeri ini. Majlis ini dianjurkan oleh Persatuan Melanau Sarikei dengan kerjasama Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Mato Daro–Bahasa Melayu, dan Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak (DBPCS).

Projek penghasilan kamus ini merupakan hasil pembinaan dan pengesahan manuskrip Kamus Melanau Mato Daro–Bahasa Melayu yang telah dilaksanakan sejak tahun 2019. Atas kesinambungan kerja-kerja pembinaan dan pengesahan manuskrip ini, maka manuskrip lengkap Kamus Melanau Mato Daro–Bahasa Melayu telah siap dihasilkan pada bulan Oktober 2022 sebelum diserahkan kepada DBP untuk proses penilaian, penyuntingan dan penerbitan.

Masyarakat Melanau Mato Daro merupakan kumpulan etnik Melanau yang majoritinya mendiami kawasan Matu, Daro, Sarikei dan Sibu. Bahasa Melanau mempunyai beberapa variasi yang tersendiri sehingga wujud perbezaan yang ketara dari segi kosa kata dan intonasi.

Varian bahasa Melanau yang dituturkan oleh kumpulan ini mempunyai variasi yang berbeza daripada masyarakat Melanau yang mendiami kawasan lain seperti Dalat, Igan, Rajang dan Seduan. Namun begitu, varian Mato Daro dianggap yang paling mudah difahami dalam kalangan kumpulan Melanau, berikutan keupayaan orang luar yang mudah menuturkan bahasa Melanau Mato Daro dalam masa yang singkat.

Bahasa Melanau Mato Daro dituturkan oleh penduduk Melanau di beberapa buah kampung dari Kuala Matu, Sok, Tian, Bawang, Jemoreng, Sekaan, Pangtray, Lemang Pek, Nangar, Tebaang, Kampung Tengah, Itol, Badong, Tekajong, Penipah, Sallah Imit, Betanak, Penibong, Penuai, Kut, Semop, Saai, Sebakau dan Sedi.

Para tetamu bergambar kenangan ketika sesi penyerahan cenderamata.

Majlis Prapelancaran Kamus Melanau Mato Daro–Bahasa Melayu ini disempurnakan oleh YBrs. Tuan Haji Abang Mohamad Porkan Haji Abang Budiman (Timbalan Residen Sarikei). Menurut beliau, kerajaan Sarawak akan sentiasa memberikan sokongan terhadap aktiviti kebahasaan dan kesusasteraan oleh agensi kerajaan dan sektor swasta.

Antara tetamu yang turut hadir dalam majlis ini termasuklah YBrs. Puan Fauzilahyatun Mustafa (Pengarah Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, DBP), YBrs. Encik Abang Haliman Haji Abang Julai (Pengarah DBPCS), YBrs. Tuan Haji Sulaiman Haji Buhari (Presiden Persatuan Melanau Sarikei), dan YBrs. Dr. Raduan Serap (Pengerusi Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Mato Daro–Bahasa Melayu) dan YBrs. Dr. Haji Santrol Abdullah (Pakar Rujuk Jawatankuasa Pembinaan Kamus Melanau Mato Daro–Bahasa Melayu, merangkap Ketua Bahagian Akademi, DBP).

Majlis ini diserikan lagi dengan persembahan tarian Jong Ukang dan Berkikir yang dipersembahkan oleh Kumpulan Seni Jerijeh dari Kampung Jerijeh.

Penganjuran Majlis Prapelancaran Kamus Melanau Mato Daro–Bahasa Melayu ini telah berjaya mencapai objektif pelaksanaannya, iaitu merangsang semangat jati diri dalam kalangan masyarakat Sarawak supaya lebih peka akan bahasa ibunda dan budaya warisan Sarawak, seterusnya memartabatkannya untuk tujuan pelestarian bahasa. Secara tidak langsung, hal ini menunjukkan kesungguhan pelbagai pihak yang bersinergi dengan DBPCS bagi memastikan pelestarian bahasa sukuan di negeri Sarawak terus terpelihara.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.