Oleh Syahmi Ibrahim
1 Disember 2022, 08:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Falsafah bahasa Zaʻba agak kurang dibicarakan sama ada dalam dunia akademik atau secara umum. Cuma yang banyak dibicarakan tentang Zaʻba adalah dari sudut linguistik atau tatabahasa dan juga pemikiran beliau tentang kemunduran dan kemiskinan masyarakat Melayu.

Bertitik tolak daripada hal itu, kita seharusnya melihat kembali ungkapan Prof. Syed Muhammad Naquib Al-Attas yang memuji Zaʻba dalam syarahannya bahawa karangannya yang diberi nama Pelita Bahasa Melayu itu sungguh benar, iaitu pelita yang menerangi suasana kelam keliru dan petunjuk jalan ke arah kesedaran orang Melayu akan nilai bahasanya yang merupakan jiwa bangsa itu. Dalam hal ini, Al-Attas merupakan seorang yang mengerti tentang falsafah bahasa Zaʻba. Walaupun buku Pelita Bahasa Melayu membicarakan soal bahasa, namun buku ini turut menyentuh aspek pemikiran.

Tulisan pada kali ini akan menyentuh tentang hubungan bahasa dengan pemikiran. Antara masalah yang terpaksa ditempuhi oleh pengkaji ialah persoalan tentang apakah Zaʻba mempunyai falsafah bahasa? Hal ini kerana Zaʻba tidak pernah menerbitkan sebarang karya khusus yang membicarakan falsafah bahasa. Boleh jadi Zaʻba tidak menulis karya yang sedemikian disebabkan oleh tradisi kepengarangan Melayu. Contohnya seperti Sheikh Daud al-Fathani, iaitu idea tentang falsafah bahasa beliau yang banyak dijumpai dalam fatwanya sedangkan beliau tidak mempunyai karya khusus yang membincangkan tentang falsafah bahasa.

Namun begitu, jika kita meneliti secara jelas dalam Pelita Bahasa Melayu, terdapat penerapan falsafah linguistik di dalamnya. Penggunaan data dalam Pelita Bahasa Melayu menjadi bukti bahawa karya tersebut mengandungi falsafah linguistik. Jika ada falsafah linguistik, sudah semestinya ada falsafah bahasa. Kebiasaannya, falsafah linguistik itu diterbitkan daripada kefahaman yang mendalam mengenai hakikat bahasa itu sendiri.

Walau bagaimanapun, di manakah kedudukan falsafah bahasa Zaʻba jika Zaʻba sendiri tidak pernah mengarang sebarang karya pun yang berkaitan dengan falsafah bahasa? Falsafah bahasa Zaʻba kebanyakan tersirat dalam pelbagai karyanya. Maka itu, sudah menjadi tanggungjawab pengkaji untuk mentafsir sendiri karya-karya milik Zaʻba jika ingin mengetahui falsafah bahasanya.

Falsafah bahasa Zaʻba mempunyai hubungan yang rapat dengan keadaan semasa pada ketika itu yang dilanda gelombang reformisme atau proses pengislahan masyarakat Muslim seluruh dunia. Idea pengislahan adalah bertujuan untuk membebaskan pemikiran masyarakat daripada kejumudan dan taklid buta. Bagi membebaskan pemikiran, proses berfikir harus berlaku. Oleh itu, perkara pertama yang perlu dilakukan ialah mengislahkan bahasa.

Dengan memetik tulisan Al-Attas, apabila bahasa sudah disekularkan, pemikiran turut sama disekularkan. Begitu juga sebaliknya. Maka untuk mengislahkan pemikiran, mahu atau tidak mahu mesti bermula dengan pengislahan bahasa. Dari sinilah Zaʻba menulis karya agung bahasanya, iaitu Pelita Bahasa Melayu yang bertujuan untuk mengislahkan bahasa.

Konsep tatabahasa yang terkandung dalam Pelita Bahasa Melayu dikategorikan sebagai nahu tradisional kerana sesuai digunakan bagi peringkat sekolah dan maktab untuk tujuan pembelajaran bahasa. Nahu yang diguna pakai oleh Zaʻba bersifat perskriptif berbanding dengan konsep deskriptif yang melihat sesuatu bahasa itu digunakan oleh penuturnya secara alamiah.

Di dalam buku tersebut, Zaʻba merangka peraturan, iaitu peraturan itu dianggap benar oleh beliau berdasarkan pengalamannya dan ilmu yang beliau miliki. Penutur bahasa Melayu harus mengikuti peraturan tersebut. Tujuan karya ini dikarang adalah untuk membetulkan cara dan gaya penutur bahasa Melayu agar menggunakan bahasa tersebut dengan betul supaya sesuatu perkara dapat disampaikan dengan sempurna.

Walau bagaimanapun, apakah timbangan untuk memastikan sesuatu bahasa itu betul dan siapakah yang selayaknya menentukan perkara tersebut? Yang dikatakan bahasa yang betul ialah betul dari sudut struktur ayat dan tepat dari segi makna. Orang yang layak untuk menilai kebenaran sesuatu bahasa pula mestilah yang mempunyai kewibawaan dalam sesuatu bidang atau secara umumnya ahli bahasa. Penggunaan bahasa yang betul ini perlu kerana mencerminkan lurusnya pemikiran penutur.

Jika diteliti karya Zaʻba, kita boleh mengelompokkan Zaʻba dalam kumpulan pengikut Herderian yang totok. Menurut Herder, hakikat sesebuah pemikiran itu ditambat dan tergantung pada bahasa. Secara mudahnya, dengan bahasalah manusia berfikir dan tanpa bahasa manusia tidak boleh berfikir. Namun begitu, fahaman seperti ini telah banyak disanggah oleh sarjana yang kemudian.

Berbalik semula kepada pengislahan bahasa, metode yang dipakai oleh Zaʻba ialah pemeringkatan. Zaʻba bermula dengan perkataan, kemudian baru disudahi dengan ayat-ayat. Hal ini demikian kerana perkataan ialah unit asas dalam bahasa sebelum berkembang menjadi ayat. Sesuatu perkataan menjadi bermakna jika digunakan dalam konteks ayat yang betul. Oleh sebab itulah Raja Ali Haji menulis Kitab Pengetahuan Bahasa yang memuatkan perkataan berserta takrifnya kerana dengan takriflah dapat memberikan makna perkataan dengan tepat.

Ketepatan ayat terbit daripada ketepatan perkataan yang kita gunakan untuk ayat tersebut dan daripada ayat inilah dunia dihidupkan. Perkataan adalah cerminan dunia. Dalam Pelita Bahasa Melayu ada tiga kaedah yang diutarakan oleh Zaʻba untuk membina ayat yang betul, iaitu tertib, penguncian dan persesuaian. Selain itu, Zaʻba juga memberikan penekanan pada inti perkataan, iaitu nama, perbuatan dan sifat.

Kesimpulannya, walaupun Zaʻba tidak memiliki karya yang khusus bagi membicarakan soal falsafah bahasa, nilai-nilai falsafah tersebut dapat ditelusuri dalam karya agung beliau, iaitu Pelita Bahasa Melayu. Karya ini menjadi bukti bahawa Zaʻba merupakan seorang yang berkemahiran tinggi dalam bidang bahasa dan menggunakan bahasa sebagai jalan bagi memajukan masyarakat Melayu pada masa itu.

 

***Artikel ini hasil laporan syarahan bersama-sama Dr. Tarmizi Hasrah yang bertajuk “Falsafah Bahasa Zaʻba”.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.