Oleh Aminudin Mansor
6 Disember 2022, 15:18

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bahasa memainkan peranan yang penting dalam kehidupan masyarakat. Bahasa yang baik dan mudah difahami serta boleh dituturkan oleh masyarakat seperti bahasa Melayu mampu membangunkan tamadun dan menjadi bahasa perpaduan dalam kalangan masyarakat. Hal ini dapat dilihat sejak negara mencapai kemerdekaan dan kini sudah 65 tahun peranan ini telah dilaksanakan oleh bahasa Melayu dengan berkesan dan berjaya.

Pembangunan dan kemajuan yang sempurna dalam kehidupan masyarakat semuanya bermula daripada penggunaan bahasa Melayu di negara ini. Paduan antara pembangunan dengan kemajuan kerohanian dan kebendaan mestilah bermula dengan penggunaan bahasa yang betul, tepat dan berkesan. Sesungguhnya, bahasa merupakan satu daripada pencapaian terawal dalam tamadun manusia.

Tamadun bangsa bukan hanya pembangunan kota dan bandar. Tamadun bangsa juga terletak pada penguasaan bangsanya menguasai bahasanya dan juga mengangkat bahasanya sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan, bahasa ilmu dan bahasa tamadun bangsa sesuai dengan perkembangan sains dan teknologi kini dan pada masa akan datang.

Sejarah telah membuktikan bahawa bahasa Melayu telah memainkan peranan yang penting dan berkesan dalam kebudayaan bagi mengeratkan perpaduan masyarakat. Sebagai bahasa kebangsaan, bahasa Melayu yang berdaulat telah berjaya memupuk perpaduan murid di peringkat sekolah dan institusi pengajian tinggi. Semua itu telah dilaksanakan secara berperingkat oleh bahasa Melayu sejak tahun 1957, iaitu ketika negara mencapai kemerdekaan hingga kini.

Bahasa Melayu juga telah melalui perancangan yang rapi. Menurut Fishman el al. (1971), proses pengekodan meliputi usaha ke arah “penyerapan variasi bahasa dari segi daerah dan sosial melalui penyediaan tatabahasa, kamus, panduan ejaan dan sebagainya”.

Bahasa Melayu turut melalui proses perancangan bahasa, iaitu melalui perancangan, pelaksanaan dan penilaian. Melalui proses ini, bahasa Melayu telah melalui aspek pengekodan, pemupukan dan penilaian bagi memajukan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dalam kalangan masyarakat.

Menurut Nik Safiah Karim dan Norliza Jamaluddin (2012), bahasa Melayu telah menuju ke arah bahasa Melayu moden melalui perancangan bahasa ini sebagai usaha memupuk ke taraf yang lebih maju, iaitu bahasa yang mampu mengungkapkan pelbagai konsep yang berkaitan dengan urusan rasmi negara dan juga kebudayaan yang mewakili kehidupan moden pada masa ini.

Menurutnya, perkembangan bahasa Melayu moden dapat dilihat melalui usaha yang dilaksanakan oleh individu dan masyarakat serta badan dan pertubuhan tertentu. Perancangan bahasa Melayu sebagai bahasa moden diselaraskan dengan perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh masyarakat yang mampu dilaksanakan.

Bahasa Melayu kini menjadi media sosial, media perdagangan, media politik, media penyebaran ilmu pengetahuan, media kebudayaan, pengurusan, undang-undang, ekonomi, media pendidikan serta yang lebih utama sebagai media penyebaran dakwah dalam kehidupan agama dan budaya masyarakat. Bahasa menjadi penting dalam hubungan kehidupan masyarakat serta dalam bidang profesional yang lain.

Peranan rakyat terutama yang menggunakan bahasa secara lisan dan tulisan, iaitu dengan berbahasa Melayu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa yang mudah diterima oleh semua ahli masyarakat di negara ini. Bagi membentuk perpaduan, bahasa memainkan peranan yang penting, iaitu dalam bidang pendidikan, komunikasi, dan mengamalkan budaya. Apa-apa juga kegiatan yang dilakukan dalam kebudayaan masyarakat mestilah menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dan bahasa komunikasi.

Clive Bell (2007) mengatakan bahawa orang yang berbudaya biasa berbicara segala macam hal melalui bahasa. Oleh itu, bahasa yang digunakan mestilah bahasa yang mudah difahami dan diterima oleh semua kaum dalam sesebuah masyarakat dan negara yang merdeka.

Peranan bahasa sangat penting dalam mengeratkan perpaduan kaum. Bahasa yang baik dan berilmu akan menjadi bahasa pengantar, bahasa rasmi dan bahasa kebangsaan seperti bahasa Melayu kepada sesebuah negara seperti Malaysia. Peranan masyarakat adalah dengan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa perpaduan.

Justeru, bahasa Melayu sebenarnya sudah lama mampu dan berfungsi sebagai peranannya dalam menyatupadukan pelbagai kaum di negara ini. Di sekolah, murid diajar dan bertutur serta berkomunikasi dengan baik dalam bahasa Melayu, di samping bahasa Inggeris yang digunakan sebagai bahasa penerokaan ilmu.

Tidak ada kelebihannya berkomunikasi dalam bahasa Inggeris pada setiap hari sama ada di rumah dan di tempat kerja. Tiada kekurangan pun jika berbahasa Melayu di rumah dan juga di tempat kerja serta di majlis rasmi. Bahasa Melayu lebih hebat dan indah kerana mempunyai keindahan melalui bahasa puisi seperti pantun, peribahasa dan kata-kata hikmah. Kedua-dua bahasa ini mempunyai peranan penting dalam hubungan budaya dan menambah ilmu pengetahuan.

Yang paling penting, para pengguna bahasa tidak mencampuradukkan kedua-dua bahasa ini dalam penulisan dan percakapan. Hal ini diibaratkan seperti “Sekerat ular dan sekerat belut”, yang boleh merosakkan bahasa terutamanya bahasa Melayu. Oleh itu, dalam kehidupan seharian sama ada di media sosial dan media baharu mestilah menggunakan bahasa Melayu yang sepenuhnya.

Manakala budaya juga dapat mengeratkan pelbagai kaum dalam kepelbagaian budaya di sesebuah negara. Setiap rakyat di negara ini yang memahami budaya kaum lain akan menghormati budaya dan adat resam mereka. Dalam hubungan kejiranan dan juga melaksanakan acara yang berkaitan dengan budaya, bahasa Melayu mestilah digunakan sebagai bahasa komunikasi.

Kini Malaysia mempunyai 32.4  juta orang penduduk  yang terdiri daripada lebih 200 etnik yang pelbagai berdasarkan bangsa dan kaum, struktur atau kelas sosial, bahasa, kepercayaan dan adat resam sesuatu kelompok masyarakat. Rakyat terutamanya penduduk Malaysia berperanan penting dalam mendaulatkan dan memperkasakan bahasa Melayu.

Setiap budaya mempunyai keindahan dan keunikan yang perlu dipelihara sebagai warisan bangsa dan negara. Budaya yang unik dan dapat diterima oleh pelbagai kaum juga dapat menarik para pelancong luar negara dapat dijadikan sebagai aset pelancongan yang mendatangkan sumber ekonomi negara. Masyarakat yang berbudaya mestilah mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa komunikasi yang berkesan.

Hikmah kepelbagaian sosial dan budaya juga perlu diraikan oleh setiap masyarakat. Setiap kaum perlu menginsafi dan menghormati kelainan tersebut. Kelebihan ini akan dapat menambahkan pengetahuan anggota masyarakat selain kaum itu sendiri tentang sesuatu keistimewaan kaum tersebut. Hal ini akan meningkatkan penyelidikan kajian etnik di Malaysia.

Kepelbagaian sosial budaya ini boleh menjadi produk pelancongan negara. Moto pelancongan – Malaysia Truly Asia dapat menggambarkan bahawa pelancong asing boleh mendapatkan pengalaman yang banyak hanya dengan melancong di Malaysia sahaja.

Di samping itu, pendekatan sosial dan kebudayaan sebenarnya boleh dibentuk melalui perkongsian nilai murni yang diamalkan oleh pelbagai kaum. Misalnya, nilai menghormati antara satu sama lain. Apabila mencintai bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa komunikasi yang berkesan akan menjadikan seseorang itu berusaha memartabatkan bahasa Melayu.

Menurut pakar pengkaji etnik di Institut Kajian Etnik (KITA) dan Ketua Pegawai Penyelidik dan Felow Utama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Profesor Dr. Denison Jayasooria, ketika ditanya tentang hal ini menyatakan bahawa setakat ini peranan bahasa dan sosial budaya amat berkesan dalam mengekalkan perpaduan kaum di negara ini. Bahasa Melayu memainkan peranan dalam menyatupadukan masyarakat di negara ini.

Katanya, perpaduan kaum melalui bahasa kebangsaan telah diamalkan sejak dahulu dan berlaku di sekolah rendah dan menengah di negara ini yang membuktikan bahawa semua murid boleh berkomunikasi dan berhubung melalui bahasa Melayu dengan baik dan berkesan. Melalui bahasa Melayu, semua murid dapat berkomunikasi dengan berkesan dan mesra dengan penuh kasih sayang.

Sehubungan dengan itu, melalui pendidikan di sekolah, perpaduan dapat diterapkan melalui bahasa dan juga melalui pemahaman budaya kaum lain melalui aktiviti budaya yang diamalkan dan diajar dalam kegiatan kokurikulum. Bahasa Melayu mesti digunakan dalam pendidikan bagi membentuk perpaduan yang jitu.

Oleh itu, setiap kaum atau etnik mempunyai ciri-ciri yang tersendiri yang dapat menunjukkan identiti yang telah diwarisi dan akan diwariskan kepada generasi pada masa akan datang. Penggunaan bahasa Melayu yang betul tepat dan berkesan akan memudahkan berkomunikasi dalam masyarakat.

Antara ciri utama pengenalan identiti kaum termasuklah bahasa pertuturan, pakaian, adat resam dan agama yang diamalkan dalam kehidupan mereka. Perlu juga difahami bahawa sosial budaya menerangkan tentang hal yang berkaitan dengan masyarakat. Pemahaman ini juga perlu diterapkan sejak di peringkat sekolah lagi. Melalui amalan budaya dan berbahasa, kita akan teguh bersama dalam menghadapi apa-apa juga cabaran yang mendatang.

Kepelbagaian dalam budaya juga perlu diraikan tetapi mestilah berpaksikan ketaatan dan kecintaan kepada negara, bahasa dengan berlandaskan kefahaman, keadilan, keharmonian, dan saling menghormati. Kepelbagaian juga mestilah berpaksikan semangat perlembagaan yang telah dipersetujui bersama.

Cabaran dalam masyarakat majmuk juga amat banyak dan perlu didepani dan diatasi. Oleh itu, sifat bertolak ansur antara kumpulan kaum sangat dituntut. Pihak kerajaan juga perlu kreatif dalam mencari strategi untuk meningkatkan integrasi kaum di negara ini melalui pelbagai aktiviti kemasyarakatan dan keilmuan seperti seminar bahasa dan budaya yang merentasi kepelbagaian kaum. Jangan sampai hilang bahasa, lenyaplah bahasa.

Oleh itu, bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi, bahasa kebangsaan dan bahasa komunikasi mesti digunakan dalam apa-apa juga acara dalam kegiatan masyarakat. Bahasa menunjukkan bangsa, iaitu bahasa ialah lambang keperibadian sesuatu masyarakat yang mesti diperjuangkan pada setiap masa.

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.