10 Disember 2022, 03:24

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Putrajaya – Sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) dan Penganugerahan Tokoh Akademik Bahasa Melayu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) 2022 berlangsung dengan jayanya di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya petang semalam. Majlis tersebut dirasmikan oleh Ketua Setiausaha KPT, Dato’ Seri Abdul Razak Jaafar. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Dato’ Dr. Haji Megat Sany Megat Ahmad Supian, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPT; Datuk Dr. Mohd Zabri Yusoff, Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT; Dr. Haji Mohd Zahari Ismail, Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti; naib-naib canselor universiti awam dan pegawai-pegawai kanan kementerian.

Acara tahunan berprestij, iaitu Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu KPT merupakan anugerah utama yang dianjurkan bagi mengiktiraf sumbangan individu daripada golongan akademik dalam memartabatkan bahasa Melayu dalam pelbagai disiplin ilmu di peringkat institusi pendidikan tinggi awam (IPTA), politeknik serta kolej komuniti.

Penganjuran Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu (ATABM) sejak tahun 2012 telah menyaksikan sebanyak lapan orang penerima anugerah dinobatkan sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu. Sebanyak dua kategori anugerah baharu juga telah ditambah pada tahun 2020 bagi memberikan penganugerahan kepada sektor teknikal dan pensyarah muda, iaitu Anugerah Tokoh Harapan Bahasa Melayu dan Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal.

Bagi tahun 2022, penganugerahan ATABM telah mengangkat Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) sebagai Tokoh Akademik Bahasa Melayu 2022, manakala Anugerah Tokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2022 diraih oleh Ts. Dr. Izwah Ismail dari Politeknik Ungku Omar dan Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pula diberikan kepada Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah dari Universiti Teknologi Malaysia.

Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar membawa pulang wang tunai RM30 000 dan trofi.

Menyorot sedikit latar belakang pemenang utama ATABM 2022, Profesor Dr. Mohammad Nazri Mohd Jaafar merupakan Profesor di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Kejuruteraan Aeronautik, Automotif dan Samudera, UTM. Beliau yang bakal bersara wajib pada tahun hadapan menyifatkan penganugerahan ini sebagai memori manis yang akan sentiasa dikenang. Menurut beliau, sebagai ahli akademik dalam jurusan kejuruteraan, ada kalanya peluang untuk memartabatkan bahasa Melayu adalah agak terhad terutamanya apabila melibatkan penghasilan karya ilmiah, buku mahupun artikel jurnal.

Namun demikian, saya amat menggalakkan pelajar-pelajar saya menulis tesis dalam bahasa Melayu, tidak mengira peringkat siswazah mahupun pascasiswazah.

Jika bukan kita yang memulakannya, siapa lagi yang kita harapkan untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Pada pandangan saya, penulisan dalam bahasa Melayu sangat berguna kepada masyarakat, terutamanya kita sebagai ahli akademik perlu menguar-uarkan segala dapatan atau kajian yang telah dibuat melalui buku-buku ilmiah dalam bahasa Melayu. Insya- Allah, bertitik tolak dari kejayaan ini, saya akan meneruskan usaha untuk menggalakkan semua pensyarah di institut pengajian tinggi untuk menghasilkan karya ilmiah dalam bahasa kebangsaan.

Ts. Dr. Izwah Ismail membawa pulang wang tunai RM2000 berserta trofi.

Tokoh Akademik Bahasa Melayu Sektor Teknikal 2022, Ts. Dr. Izwah Ismail yang merupakan Timbalan Pengarah Akademik, Politeknik Ungku Omar yang turut terlibat dalam beberapa projek inovasi dan kerjasama di peringkat kebangsaan dan antarabangsa pula berpandangan bahawa generasi kini kurang membaca buku-buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) selain daripada buku teks. Menyingkap pengalaman beliau sendiri, Ts. Dr. Izwah Ismail yang mempunyai latar belakang pendidikan dalam bidang Kejuruteraan Elektrik menyatakan bahawa beliau membesar dengan buku-buku terbitan DBP yang menggunakan laras bahasa dan tatabahasa yang betul dan dari situlah beliau belajar menghasilkan penulisan yang bagus hasil daripada pembacaan. Oleh itu, beliau menzahirkan harapan agar penekanan kepada budaya membaca dapat dimulakan sejak dari kecil. Dewan Pelajar dan Dewan Siswa antara contoh sumber bacaan yang berkualiti yang boleh digunakan oleh para pelajar untuk membina penguasaan bahasa Melayu. Ujar beliau lagi:

Penggunaan bahasa Melayu perlu diberikan penekanan sejak dari sekolah rendah dan sekolah menengah lagi. Melalui usaha itu, pelajar bukan sahaja boleh bertutur dalam bahasa Melayu malah berupaya menghasilkan penulisan ilmiah yang bagus dalam bahasa tersebut supaya segala perkara yang kita lakukan dalam bidang teknologi atau teknikal boleh dibukukan dan ditinggalkan untuk generasi seterusnya sebagai rujukan. Apabila kita dapat menghasilkan penulisan yang bagus, kita boleh menterjemahkan buku atau teknologi dari luar negara kepada bahasa Melayu supaya ilmu itu sampai kepada segenap masyarakat dan bukan sahaja kepada golongan tertentu.

Bagi Anugerah Tokoh Harapan Akademik Bahasa Melayu pula, iaitu Profesor Madya Dr. Abdul Halim Abdullah, minat beliau yang mendalam terhadap bahasa Melayu sejak dari zaman persekolahan lagi diteruskan dalam kerjaya beliau. Tambah beliau lagi, kejayaan ini bukan bersifat sehari dua tetapi sudah tentu memakan masa bertahun-tahun lamanya.

Penganugerahan ini bukan sahaja melibatkan bidang penerbitan sahaja, malah mengambil kira bidang lain seperti penyeliaan pelajar Doktor Falsafah dan Sarjana, penulisan, penyelidikan, khidmat masyarakat, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan lain-lain. Jadi, sudah tentunya perkara-perkara ini mengambil masa bertahun lamanya.

Profesor Madya Dr. Abdul Halim membawa pulang wang tunai RM2000 berserta trofi.

Beliau yang merupakan pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) selama lebih 10 tahun dengan latar belakang bidang Pendidikan Matematik menyifatkan kejayaan ini sebagai dedikasi untuk isteri, anak kembar beliau, keluarga dan seluruh warga UTM yang banyak menyumbang kepada kejayaan ini secara tidak langsung. Ditebak soalan tentang usaha selepas memperoleh pengiktirafan ini, Profesor Madya Dr. Abdul Halim berkata sudah tentunya beliau akan meneruskan lagi usaha penulisan karya-karya ilmiah dalam bahasa Melayu. Beliau turut menitipkan pesan tentang kepentingan sifat ikhlas yang ditanam dalam diri yang akan mendorong kepada lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.