15 Disember 2022, 21:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi  Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah mengadakan Majlis Syarahan Khas bersempena dengan sambutan Jubli Emas ATMA Ke-50 berjudul “Imbasan dan Hala Tuju ATMA” yang disampaikan oleh SN YBhg. Prof. Emeritus Dr. Muhammad Haji Salleh, Mantan Pengarah ATMA ke-2 pada pukul 9.30 pagi tadi bertempat di Bilik Majlis, Bangunan Canselori, UKM.

Majlis yang turut dihadiri oleh YBhg. Prof. Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, iaitu Pengarah ATMA (merangkap Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka); Sasterawan Negara (SN), YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail; pegawai-pegawai kanan UKM; dan para tetamu undangan telah disempurnakan dengan ucap utama yang disampaikan oleh YBhg. Prof. Dato’ Ts. Dr. Norazah Mohd Nordin, iaitu Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, UKM.

Dalam ucapannya, beliau menjelaskan bahawa banyak dalam kalangan ahli masyarakat di negara ini menganggap bahawa Pengajian Melayu pada masa ini sudah tidak begitu penting. Katanya, hal ini berbeza dari sudut pandangan masyarakat luar negara kerana di sana seseorang itu harus menjalani kehidupan bersama-sama bahasa, sains, teknologi dan kebudayaan tanpa apa-apa jurang dalam bidang berkaitan.

Tambah beliau, kesedaran bahasa dan sastera masih tidak tumbuh seperti seharusnya. Hal ini disebabkan oleh kuatnya pengaruh bahasa Inggeris dan berkat usaha kolonialis seperti merahsiakan sastera kita di muzium dan perpustakaan di Britain, di samping pengetahuan kita tentang kejayaan kita yang masih tidak hadir dan tumbuh.

Jelasnya, pada dekad-dekad 1980-an hingga 1990-an, sastera Malaysia mula ditulis secara lebih komited oleh pengarang Sabah dan Sarawak, manakala sastera dalam bahasa kebangsaan sudah menjadi sastera kebangsaan dengan berbagai-bagai pengalaman daripada kaum Murut, Bajau, Bidayuh, Iban, Semai selain Melayu, Cina dan India turut mendapat ruang serta pengiktirafan. Sementara itu, pengarang Cina pula memilih bahasa kebangsaan sebagai bahasa sastera mereka termasuklah Siow Siew Seng, Lim Swee Tin, Akhbar Goh dan Goh Thean Chye.

Para pegawai kanan UKM dan tetamu undangan yang hadir.

Beliau turut berkongsi tentang kehebatan Hikayat Hang Tuah dan berpesar agar kita menghayati karya tersebut kerana Hang Tuah merupakan naratif agung seorang manusia yang mewakili bangsanya yang melukis manusia di laut dan peradaban antarabangsa. Hang Tuah ialah manusia kampung Duyong di Daik dan mahir berbicara dengan berbagai-bagai bahasa dunia. Oleh itu, beliau telah memberikan penekanan tentang peri pentingnya karya lama dikaji dan diterjemahkan untuk manfaat masyarakat.

Bahasa Melayu ialah bahasa besar dunia dan karya besar perlu diterjemahkan secepat mungkin dalam bahasa Melayu. Di samping itu, kita juga perlu menterjemahkan karya-karya lama kita sebanyak mungkin dalam bahasa dunia. Saya sendiri sudah menterjemah Hikayat Hang Tuah dalam bahasa Inggeris yang mengambil masa selama 15 tahun dengan 575 halaman. Sementara itu, Sulalatus Salatin juga telah saya terjemahkan menggunakan bahasa yang agak moden. Hal ini disebabkan banyak anak muda yang sudah tidak memahami bahasa lama atau klasik. Generasi kini harus mengambil peluang untuk mencari pengetahuan dalam bidang pengajian dan falsafah Melayu supaya kita mempunyai pencapaian ilmiah yang lebih luas. Asal usul Sastera Melayu Moden adalah berasal daripada Sastera Melayu Lama.

Katanya lagi, masyarakat juga perlu melihat Penyata Razak dan Rahman Talib yang menjelaskan tentang usaha menjadikan manusia yang berketerampilan dan memberikan manfaat kepada negara. Semua ini tidak hanya dicapai melalui kemajuan sains dan teknologi semata-mata, tetapi juga boleh dicapai melalui adat, agama, dan sastera yang merangkumi pelbagai bidang termasuklah bidang perubatan, ekonomi, teknologi dan lain-lain.

Sebelum menamatkan sesi syarahan, beliau turut mengutarakan beberapa cadangan kepada ATMA dan tetamu yang hadir seperti yang berikut:

  1. Menjalankan penyelidikan yang baharu, bermakna, membawa sudut pasca-kolonial dan mengorek kembali falsafah Melayu dan tempatan, serta nilai-nilai lestari yang dapat dikongsi pada kurun ke-21 yang boleh memberikan sumbangan kepada dunia dan Malaysia.
  2. Mewujudkan persatuan pengajian Melayu yang kukuh di seluruh dunia dan melaluinya, seminar dapat diadakan pada setiap tahun yang membawakan ahli persatuan ke negara ini atau ahli persatuan di negara ini ke pusat pengajian Melayu di sana.
  3. Melaksanakan projek mentranskripsikan dan mengkaji manuskrip Melayu yang tersimpan di negara ini, di Eropah, Amerika dan tempat lain kerana masih ada ribuan manuskrip yang belum ditranskripsikan.
  4. Mengadakan pertukaran fikiran yang dinamik antara para ilmuwan yang dapat memberikan idea-idea baharu dan mencabar idea-idea lama supaya ilmu dapat terus hidup.
  5. Menjalankan program pertukaran penyelidik dari seluruh dunia yang membicarakan tentang tamadun Melayu.
  6. Mengumpulkan penterjemah-penterjemah yang baik untuk mengalihbahasakan karya sastera dan budaya besar kita ke dalam bahasa penting dunia.
  7. Menulis dan menjelaskan falsafah Melayu dan suku-suku tempatan lainnya.
  8. Menghasilkan tulisan berkaitan dengan teori hikayat, syair, gurindam dan lain-lain.
  9. Mencipta suatu khazanah dalam bentuk digital bagi karya atau manuskrip langka dalam suatu jaringan lengkap untuk semua manuskrip Melayu yang terdapat di Malaysia dan dunia supaya pengkaji dapat mengakses semua manuskrip tersebut.
  10. Menjadikan sastera Melayu sebagai sumber etnosains, etnoteknologi, etnoekologi untuk disebarluaskan dan dikembangkan.
  11. Mewujudkan persekitaran universiti yang indah termasuklah adanya taman ilmu seperti taman pantun dan taman yang membawakan tumbuhan daripada persekitaran tradisional yang lestari.
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.