Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSeseorang yang mampu berfikir secara kreatif ialah seseorang yang mampu menggunakan kemahiran dan kecekapan mindanya untuk menilai kewajaran sesuatu idea. Dengan pemikiran kreatif ini juga, seseorang itu mampu mengenal pasti kelebihan dan kelemahan sesuatu perkara. Hasilnya, seseorang yang kreatif mampu mencipta sesuatu bagi mengatasi masalah yang berlaku.
Namun begitu, kadangkala disebabkan oleh terlalu ingin menonjolkan satu-satu isu, penggunaan struktur bahasa standard yang sepatutnya digunakan dalam situasi formal sering diabaikan. Bagi mengatasinya, sikap ambil peduli diperlukan untuk memantau dan mengubah amalan ini supaya tidak menjadi kebiasaan. Kegagalan berbahasa dengan baiknya menggambarkan pemikiran penutur yang bercelaru terhadap bahasanya sendiri. Hal ini biasa berlaku apabila seseorang itu tidak mengutamakan maksud yang ingin disampaikan, di samping pengabaian terhadap tatabahasa.
Misalnya dalam arena politik, ahli politik cenderung untuk menonjolkan kejaguhan ketika berkata-kata demi meraih undi. Ahli politik sewenang-wenangnya mencipta slanga yang mempunyai maksud tersurat dan tersirat. Apabila menyampaikan sesuatu maklumat, ahli politik tidak mempertimbangkan keupayaan khalayak untuk mencerap makna sebenar yang ingin disampaikan.
Berdasarkan Kamus Dewan (1989), bahasa slanga merujuk kata yang bukan daripada golongan bahasa baku dan biasanya digunakan dalam percakapan tidak formal serta tidak boleh digunakan dalam keadaan yang formal. Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), percakapan yang tidak formal digunakan oleh ahli parlimen dan calon yang bertanding. Kegagalan sebahagian ahli parlimen sebelum ini untuk menguasai bahasa Melayu dengan fasihnya ketika membahaskan isu yang dibangkitkan di Dewan Rakyat pernah menjadi perdebatan hangat dan dipersoalkan oleh banyak pihak.
Sepanjang tempoh berkempen dalam PRU-15, terdapat slanga baharu yang digunakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa masyarakat sememangnya kreatif ketika berbicara. Alasannya adalah untuk mencari publisiti bagi tujuan menarik perhatian dan menonjolkan kelemahan pihak lawan. Misalnya, ada ahli politik yang menggunakan slanga berbentuk sindiran dalam media sosial, seperti “kencing” dan “hancing”. Kata-kata ini digunakan untuk menggambarkan penipuan dan kegagalan pihak lawan.
Selain itu, terdapat juga slanga seperti “kitab suci”, dalam ungkapan, “manifesto bukan kitab suci”. Komentar terhadap pengisian Bajet 2023 juga tidak terlepas daripada penggunaan slanga. Antaranya termasuklah “goodies”, “komprehensif”, dan “benda bagus”. Usaha kerajaan dalam pembentangan Bajet 2013 pada waktu itu pula digelar sebagai satu “cek kosong”. Penggunaan istilah “khemah besar” turut kedengaran untuk menggambarkan kerjasama politik semasa PRU-15. Penggunaan slanga juga dapat diperhatikan apabila merujuk orang tertentu, seperti “bossku”.
Situasi kepimpinan Barisan Nasional (BN) juga tidak terlepas daripada penggunaan slanga. Terdapat pihak yang menggunakan slanga seperti “singa luka berdarah” untuk menunjukkan kepentingan PRU-15 kepada BN supaya dapat mengekalkan mandat daripada rakyat. Penggunaan slanga, “harimau cedera” pula digunakan apabila merujuk kekuatan Pakatan Harapan (PH) untuk menamakan calon Perdana Menteri ketika kehilangan sokongan selepas Langkah Shereton 2020. Slanga “mencapatikan janji-janji” turut kedengaran untuk memberikan konotasi negatif dalam pertanyaan, “Adakah rakyat sudah lupa dengan sikap mereka yang ‘mencapatikan janji-janji’ mereka dahulu?”
Di samping itu, rakyat turut disajikan dengan slanga, “tekan butang”, seperti yang dapat diperhatikan dalam ayat ‘‘Sebelum parti politik itu ‘tekan butang’ secara tiba-tiba dan menimbulkan kekalutan, adalah lebih afdal kita ‘tekan butang’ terlebih dahulu”. Selain itu, usaha yang patut dilaksanakan dapat diperihalkan menerusi penggunaan slanga, “winning mentality”. Slanga ini dapat ditemukan dalam ayat, “Mesti ada kepercayaan diri sendiri, iaitu kita mesti ada ‘winning mentality’ dan itu sangat penting”. Slanga ini digunakan untuk membuktikan keupayaan parti kepada rakyat supaya dipilih dan diberi kepercayaan untuk mentadbir negara.
Dari aspek pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, terdapat beberapa kerajaan negeri yang pada asalnya menetapkan keputusan untuk tidak membubarkan DUN. Walau bagaimanapun, keputusan ini berubah atas faktor tertentu. Perubahan ini ditonjolkan menerusi penggunaan slanga, “u-turn”.
Semua situasi yang berlaku ini sememangnya merimaskan ahli bahasa. Menurut Profesor Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong, penguasaan bahasa Melayu yang baik memberikan kelebihan kepada pemimpin untuk berkomunikasi. Malah yang lebih penting, penguasaan bahasa Melayu membolehkan dasar dan agenda kerajaan dapat disampaikan dengan tepatnya kepada rakyat. Oleh itu, calon yang bertanding dalam pilihan raya perlu menguasai bahasa Melayu dengan sebaik-baiknya supaya penggunaan slanga di Dewan Rakyat tidak berulang lagi.
Terdapat beberapa pemimpin utama parti politik yang menegaskan bahawa calon yang menguasai bahasa Melayu dengan baiknya sahaja yang sepatutnya dipilih sebagai calon bagi mewakili parti. Penegasan ini turut disokong oleh ahli akademi yang menyatakan bahawa pendekatan tersebut adalah suatu yang tepat. Hal ini dikatakan demikian kerana wakil rakyat hanya dapat berkhidmat dengan lebih efisien apabila menguasai bahasa Melayu. Pada masa yang sama, penggunaan pendekatan ini dapat mengelakkan isu ketidakfahaman bahasa.
Kesimpulannya, istilah slanga yang terhasil seperti “kencing”, “hancing”, “ kitab suci”, “cek kosong”, “khemah besar”, “singa luka berdarah”, “harimau cedera”, “u-turn” dan “mencapatikan janji-janji” menunjukkan bahawa rakyat Malaysia sememangnya mempunyai nilai kekreatifan pemikiran yang tinggi untuk merujuk silang sesuatu konteks atau situasi, seterusnya mentakrifkan makna.
Namun demikian, perkara ini perlu dikawal untuk mengelakkan kecelaruan makna dalam kalangan masyarakat, khususnya ketika membuat penginterpretasian makna terhadap slanga tersebut. Kekaburan konteks dan kesan konteks menyebabkan usaha memproses maklumat menjadi terhad, akhirnya menyebabkan salah faham, salah taksir atau yang paling menyedihkan adalah apabila berisiko menimbulkan perbalahan.