1 Januari 2023, 22:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Selamat menyambut tahun baharu 2023. Kita sudah melalui tahun 2022 dengan seribu pengalaman yang manis mahupun pahit, tetapi perjuangan memperkasakan bahasa Melayu tidak pernah usai dan tetap teguh melangkah. Sudah tentu pada tahun baharu ini, setiap daripada kita akan mempunyai senarai azam yang ingin dicapai. Penulis juga mengharapkan agar perkongsian di Cetusan Minda sepanjang tahun 2022 memberikan manfaat kepada semua khususnya untuk pembangunan minda, emosi dan rohani.

Pada kali ini, penulis memulakan penulisan dengan perkongsian tentang peribahasa Melayu sebagai objek utama perbincangan. Mengapakah peribahasa? Hal ini kerana peribahasa merupakan gedung penciptaan dan penggayaan bahasa yang produktif dan tidak berputusan hingga kini ibarat pepatah, “Tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas”.  Satu perkara penting yang perlu diketahui ialah peribahasa Melayu telah diangkat sebagai Warisan Budaya Tak ketara Negara pada tahun 2015 (https://www.heritage.gov.my/index.php/objek/objek-warisan-tidak-ketara), sekali gus pada masa yang sama turut mengangkat martabat bahasa Melayu.

Peribahasa Melayu merangkumi simpulan bahasa, bidalan, perbilangan dan perumpamaan. Menurut Izani Daud (2001), peribahasa adalah suatu gambaran secara berkias dan berseni yang digunakan untuk mendidik masyarakat manakala Zaʻba (2002) pula menyatakan bahawa peribahasa ialah segala susunan cakap pendek yang telah melekat di mulut orang ramai semenjak beberapa lama oleh sebab sedap dan bijak perkataannya.

Berkesinambungan daripada pendapat di atas, kata kunci utama yang menggambarkan peribahasa Melayu ialah berkias, berseni, sedap dan bijak. Jika dirangkumi semua kata kunci ini dapat menunjukkan bahawa pemilihan diksi pada peribahasa Melayu dilakukan dengan cermat, kreatif, dan serasi pada ujaran pengucap dan mudah diterima oleh halwa telinga pendengar. Perkataan yang dipilih mewakili kehalusa dan kesopanan tetapi ada unsur ketegasan bagi memperlihatkan variasi landskap bahasa Melayu yang seiring dengan pemikiran masyarakat pendukungnya.

Abdullah Hassan (1993) pula menyatakan bahawa peribahasa ialah sejenis bahasa kiasan. Hal ini mengesahkan bahawa sifat penyampaiannya berlapik-lapik ataupun tersirat. Penggunaan unsur flora seperti pokok dan daun, fauna seperti ikan, dan ayam, dan cakerawala seperti bulan dan matahari adalah sebagai perlambangan dan penggantian sikap berterus terang untuk berinteraksi erat dengan masyarakat. Misalnya, “Baik membawa resmi ayam betina supaya tidak ada bencana” yang membawa maksud jika mengamalkan sikap rendah hati akan membawa pada kebaikan diri.

Pengadunan unsur ini turut diseimbangkan dengan keberagaman istilah bagi memperlihatkan elemen ketenteraman emosi dan kematangan akal yang dibina oleh penciptanya untuk menyampaikan sesuatu maksud. Kepekaan ini bertujuan agar peribahasa Melayu mudah menelusuri masuk sebagai model panduan kehidupan masyarakat. Hal ini kerana tujuan utama peribahasa Melayu adalah untuk mendidik masyarakat dengan menyisipkan teguran, nasihat dan sindiran. Hal ini dilakukan dengan cara berhemah bagi memastikan ungkapan yang diujarkan tidak sampai menjatuhkan air muka dan menimbulkan kebencian kepada orang lain. Justeru itu, inti makna peribahasa perlu difahami dengan teliti agar tidak mendatangkan kemudaratan kepada pihak yang dituju seperti “Siapa makan cili, dialah berasa pedas”.

Keestetikaan peribahasa Melayu yang terletak pada penyusunan bahasanya menjadi lebih bermakna kerana dihadirkan dengan tema yang pelbagai. Terdapat tema khusus buat ibu bapa yang menjadi tiang pembangunan sahsiah dan gedung ilmu bagi anak-anak. Contohnya, “Bagai menatang minyak yang penuh”, “Bapa borek anak rintik”, dan “Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi”, yang mengutarakan persoalan curahan kasih sayang yang perlu berpada-pada dalam mendidik anak dan ibu bapa juga dituntut menjadi suri teladan terbaik.

Di samping itu,  “Tuah yang disembah, junjung yang dipanjat”, “Dianjung seperti payung, diambak seperti kasur” dan “Matahari itu, gunung dan lembah sama diterangi” ditujukan kepada seorang pemimpin yang adil dalam melaksanakan tanggungjawab sementara peribahasa Melayu yang berbunyi “Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah” pula ditujukan khas kepada pemimpin yang zalim.

Tidak ketinggalan juga, peribahasa Melayu yang ditujukan kepada para gadis sebagai kawalan sosial. Misalnya, “Takkanlah perigi yang mencari timba” dan “Darah manis”. Selain itu, terdapat juga peribahasa Melayu yang digunakan untuk golongan pelajar dan juga golongan usahawan sebagai meningkatkan motivasi seperti “Bara yang digenggam biar sampai jadi arang” dan “Kalau tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya”. Manakala tema yang bersifat umum adalah seperti “Malu bertanya sesat jalan”, “Sediakan payung sebelum hujan”, “Kerana mulut badan binasa”, dan “Bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat”.

Apakah peribahasa Melayu masih relevan digunakan pada masa ini? Jika disoroti kehidupan sofistikated masyarakat dan percampuran dengan pelbagai bangsa dari luar negara sedikit banyak telah mengubah corak bahasa dan budaya Melayu yang menyebabkan sikap berterus terang lebih penting daripada menjaga perasaan orang lain. Alasan yang diwajarkan dengan situasi ini ialah jika menggunakan perkataan berlapik akan sukar difahami, membuang masa dan terpaksa memerah otak, memikirkan mesej yang disampaikan.

Falsafah “Jangan mudah terasa hati” menjadi keutamaan sedangkan perkataan yang diujarkan telah mencalarbalarkan hati pendengar dan dikhuatiri akan membawa malapetaka kepada pembicara. Memang benar, lidah tidak bertulang tetapi pencipta peribahasa Melayu sudah memberikan teguran awal dengan mengutarakan frasa “Kerana mulut badan binasa” yang menekankan pengawasan pertuturan semasa berbicara.

Selain itu, peribahasa Melayu kini juga dilihat bersifat eksklusif apabila penggunaannya terhad pada sesuatu majlis keramaian dan juga digunakan semasa membuat karangan bahasa Melayu. Timbul persoalan di sini, adakah takat itu sahaja kelebihan peribahasa Melayu yang diperoleh pada masa ini? Hal ini perlu dibahaskan dengan lebih mendalam dengan menganjurkan program seperti perdebatan terbuka untuk mengetahui kedudukan peribahasa Melayu sebagai warisan bahasa.

Peribahasa Melayu yang dijelmakan menerusi pemerhatian dan pengalaman terhadap persekitaran tidak perlu disekat perkembangannya kerana membentangkan kebenaran kehidupan. Bahasa yang digunakan sebagai kritikan sosial adalah untuk memberikan peringatan agar tidak “Terhantuk baru terngadah”, iaitu setelah mendapat kesukaran atau kepayahan baru hendak beringat.

Walau bagaimanapun, usaha terus-menerus yang dilakukan oleh penyelidik dan pendidik dalam memberikan pemahaman secara komprehensif tentang peribahasa Melayu harus diberi pujian. Pelbagai inovasi berbentuk teknologi juga telah dicipta seperti Kamus Peribahasa Melayu Digital oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, sIMBAS (Imbas Simpulan Bahasa) yang diusahakan oleh Institut Pendidikan Guru Kampus Dato’ Razali Ismail dan DeSiR (De (Definisi), Si (Situasi) dan R (Rasional)) oleh Cikgu Haslindar Nor Ismail, di samping bahan bercetak seperti Haiwan dalam Peribahasa Melayu, dan Kamus Peribahasa MelayuMandarin, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

Ruangan khas melalui program di radio ataupun rancangan “Bicara Peribahasa Melayu” perlu diadakan di institusi yang dipertanggungjawabkan agar peribahasa Melayu dapat dihayati oleh generasi kini dan pada masa yang sama dapat  membetulkan permainan bahasa canggung oleh generasi muda yang kreatif seperti “Di mana ada kemahuan, di situ ada highway” atau “Harapkan pagar, pagar tak boleh diharap” kepada peribahasa Melayu yang lazim diujarkan, iaitu “Di mana ada kemahuan, di situ ada jalan”, dan “Harapkan pagar, pagar makan padi”.

Selain itu, bengkel dan pertandingan mencipta peribahasa Melayu juga perlu diadakan untuk mempertingkat penguasaan perbendaharaan kata dan maknanya. Dengan usaha kecil ini diharapkan agar wacana kebahasaan yang penuh keindahan ini terus terpelihara dan menjadi rujukan untuk mendidik diri dan masyarakat.

Kalau asal benih yang baik, jatuh ke laut menjadi pulau.”

 

 

Profesor Madya Dr. Salmah Jan Noor Muhammad − Pensyarah Kanan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia, yang juga Ahli Lembaga Amanah Yayasan Karyawan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.