Oleh Kho Thong Eng
4 Januari 2023, 12:38

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kata majmuk ialah rangkaian dua kata atau lebih yang mendukung makna yang khusus atau tersendiri. Hal ini bererti bahawa kata majmuk mempunyai kesatuan (unity) yang utuh, dan biasanya tidak boleh diselangi oleh kata hubung seperti yang, dan,  dan atau. Sila lihat contoh yang berikut:

1a.  Bunga teratai itu cantik.

1b.  Bunga (yang) merah itu cantik.

 

2a.  Dia membeli kerusi urut.

2b.  Dia membeli kerusi (dan) meja.

 

3a.  Hutan dara tidak harus kita usik.

3b.  Dia meneroka hutan (atau) rimba.

 

Dalam ayat 1a, 2a dan 3a, kata majmuk bunga teratai, kerusi urut dan hutan dara merupakan kata majmuk kerana mendukung maksud khusus. Dalam ayat 1b, 2b dan 3b pula, rangkaian kata bunga merah, kerusi meja dan hutan rimba merupakan frasa kerana kata hubung yang, dan, atau atau boleh diselitkan di antara unsurnya tanpa menjejaskan maksud frasa itu.

Kata majmuk dengan struktur binaan kata nama + kata adjektif tidak boleh diselitkan dengan kata hubung yang. Ada juga kata majmuk yang akan bertukar untuk menjadi frasa jika diselitkan dengan kata hubung yang. Sila lihat contoh yang berikut:

4a.  Dia membeli kerusi malas.

4b.  *Dia membeli kerusi yang malas.

 

5a.  Kereta kebal itu digeruni musuh.

5b.  Kereta yang kebal itu menjadi rebutan ramai.

 

6a.  Orang tua Ali sakit.

6b.  Orang (yang) tua itu sakit.

 

Dalam ayat 4a, kerusi malas (easy chair) ialah kata majmuk dan tidak boleh diselitkan dengan kata hubung yang, seperti dalam ayat 4b. Dalam kelompok ayat 5, kata majmuk kereta kebal (tank) dalam ayat 5a akan menjadi frasa jika diselitkan dengan kata hubung yang, seperti dalam ayat 5b.  Dalam ayat 6a, kata majmuk orang tua (parents) bererti “ibu bapa”, tetapi dalam ayat 6b, orang (yang) tua itu ialah frasa.

Bagaimanakah kata majmuk dapat digandakan? Apakah pertimbangan yang harus kita ambil kira? Sila lihat contoh yang berikut:

7a.  Setiausaha-setiausaha yang baharu telah dilantik.

7b.  Suruhanjaya-suruhanjaya telah ditubuhkan.

7c.  Jawatankuasa-jawatankuasa itu mula bermesyuarat.

7d.  Tandatangan-tandatangan tertulis dengan jelas.

 

8a.  *Kerjasama-kerjasama rakyat sangat diperlukan.

8b.  *Tanggungjawab-tanggungjawabnya berat.

8c.  *Warganegara-warganegara Malaysia harus bersatu.

8d.  “Bumiputera-bumiputera semakin maju.

 

Dalam kelompok ayat 7, kata majmuk serangkai setiausaha, suruhanjaya, jawatankuasa dan tandatangan boleh digandakan kerana merupakan pihak atau perkara yang dapat dibilang (countable). Dalam ayat 8a dan 8b, kata majmuk kerjasama dan tanggungjawab tidak boleh digandakan kerana merupakan kata nama abstrak tidak berbilang. Dalam ayat 8c dan 8d, kata majmuk warganegara dan bumiputera tidak boleh digandakan kerana merupakan kata nama kolektif atau kelompok.

Ada kalanya penggandaan kata majmuk bergantung pada konteks penggunaan. Sila lihat contoh yang berikut:

9a.  Matahari memanaskan muka bumi.

9b.  Matahari-matahari itu bersinar dengan garangnya.

 

Dalam ayat 9a, kata majmuk matahari tidak boleh digandakan kerana dalam sistem suria kita, hanya terdapat satu matahari. Walau bagaimanapun, kata  majmuk matahari dalam ayat 9b boleh digandakan bagi sistem suria lain yang mempunyai lebih daripada satu matahari.

Bentuk ganda bagi kata majmuk rangkaian kata bebas dan kata majmuk kiasan menampakkan kelainan. Sila lihat contoh yang berikut:

10a.  Anak-anak ayam itu merebut makanan.

10b.  *Anak ayam-anak ayam itu berebut makanan.

 

11a.  Kaki botol-kaki botol itu tidur di kaki lima.

11b.  *Kaki-kaki botol itu tidur di kaki lima.

 

Bagi kelompok ayat 10, kata majmuk rangkaian kata bebas anak ayam yang berganda ialah anak-anak ayam, iaitu ada sempang yang menghubungkan kata anak, sebagai intinya. Dalam kelompok ayat 11, kata majmuk kiasan atau simpulan bahasa kaki botol bererti “orang yang suka minum minuman keras”. Oleh itu, tanda sempang harus diletakkan di antara kata majmuk kaki botol, bukan di antara kata kaki.

Bagi kata majmuk yang unsur-unsurnya tidak disusun mengikut hukum D-M (unsur yang diterangkan mendahului unsur yang menerangkannya), seluruh kata majmuk harus digandakan. Sila lihat contoh yang berikut:

12a.  *Ibu-ibu pejabat kerajaan negeri itu sudah dipindahkan.

12b.  Ibu pejabat-ibu pejabat kerajaan negeri sudah dipindahkan.

12c.  Ibu pejabat kerajaan negeri sudah dipindahkan.

12d.  Semua/Banyak ibu pejabat kerajaan negeri sudah dipindahkan.

 

Kata majmuk ibu pejabat disusun dengan meletakkan kata penerang ibu yang bererti “utama” di hadapan kata inti pejabat. Oleh itu, seluruh kata majmuk itu harus digandakan. Pilihan lain ialah kita menggunakan kata majmuk ibu pejabat (ayat 12c), kerana kata majmuk itu dapat juga mendukung maksud jamak. Satu lagi pilihan ialah kita menggunakan kata bilangan tak tentu seperti semua atau banyak (ayat 12d).

Bagi kata nama majmuk yang berpangkalkan kata kerja, seluruh kata majmuk harus digandakan. Sila lihat contoh yang berikut:

13a.  *Temu-temu ramah telah diadakan.

13b.  Temu ramah-temu ramah telah diadakan.

 

14a.  *Ulang-ulang kaji akan dibuatnya.

14b.  Ulang kaji-ulang kaji akan dibuatnya.

 

Dalam kelompok ayat 13 dan 14, semua unsur dalam kata nama majmuk temu ramah dan ulang kaji membentuk entiti kesatuan yang utuh dan harus digandakan bersama-sama.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.